26 March 2008

Pengumuman cuti : Ke Bandung

Saya akan bercuti ke Bandung dari 29 Mac hingga 31. Jumpa lagi nanti. Bandung! Tunggu saya!

Jualan Gudang! Minggu ini....


Bagi anda yang tidak pernah terdetik untuk menjejak kaki ke Jualan Gudang (Warehouse Sale), apa kata cuba buat kali pertama ke Jualan Gudang yang akan dianjurkan oleh MATTEL di Petaling Jaya pada 28 dan 29 Mac ini. MATTEL yang merupakan antara pengedar dan pembuat permainan terbesar di Malaysia menjual permainan kanak-kanak seperti Barbie, Fishers Price, Hot Wheel dan lain-lain.


Saya selalu juga ke jualan gudang bagi membeli barang yang mahal di pasaran tetapi ditawarkan dengan harga yang rendah di jualan tersebut. Dan salah satu jualan gudang yang pernah saya pergi ialah jualan gudang MATTEL. Melalui pengalaman lalu, memang berbaloi jualan yang dibuat MATTEL. Mungkin ada yang hairan, kenapa perlu membeli permainan di jualan gudang? Untuk makluman tuan/puan, setiap kali MATTEL membuka kaunter jualan gudangnya, berbaris orang menunggu untuk menyerbu mainan yang dijual. Kerana apa? Cubalah ke Toy's R Us dan bandingkan harga permainan MATTEL di sana, boleh mencecah beratus-ratus ringgit. Mau pokai duit mak bapa kalau tidak kena gaya.


Di jualan gudang MATTEL tahun lepas, saya memang terkejut! Harga patung Barbie yang dijual di Carrefour (saya ingat Carrefour dah murah) berharga RM39.90 dijual di Jualan tersebut hanya dengan harga RM5.00 SAHAJA! Dan saya borong 5 patung Barbie tu untuk dibuat hadiah kepada anak adik ipar saya, anak maid di Indonesia, dan anak-anak kawan di ofis (sebab saya takde anak perempuan)...


Itu baru patung Barbie, belum cerita permainan lain yang saya beli spt action figure Batman, Star Wars, Fisher Price dan lain-lain lagi yang memang robek jugaklah poket bila keluar dari gudang tu...


Jualan kali ini saya akan menjenguk lagi. Mana tahu ada barang permainan yang murah dan berkualiti untuk simpanan birthday anak saya nanti. Bila sampai birthday anak nanti, tak ler gelabah nak cari...

The Flying Fin Kimi Raikkonen


Bintang F1 yang mencipta sejarah pertama kali di podium di litar Sepang. Pecutannya di litar akan sentiasa menjadi perhatian saya dan HaKIMY.

Cinta Gadis Phuket


Cinta gadis Phuket
Pada Bath pada Dollar
Biar si dia tidak seelok mana
Asal saja tebal poketnya

Gadis Phuket
Sedang senyum menggoda
Berdansar atas meja
dengan lagak selamba
seperti tiada malu alahnya
menjadi gadis Asia Tenggara
yang terkenal budi santunnya

Lihatlah malam di sana
Hidup dengan tarian-tarian liar
dan mengghairahkan
dengan dansa ala coyote
dengan baju sekadar tutup mana perlu
terpesonalah mata si keranjang
pada tarian memberahikan
pada aksi silap mata seks yang menjengkelkan


Gadis-gadis di Bangla Road
Yang bersidai di rumah urut
juga pada jejaka mengaku dara di Simon's Cabaret
Perancak ekonomi
kota hiburan Asia Tenggara
mengaburi keindahan pantai-pantainya

24 March 2008

Rakaman Video F1 di Sepang

Rakaman ini cuma 20 saat saja. Hayati bunyi enjinnya. Boleh pecah telinga kalau takde earplug.

video

23 March 2008

Gambar Sekitar F1 Malaysian GP 2008

Sebahagian daripada gambar-gambar sekitar Petronas F1 Malaysian Grandprix 2008 di Sepang yang sempat dirakam oleh abang petang tadi (kali ini tiket Grandstand, bukan Hillstand lagi...)


Orang ramai beratur nak beli souvenir spt t-shirt, cap, bandana etc...

Salah satu souvenir : T-shirt Ferrari Kimi Raikonen berharga RM300 dan cap harga RM150.

Giant Poster menarik Team Mclaren Mercedes.

Pameran kereta pun ada. Kereta idaman abang, katanya...

