20 March 2008

e-cerpen : Ref! Siri 2

“Kayu…!”
“Rasuah ka hoi..!”
“Buta ka?”

Sudin menekup telinga dengan kedua tapak tangannya. Suara-suara jahat itu bergema lagi. Sukar benar dia mengnyahkan suara-suara itu dari telinganya. Sememangnya dia malu dengan peristiwa itu. Sampai matipun rasanya dia akan menanggung rasa malu itu. Mujur saja dia tidak punya zuriat. Jika tidak entah macam mana anaknya mahu menanggung aib seumur hidup.

Segalanya berlaku sekelip mata. Sekelip mata juga namanya sudah gah di Kampung Pinang Jaya. Pagi tadi semasa minum kopi di gerai Pak Meon di kiri kanan orang bertanya hingga dia sukar menepisnya. Semuanya mencemuh, semuanya menjelik padahal sebelum ini dia adalah di antara orang tua yang muda yang cukup disegani dan dihormati di ranking ke tiga di Kampung Pinang Jaya ini. Pertama tentunya Tuk Imam, Lebai Mat dan yang ke dua tak lain tak bukan Haji Dollah, Ketua Kampung Pinang Jaya merangkap orang kuat Yang Berhormat… Ke mana YB pergi, di situlah muka Haji Dollah menjengah, hinggakan kadang-kadang orang jadi keliru yang mana satu YB dan yang mana satu orang kuat…

“Cis!” Sudin bertempik. Genggaman pejal penumbuk singgah di tiang serambi rumahnya yang hanya menunggu masa untuk tumbang. Bergegar seluruh rumah. Cepat-cepat Sudin pegang kembali tiang itu menahannya dari terus bergegar. Bila sudah dipastikan rumahnya tidak roboh, Suding kejap memegang tiang serambi. Tubuhnya ditegakkan. Lagak seorang pahlawan Harimau Berantai sedang naik syeh. Bezanya syeh Harimau Berantai selalunya berakhir dengan tumpahan darah tetapi syeh si Sudin selalunya hanya tamat di situ saja. Tidak ke mana-mana.

Sememangnya Sudin terlalu lembut hati dan pemaaf. Pernah di suatu hari menjelangnyai Hari Raya Aidiladha, seorang Apek terlanggarkan seekor lembu korban peliharaan Sudin di hadapan matanya sendiri. Kerana sifat pemaaf yang semulajadi menebal sejak azali dalam diri Sudin, dia telah memaafkan Apek tersebut. Malah khabarnya Apek itu telah menjadi tetamu istimewa Sudin di pagi hari Raya Kurban pada tahun itu. Itupun setelah Apek itu membayar dua kali ganda harga lembu yang dilanggarnya kepada Sudin. Terbukti Sudin memang pemaaf!

“Abang jugak yang salah….”
Sudin berpaling. Telinganya semakin bernanah. Kenyataan yang baru keluar dari mulut Limah itu memang membuatkan darahnya kembali mendidih. Dia berpaling. Matanya jadi merah. Dia melangkah gagah ke arah isterinya di dapur. Isterinya itu harus diberi amaran terakhir yang penghabisan. Sarang tebuan jangan dijolok!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...