23 August 2007

Elemen sejarah dalam LK : Menara Condong Teluk Intan


Siapa pernah pergi ke Teluk Intan? Menara Pisa Malaysia ini memang bernilai sejarah. Kesempatan ada saya rakamkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Lihat menaranya yang menyondong ke kiri.

Otaknya sudah penat berfikir. Dia sudah tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang palsu, mana yang dia inginkan dan mana pula hanya harapan. Sudah habis dirondanya bandar Teluk Intan, akhirnya dia berhenti betul-betul di kawasan letak kereta di hadapan deretan kedai yang menghadap menara condong. Dia sudah betul-betul keletihan, minda dan fizikal. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi.

Dzalia keluar dari perut kereta, memeluk tubuh sambil melemparkan pandangannya ke menara di hadapannya yang menjadi jolokan Pisa Malaysia. Jam di menara itu berdenting lima kali. Me-nara itulah satu-satunya kemegahan penduduk Teluk Intan. Menurut sejarah, menara condong berbentuk pagoda itu dibina oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong pada tahun 1885 untuk tujuan menyimpan air bagi kegunaan penduduk Teluk Intan sebelum bekalan air dari Changkat Jong disediakan oleh kerajaan pada tahun 1919.
Menara itu mempunyai lapan tingkat. Yang menariknya, ia hanya mempunyai tiga tingkap dan di bahagian atas sekali terletak satu tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Menara itu hampir dirobohkan oleh kerajaan British semasa Perang Dunia Kedua dahulu kerana dikhuatiri akan menjadi tanda kepada serangan kapal terbang Jepun. Tetapi atas bantahan penduduk, rancangan itu telah dibatalkan.

Kini, sekitar menara itu telah disimen bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan untuk memeriahkan mercu tanda kebanggaan Teluk Intan itu. Hari ini sedang berlangsung satu pameran kereta di situ. Kelihatan beberapa buah kereta Proton dari pelbagai model dipamerkan. Kelihatan juga beberapa orang remaja asyik bermain kereta kawalan jauh tidak jauh dari situ. Asyik dia memerhatikan kerenah orang ramai di situ tetapi masalah di pundaknya belum juga mahu menyusut.

Tubuhnya tiba-tiba terasa sejuk. Dia lantas masuk ke kereta lalu menghidupkan enjin. Dia harus segera pulang jika tidak mahu demam. Akhirnya, Dzalia memecut meninggalkan bandar Teluk Intan yang semakin suram. Senja bakal melabuhkan tirainya.

2 comments:

Anonymous said...

ina... next time dalam novel ko yg lain... kena citer pasal betapa istimewanya & enakknay Mee Rebus Mastan Ghani, Gado-Gado Maiden dan Sate Wak Teni.... tak leh lawan kat tempat lain.. hehehhehe. - Liza

lily & laila said...

ko kalau pasal makan, mak mentua lalupun tak nampak. itu kena bubuh dalam rancangan jalan2 cari makan...insyaAllah kalau ada yang aku boleh selit2. siapa lagi nak promo kalau bukan tuan rumah sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...