Pintu masuk ke Grandstand Sepang F1 Circuit. Saya pun tak pernah sampai.


Ramainya manusia...

Perlumbaan pun bermula...


Kejar-mengejar berlaku...

Dan juaranya... Kimi Raikonnen!!!

Kenangan Menonton F1 di Sepang


Tahun ini masuk tahun ke 10 Malaysia menjadi hos sukan bermotor bertaraf dunia ini. Saya pernah merasai pengalaman menyaksikan F1 di Sepang pada tahun 2003 yang mana ketika itu saya, abang, Hardy, Yana dan Jue pergi bersama-sama. Tapi kesilapan tidak mengkaji kedudukan pintu masuk dan parking sebelum pergi membuatkan kami terpaksa menapak hampir 2 kilometer jauhnya untuk ke pintu masuk kami. Paling kesian ialah abang yang terpaksa mendukung Hardy sepanjang jalan. Tiket kami pulak bukanlah tiket Grandstand, tapi Hillstand (seperti di gambar di atas)! Bayangkanlah, setelah 2 km menapak, dapat pulak tempat duduk takde kerusi dan bumbung (sebab atas bukit)! Dan ketika kami sampai perlumbaan pulak dah bermula! Dengan panas terik, kami pun melabuh di atas rumput dan ketika itu jugalah Hardy mula nak tidur!
Pro dan Kontra menonton F1 di litar Sepang:
Pro:
1. Dapat tengok kereta F1 secara 'live'
2. Rasai sendiri bunyi enjin F1 yang amat kuat (sampai kena pakai earplug)
3. Happening sebab ramai orang
4. Macam kat luar negeri (sebab Mat Salleh ramai giler)
5. Dapat bergambar kenangan
Kontra:
1. Parking kereta RM50.00. Kalau tak menapak ler macam kami hampir 2 km (dulu tak tahu)
2. Makanan/minuman luar tak boleh, yang jual kat dalam mahal (cth: mineral water 500ml -RM5.00)
3. Dapat cover litar yang depan kita saja. So, tak boleh tengok keseluruhan perlumbaan
4. Tiada commentator macam dalam tv (kecuali yang beli radiophone atau sewa kanggaroo tv)
5. balik mesti sangkut dengan traffic jam
Hendak kata serik, tak jugak. Tapi kalau tiket Hillstand, rasanya cukuplah sekali. Cuma pengajaran yang saya dapat ialah sebelum melakukan sesuatu aktiviti, buat persediaan secukupnya. Survey dahulu dan dapatkan maklumat berkaitan aktiviti atau tempat yang hendak kita kunjungi dengan lebih awal.
Tahun ini F1 yang baru saja selesai petang tadi hanya sempat saya tonton di kaca tv. Walaupun saya tidak pergi, tetapi sebenarnya saya ada wakil. Abang yang 'menghilangkan diri' daripada majlis Hari Keluarga DSentral sejak 10 pagi tadi bukanlah melarikan diri, tapi dia ke Sepang bersama kawannya. Melalui ceritannya, agak menarik F1 kali ini cuma tidak banyak kemalangan berlaku. Dan saya amat gembira bila melihat pelumba kegemaran saya Kimi Raikonnen menjadi juara!
Mungkin di tahun-tahun akan datang saya akan berpeluang mengunjungi Sepang sekali lagi. Insyaallah...

Hari Keluarga D'Sentral Bandar Seri Putra






Meriah... dan banyak hadiah... Makanan pun boleh tahan banyak dan bervariasi... Rancangan mengadakan Hari keluarga ini sudah berbulan dirancang oleh AJK dan hari ini segalanya berjalan lancar. Saya sekadar menjadi AJK Pendaftaran. Hardy masuk acara melukis (9 tahun ke bawah), bawa bola pingpong dalam sudu, isi air dalam baldi (dua-dua acara berpasukan), kutip gula-gula dan tiup belon. Semua acara Hardy dapat nombor 3 kecuali kutip gula-gula tiada hadiah manakala tiup belon langsung tak menang sebab belon yang ditiup langsung tak besar. Kelakar!


Untuk acara dewasa acara anyam ketupat, rebut kerusi, sambut belon air, hullahoop dan lari ikat kaki. Saya langsung tak masuk mana-mana acara kerana menjaga Hariz (abang terpaksa meninggalkan majlis jam 10 pagi). Apapun memang havoc bila orang dewasa jadi budak kecil. api sebenarnya jadi havoc bila dapat gelakkan orang...Hahaha...


