24 February 2008

e-cerpen : Ref! Siri 1

“Kayu…!”
“Rasuah ka hoi..!”
“Buta ka?”
Sudin mendengus Ciss! Memang pantang datuk neneknya jika dikeji secara terang-terangan begitu. Tambah-tambah pula dia tidak boleh berbuat apa-apa. Sebagai seorang yang memegang tinggi profesionalisme tugas yang diamanahkan, dia harus terus memekakkan telinganya. Di dalam hatinya dia cuba menahan sabar. Pantang anak lelaki kalau dicabar tetapi apakan daya. Tangan dan kakinya seakan-akan terikat untuk bertindak. Dia sekadar menjeling geram, menahan amarah yang sedang mula menguasai dirinya. Telinganya sudah berasap. Hidungnya sudah kembang-kempis. Ibarat seekor lembu rodeo yang sedang berada di luar pagar, hanya menunggu masa untuk dilepaskan. Di dalam hatinya dia mencabar suara-suara yang mengejeknya itu. ‘Kalau benar anak jantan, tunggulah tepi padang bila tamat permainan ini.’

Tapi bila perlawanan itu tamat, Sudin sendiri engkar pada cabarannya. Awal-awal lagi dia sudah keluar padang, lebih dulu dari pemain. Motor terus dihidupkan enjinnya dan dia terus memecut. Langsung tidak ditolehnya ke belakang. Semuanya gara-gara dia terpandangkan beberapa penyokong yang sudah menunjukkan penumbuk kepadanya. Daripada menempah padah, lebih baik dia blah. Takut-takut selepas ini hanya kerana ingin menunjukkan kejantanan, Cik Limah langsung tidak kenal lagi muka hensem suaminya ini.

Sampai di rumah, Sudin tidak tunggu lama di tanah. Sebaik tongkat motor dipacak ke tanah, dia sudah berambat macam orang yang tak sabar nak kejar jamban.

“Mintak oksigen…. mintak oksigen…” Tercungap-cungap Sudin memberitahu isterinya yang sedang menyembat baju kurung di ruang tamu. Sambil menjeling geram, Limah bangun. Sudin telah mengganggu dia menyiapkan kerjanya.

Sudin tersenyum bila melihat Limah menghulurkan segelas air masak kepadanya. Dalam marah-marah, Sudin sedar, isterinya itu seorang yang setia dan taat kepadanya. Dan kerana kesetiaan dan keaatan itu telah terbukti maka Sudin sedar tanpa perlu mengucapkan terima kasihpun Limah akan terus setia dan taat kepadanya.

Limah kembali duduk di tempatnya menyambung tugas dengan rasa jengkal di hati. Sudin tidak pernah berubah, malah rasanya sampai masuk ke lubang kubur Sudin tetap Sudin. Dia menggeleng kepalanya memandang Sudin yang sudah mengambil tempat di muka pintu. Termenung. Pekerjaan turun-temurunnya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...