Seperti biasa, saya memang tidak akan menang acara cabutan bertuah dan teka bilangan kacang dalam balang...


Tahniah kepada penganjur yang berjaya menganjurkan majlis yang meriah dengan goodie bag. Baucer KFC pula disumbangkan oleh developer Bangi Heights anak syarikat UM Land. Juga kepada penduduk D'Sentral yang sporting, dermawan dan sanggup bagi komitmen menjayakan Hari Keluarga ini. Majlis pot luck yang dijayakan bagi mengumpul penduduk memang selalu mendapat sambutan. Semoga kemesraan antara kita akan terus berpanjangan demi keharmonian D'Sentral dan Bandar Seri Putra yang aman dan tercinta.

Lawatan ke Karangkraf dan Alaf21




Bersama penulis Ku Damba Bahagia, Dhiya Zafira, saya memenuhi undangan Alaf21FC untuk sama menjengah premis Karangkraf dan Alaf 21 di Shah Alam pada 12 MAC lalu. Seharian kami bersama-sama ahli kelab Alaf21FC. Petang itu sedia menunggu di premis Alaf novelis Rose Harissa, Damya Hana dan Hezy Azra. Lawatan tamat jam 3.00 petang. Rasanya ahli rombongan menimba banyak ilmu sepanjang lawatan. Di wajah masing-masing tergambar kepenatan tetapi puas. Petang itu memang berhasrat memenuhi undangan Lynn Dayana bersama-sama rakan novelis lain minum petang tetapi apakan daya, saya ada tuntutan lain di Putrajaya yang harus diselesaikan segera. Beberapa keping gambar ini rasa cukup menggambarkan keriuhan hari itu. Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian catatan pengalaman hidup Laila.

20 March 2008

e-cerpen : Ref! Siri 2

“Kayu…!”
“Rasuah ka hoi..!”
“Buta ka?”

Sudin menekup telinga dengan kedua tapak tangannya. Suara-suara jahat itu bergema lagi. Sukar benar dia mengnyahkan suara-suara itu dari telinganya. Sememangnya dia malu dengan peristiwa itu. Sampai matipun rasanya dia akan menanggung rasa malu itu. Mujur saja dia tidak punya zuriat. Jika tidak entah macam mana anaknya mahu menanggung aib seumur hidup.

Segalanya berlaku sekelip mata. Sekelip mata juga namanya sudah gah di Kampung Pinang Jaya. Pagi tadi semasa minum kopi di gerai Pak Meon di kiri kanan orang bertanya hingga dia sukar menepisnya. Semuanya mencemuh, semuanya menjelik padahal sebelum ini dia adalah di antara orang tua yang muda yang cukup disegani dan dihormati di ranking ke tiga di Kampung Pinang Jaya ini. Pertama tentunya Tuk Imam, Lebai Mat dan yang ke dua tak lain tak bukan Haji Dollah, Ketua Kampung Pinang Jaya merangkap orang kuat Yang Berhormat… Ke mana YB pergi, di situlah muka Haji Dollah menjengah, hinggakan kadang-kadang orang jadi keliru yang mana satu YB dan yang mana satu orang kuat…

“Cis!” Sudin bertempik. Genggaman pejal penumbuk singgah di tiang serambi rumahnya yang hanya menunggu masa untuk tumbang. Bergegar seluruh rumah. Cepat-cepat Sudin pegang kembali tiang itu menahannya dari terus bergegar. Bila sudah dipastikan rumahnya tidak roboh, Suding kejap memegang tiang serambi. Tubuhnya ditegakkan. Lagak seorang pahlawan Harimau Berantai sedang naik syeh. Bezanya syeh Harimau Berantai selalunya berakhir dengan tumpahan darah tetapi syeh si Sudin selalunya hanya tamat di situ saja. Tidak ke mana-mana.

Sememangnya Sudin terlalu lembut hati dan pemaaf. Pernah di suatu hari menjelangnyai Hari Raya Aidiladha, seorang Apek terlanggarkan seekor lembu korban peliharaan Sudin di hadapan matanya sendiri. Kerana sifat pemaaf yang semulajadi menebal sejak azali dalam diri Sudin, dia telah memaafkan Apek tersebut. Malah khabarnya Apek itu telah menjadi tetamu istimewa Sudin di pagi hari Raya Kurban pada tahun itu. Itupun setelah Apek itu membayar dua kali ganda harga lembu yang dilanggarnya kepada Sudin. Terbukti Sudin memang pemaaf!

“Abang jugak yang salah….”
Sudin berpaling. Telinganya semakin bernanah. Kenyataan yang baru keluar dari mulut Limah itu memang membuatkan darahnya kembali mendidih. Dia berpaling. Matanya jadi merah. Dia melangkah gagah ke arah isterinya di dapur. Isterinya itu harus diberi amaran terakhir yang penghabisan. Sarang tebuan jangan dijolok!

18 March 2008

Peluang Menang Hadiah!

Kepada mereka yang sudah membaca HCT apa kata cuba masuk ke blog penulisnya http://lynn-dayana.blogspot.com/ yang sedang menganjurkan kuiz kepada peminat yang telah membaca HCT. Bagi yang sudah menghafal jalan cerita HCT tentu boleh meneka jawapannya. Bagi yang belum membaca HCT, sila dapatkan segera di kedai-kedai buku berhampiran. Masih belum lewat lagi untuk anda mendapatkannya kerana tarikh akhir menghantar kuiz ini 4 April nanti. Hadiahnya lumayan juga, lebih kurang hadiah yang ditawarkan untuk rancangan Teka Teki di Era iaitu baucer Pizza Hut masing-masing bernilai RM50 dan RM30.
Kalaulah saya boleh teka, mesti saya yang menang! Saya sudah membaca HCT dan jika berkesempatan, saya akan kongsi pengalaman saya semasa membaca HCT. Selamat mencuba!

16 March 2008

Sekitar Matta Fair 2008






Pernahkah anda terfikir tiket untuk Menara KL dengan harga RM1.00? atau pernahkah terdetik harga pakej (ground) ke Bali cuma bermula dengan RM99.00? Dan tiket penerbangan ke Sydney (tidak termasuk cukai) bernilai RM0.88 sahaja? Tidak pernah? Saya pun...
Tapi semua ini berlaku di Matta Fair kali ini. Malangnya saya tidak dapat merasai pengalaman ke Matta fair kali ini. Cuma mendengar cerita dari Abang yang berkunjung ke Matta pada Sabtu lalu. Gambar2 di atas juga diambil oleh abang pada hari tersebut. Pastinya mereka yang sudah berkunjung ke sana berpuas hati dengan tawaran yang diberikan pengusaha pelancongan kali ini.
Kami bercadang untuk ke Bandung hujung bulan ini. Memandangkan saya ke luar daerah hujung minggu lalu, hanya abang yang sempat pergi untuk meninjau-ninjau jika ada yang menarik hati yang boleh dipakejkan bersama percuian kami nanti. Nampak gayanya abang tidak membeli apa-apa tawaran untuk percutian kami itu. Katanya tawaran di internet lebih murah. Tambah pula kami jenis yang back packers. Nampak gayanya sampai di Bandung nanti, kami redah ajelah.....

12 March 2008

Matta Fair 2008

MATTA Fair datang lagi. Masa inilah kalau anda bercita-cita nak dapatkan diskaun-diskaun tiket penerbangan dan percutian dalam negeri dan antarabangsa pada harga yang sangat memuaskan sekali. MATTA Fair kali ini akan berlangsung di PWTC bermula dari 14 Mac hingga 16 Mac ini. Jika ingin maklumat lanjut sila lawati http://www.matta.org.my/events.php?event_id=14
Anda juga boleh membeli akhbar The Star (biasanya bermula hari Khamis) untuk dapatkan gambaran awal tawaran-tawaran hebat MATTA Fair kali ini. Selamat melancong!

Saya Budak Baru Belajar


Hardy sedang belajar menghantar SMS. Sebelum ini dia sudah pandai menelefon abahnya. Paling dia suka menelefon abah dan memberitahu "Abah terkena panggilan hangit!" Masa tu pantang ada peluang dia akan telefon abahnya hatta abahnya di dalam bilik tidur di tingkat atas sedangkan dia di tingkat bawah.

Terkini bila dia sibuk belajar menghantar SMS, saya jadi pening kepala. Macam-macam SMS yang dihantarnya. Antaranya adalah seperti yang di bawah (sila abaikan jika ada kesalahan ejaan kerana dia baru masuk darjah 1 tak sampai 3 bulan).
Mama suke ke kalau ade kawan - SMS itu dihantar ketika saya sedang rancak bersembang dengan Dhiya Zafira yang kebetulan tidur di rumah malam itu.
Mama aid mintak maaf kerana aid bagi mesej dekat kawan mama - Dia bagi bila saya membebel marahkan dia yang pandai-pandai hantar SMS kepada kawan-kawan saya yang ada dalam inbox SMS.
Apa abah kecoh-kecoh. Aid pun tak kecoh-kecoh - SMS tu dia beri pada suami saya yang tak tahu apa-apa. Bila ditanya dia jawab saja-saja....
Banyak lagi SMS yang dikirim Hardy. Maknya pening kepala sebab hujung bulan nanti nak membayar bil Celcom. Dalam hati, diajar salah, tak ajarpun salah. Anak zaman sekarang kalau pasal teknologi memang cepat aje dapat. Nak marah salah, tak marahpun salah....

Bercuti di Kampung






Tak sabar menunggu cuti sekolah bermula. Memang dah lama merancang nak bawa anak-anak merasa pengalaman tinggal di kampung beberapa hari sempena cuti sekolah ini. Memang menjadi amalan sebelum tidur, saya dan anak-anak ada sesi bercerita. Cerita-cerita saya biasanya berkisar pada pengalaman hidup semasa kecil, cerita rakyat dan cerita fiksyen (yang direka sendiri). Kadang-kadang bila dah penat bercerita atau sudah kering idea, Hardy pula akan bercerita tentang kisahnya.
Lalu pada musim cuti sekolah ini saya memberi peluang kepada anak-anak merasa sendiri pengalaman yang pernah saya ceritakan kepada mereka. Kira praktikum lah ni!
Saya membawa anak-anak memancing. Dari mencari cacing untuk dibuat umpan memancing, hinggalah proses memancing. Kelakarnya penat menunggu sekor ikan pun tak nak naik....hanya acah-acah saja. Budak-budak tu juga seronok berlari dalam kebun limau atuknya sambil memetik buah limau.
Saya bawa Hardy keliling kampung membonceng basikal tua, mengejar ayam dan menziarah guru dan keluarga angkat saya.
Satu kemahiran yang Hardy dah master cuti kali ini. Menampar nyamuk! Kelakar! Almaklum anak bandar. Jumpa nyamuk jarang-jarang. Bila nyamuk gigit menangis. tapi kali ini dia dengan bangganya menunjukkan kepada saya hasil tamparannya! Saya cukup puas hati sebab selama ini dia memang cukup fobia dengan nyamuk.
Saya selalu kata kasihan budak-budak sekarang, tak merasa pengalaman hidup di kampung. Celik-celik mata dah ada kereta, dah ada PS2 dah ada taman permainan. Terfikir berapa ramai kanak-kanak sekarang yang tak pandai menggagau ikan, memanjat pokok, bergayut di hutan, menganyam mengkuang dan daun nipah. Malah merasa digigit lintah atau pacat. Balik kampung pun berkurung dalam rumah. Kasihan.... Orang dulu semua rasa, malah boleh survive juga dengan internet dan segala macam mak nenek kemudahan IT. Agak-agak bertahun-tahun dari sekarang, ada lagi tak ayam kat kampung???

Selamat! SPM 2007 dah keluar hari ini!


Kepada adik-adik yang berdebar sakan tu (ada yang tak dapat tidur malam tadi), semoga segala usaha anda diberkati... Debaran itu akan berakhir tidak lama lagi....
Yang berjaya... tahniah diucapkan.... Rancang masa depan anda....jangan tersilap langkah hingga menyesal di kemudian hari....
Yang kurang berjaya.... bukan pengakhiran pada sebuah kehidupan... Ada banyak lagi jalan-jalan yang menuju ke arah kejayaan... yang penting usah putus asa....
Kepada ibubapa yang juga tidak boleh tidur malam tadi... doa-doa anda telah dijawab olehNYA.... Semoga berjaya!

10 March 2008

Pak Lah PM bagi Penggal Kedua


Syabas Pak Lah kerana menjadi PM bagi penggal Kedua. Semoga dapat membawa negara ini ke arah negara yang Selamat, Aman dan Makmur.

09 March 2008

Kejutan Besar Pilihanraya Ke-12 2008

Sejak 1969, BN tidak pernah dinafikan majoriti 2/3 di parlimen dan sejak 50 tahun lalu tidak pernah dalam sejarah Malaysia, 5 negeri jatuh ke tangan pembangkang. Apa lagi yang boleh saya komen... semua dah tahu. Mungkin BN perlu bekerja dengan lebih kuat lagi untuk mendapatkan semula kepercayaan ramai rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, tahniah kepada BN yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan dengan kemenangan majoriti mudah 137 kerusi parlimen (daripada 222 kerusi) serta mengekalkan kemenangan 2/3 di 6 negeri (Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Perlis dan Sabah) dan 1 negeri majoriti mudah (Negeri Sembilan).
Saya tidak mahu menulis banyak, di saat2 ini apa saja komen, mungkin akan menjadi sesuatu yang sensitif. Tahniah kepada yang berjaya dan kepada yang kalah, mungkin boleh cuba lagi di pilihanraya akan datang.

P/S: Before the election, many mainstream's media asked this question "Is Anwar still relevant?" I think the election results itself had answer that question...

07 March 2008

Pengumuman Cuti : Balik Kampung

Saya akan bercuti dari 8 Mac hingga 11 Mac. InsyaAllah 12 Mac nanti saya dan Dhiya Zafira akan bersama-sama Alaf21FC menerjah premis Karangkraf dan Alaf21. Jumpa di sana!

Hati-hati Pengguna Kad Kredit

Saya mendapat panggilan dari sebuah syarikat yang mengatakan mereka diminta untuk menghantar satu servis kad pada semua pengguna Visa dan Master Card. Kad servis ini bertujuan untuk membantu pelanggan mengawal perbelanjaan mereka. Pada mulanya saya tidak bersetuju memberi apa-apa butiran kad kredit saya tetapi dengan kebijaksanaan mereka akhirnya saya menyerahkan segala-galanya. Tetapi pada akhir temubual itu berlangsung, mereka yang pada mulanya menyatakan yang servis kad itu percuma akhirnya menuntut bayaran RM500++. Saya bertegas tidak akan membuat bayaran tetapi saya diberitahu bahawa saya tidak boleh menolak kad ini dan bayaran tetap akan dibuat.
Saya tidak berpuas hati lalu menelefon ke bank. Saya dimaklumkan bahawa tidak pernah ada usaha dibuat untuk mengeluarkan kad servis kepada pengguna kad kredit untuk mengawal perbelanjaan mereka. Saya juga diberitahu sekiranya saya mendedahkan kepada mana-mana pihak tempoh sah dan 3 angka sekuriti di belakang kad kredit saya, pihak tersebut boleh membuat transaksi tanpa memerlukan tandatangan pemegang kad kredit.
Saya telah meminta supaya kad kredit saya dibatalkan serta-merta. Akibatnya pihak berkenaan tidak dapat membuat apa-apa transaksi serta-merta dan itu bermakna kad kredit saya tidak boleh digunakan lagi. Saya harus menunggu 1 minggu untuk dapatkan kad kredit yang baru.
Kepada anda di luar sana, sila berhati-hati. Saya ni terlalu Pah Bedah nak melayan panggilan orang hingga akhirnya menyusahkan diri sendiri. Mujurlah saya bertindak segera, kalau tidak.....melayanglah RM10 ribu begitu saja....

Dilema Pilihanraya 2008


Esok sudah hari mengundi tetapi saya masih belum membuat sebarang keputusan kepada siapakah undi saya akan diberikan.... Ini merupakan kali kedua saya mengundi... Sejak penamaan calon dibuat, saya sibuk bertanyakan kepada rakan-rakan, nak pangkah BN ke DAP? Agaknya rupa saya pun dah rupa macam gambar Pak Lah kat atas ni.
Antara yang bermain di kepala saya :
1- BN dah lama memerintah kawasan saya tapi perubahan kat kampung sikit jer... Bila nak pilihanraya baru turap jalan tar..Kalau tak, berlubang, mengalahkan lubang kerbau berkubang dibiarkan aje. Paling saya sakit hati, geran tanah tapak rumah yang ibubapa saya duduki, dari saya dilahirkan sampai baru sambut harijadi dua tiga hari lepas, tak nampak batang hitung. Baru-baru ni saya tanya abah, minta abanh turun pejabat tanah waktu pilihanraya dah dekat ni. Abah jawab, baru-baru ni wakil orang kampung dah kutip semua dokumen sebab pejabat tanah kata semua dokumen dah hilang. Kelakar betul, pejabat kerajaan punya besar gabak tu boleh hilang dokumen.... Tapi memang ada logik juga sebab dokumen berusia 31 tahun, memang patutpun hilang.... Yang hairannya isu tanah ni, dokumen tak pernah hilang pulak bila bab nak kena bayar hasil tanah.....
2- DAP pula memperjuangkan Malaysia Malaysian.... Mana boleh! Ini sudah boleh mendatangkan marah. Adus! Pening kepala....
Seorang kawan memberi pendapat, dia kata kampung dia dah tukar parti tapi masih jugak dok gitu...sama saja parti A ke parti B. Kalau begini lebih baik tak payah mengundi.... undi A macam tu undi B macam tu juga... Seorang teman pulak berkata, kampung dia kampung Cina. Ada satu masa mereka pakat-pakat undi calon PAS semata-mata tak puas hati kerajaan tak beri subsidi baja. Tahun itu kerajaan terus bagi subsidi. 5 tahun lepas tu mereka pangkah BN semula.
Termenung saya dibuatnya.... Macam-macam politik Malaysia ni. Ikutkan dilema yang sedang melanda, duduk rumah saja. Namun bila kepala otak yang sedia bernas ni bertanya sudahkah anda tunaikan tanggungjawab anda kepada negara? Saya tidak boleh berkata apa.......

04 March 2008

4 Mac 2008- Terima Kasih Semuanya






Tahun ini saya langsung tidak mahu membuka mulut memberitahu "hari ini hari lahir saya". Tetapi Dhiya sudah mengucapkannya malam semalam (dia takut terlupa!). Saya membaca SMS ucapan kiriman Lynn yang dihantar jam 2.00 pagi, dari adik-adik saya Mas dan Apis semasa bangun tidur. Sampai di sekolah, Dalilah senyum-senyum lalu menghulurkan kek coklat. Katanya "Kak, aku bersengkang mata malam tadi nak buatkan kek coklat ni untuk akak. Selamat hari jadi." Dan saya mendapat ucapan bertubi-tubi dari Mizah, Zura, Su, Adila, Ha, Lina dan Pah, rakan-rakan yang sporting habis.

Sepanjang hari ini saya sibuk menerima SMS dan panggilan telefon dari kawan-kawan. Nampaknya hasrat untuk duduk diam-diam tinggal angan-angan. Terima kasih atas ingatan dari anda untuk seorang Laila yang serba-serbi penuh kekurangan. Terima kasih juga atas persahabatan yang dihulurkan. Semoga persahabatan kita akan terus berkekalan. Untuk Lily Suriani, Rose Harissa, Angah, Kak Lily Haslina, Kak Eka Fahara, Yana, Kak Norzailina, Jue, Kak Ai, Yati, Rinn dan semua yang mendoakan kesejahteraan saya, terima kasih banyak-banyak. Semoga doa kalian dimakbulkan ALLAH.

Petang semalam dengan berkomplotkan abang, Fuza, KRol dan Izzi datang menerjah ke rumah saya untuk bagi surprise. Tengah saya sedap melelapkan mata Fuza menerjah bersama kek hari jadi. Aduhai! Memang menggelabah saya masa tu. Terima kasih kawan-kawan kerana aksi terjah anda memang membuatkan saya panik tahap gaban masa tu. Selepas ini ada 3 lagi birthday party hadiah dari famili dan kawan-kawan untuk hari lahir saya yang ke 31 ini! Tanpa anda semua, siapalah LAILA ini.... Saya SAYANG anda semua..... dan terima kasih kerana menyerikan hidup seorang insan kerdil bernama LAILA. Semoga saya tetap relevan di hati anda! Betapa saya merasakan saya amat dihargai....

Menjawab soalan Dhiya, apa hadiah dari abang.... Mmm.... tunggu entri seterusnya...


02 March 2008

Pilihanraya Umum 2008 : Pertarungan Menarik Pilihan LAILA (Siri 3 - Tengah/Selatan)

Senarai kerusi Parlimen dan DUN yang menjadi pilihan saya dan akan menjadi perhatian ramai pihak di kawasan Tengah dan Selatan (Selangor, Wilayah Persekutuan, NSembilan, Melaka dan Johor) pada 8 Mac nanti.


SELANGOR
P95 - TANJUNG KARANG
Dato Noh Omar (BN) vs Hanipa Maidin (PAS)
P98 - GOMBAK Said Anuar Said Ahmad (BN) vs Mohamad Azmin Ali (PKR)
P100 - PANDAN Dato Ong Tee Keat (BN) vs Syed Shahir Syed Mahamud (PKR)
P101 - HULU LANGAT Dato Markiman Kobiran (BN) vs Che Rosli Che Mat (PAS)
P108 - SHAH ALAM Khalid Abd Samad (PAS) vs Dato Abd Aziz Samsudin (BN)
N3 - SUNGAI PANJANG Dato Sero Mohd Khir Toyo vs Mohd Fadzin Taslimin (PAS)
N26 - BANGI Dr Shafie Abu Bakar (PAS) vs Mohd Fadzil Daud (BN)
N46 - PELABUHAN KLANG Nasir Mansor (BEBAS) vs Badrol Hisham Abdullah (PKR) vs Roselinda Abd Jamil (BN)

WILAYAH PERSEKUTUAN
P118 - SETIAWANGSA Dato Zulhasnan Rafique (BN) vs Ibrahim YAAKOB (PKR)
P119 - TITIWANGSA Dr LoLo Mohamad Ghazali (PAS) vs Dato Aziz Jamaludin Md Tahir (BN)
P121 - LEMBAH PANTAI Dato Seri Shahrizat Abd Jalil (BN) vs Nurul Izzah Anwar (PKR)
P122 - SEPUTEH Teresa Kok Suh Sim (DAP) vs Carol Chew Chee Lim (BN)
P124 - BANDAR TUN RAZAK Tan Chai Ho (BN) vs Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR)
P125 - PUTRAJAYA Dato Tengku Adnan Tengku Mansor (BN) vs Dr Mohammad Noor Mohamad (PAS)


NEGERI SEMBILAN
P126 - JELEBU Dato Seri Rais Mohd Yatim (BN) vs Norman Ipin (PAS)
P131 - REMBAU Khairy Jamaluddin (BN) vs Badrul Hisham Shahrin (PKR)
N27 - RANTAU Dato Mohamad Hassan (BN) vs Aisah Lamsah (PKR)


MELAKA
P135 - ALOR GAJAH Dato Fong Chan Onn (BN) vs Tan Lay Siang (DAP)
P139 - JASIN Zulkifli Othman (PKR) vs Ahmad Hamzah (BN)
N17 - BUKIT BARU Dato Mohd Ali Rustam (BN) vs Bakrin Sidek (PAS)


JOHOR
P142 - LABIS Dato Chua Tee Yong (BN) vs Teo Eng Chin (DAP)
P143 - PAGOH Tan Sri Muhyiddin Yassin (BN) vs Razali Jamil (PAS)
P149 - SRI GADING Dato Mohamed Aziz (BN) vs Ali Markom (PAS)
P153 - SEMBRONG Dato Seri Hishamudin Hussin (BN) vs Lee Sang (PKR)
P156 - KOTA TINGGI Dato Seri Syed Hamid Jaafar Albar (BN) vs Onn Jaafar (PAS)
P163 - KULAI Dato Seri Ong Ka Ting (BN) vs Ng Papk Siong (DAP)
N11 - SEROM Dato Abd Ghani Othman (BN) vs Rusman Kemin (PAS)

01 March 2008

Kenali dirimu melalui bulan kelahiran (Februari)


* Berfikiran abstrak.
* Sukakan benda yang realiti dan abstrak.
* Bijak dan pintar
* Berpewatakan yang mudah berubah.
* Mudah menawan orang lain.
* Agak pendiam.
* Pemalu dan rendah diri.
* Jujur dan setia pada segalanya.
* Keras hati untuk mencapai matlamat.
* Tidak suka dikongkong.
* Mudah memberontak apabila dikongkong.
* Suka kegiatan yang lasak.
* Emosinya mudah terluka dan sangat sensitif.
* Mudah mempamerkan marahnya.
* Tidak suka benda yang remeh-temeh.
* Suka berkawan tapi kurang mempamerkannya.
* Sangat berani dan suka memberontak.
* Bercita-cita tinggi, suka berangan-angan dan ada harapan untuk merealisasikan impiannya.
* Pemerhatian yang tajam.
* Suka hiburan dan sukan.
* Suka benda yang bersifat seni.
* Sangat romantik pada dalaman tetapi tidak pada luaran.
* Berkecenderungan pada benda yang tahyul.
* Amat mudah dan boleh menjadi terlalu boros.
* Belajar untuk mempamerkan emosi


SELEBRITI
John Grisham, 8
Leslie Neilson, 11
Abraham Lincoln,12
John Travolta,18
Jennifer Love Hewitt,21
Tea Leoni, 25

KESAYANGAN LAILA
My favourite teacher ever.... Cikgu Mazlina Markon, 15

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...