04 September 2008

Novel Ayat-ayat Cinta VS Filem Ayat-ayat Cinta



Ayat Ayat Cinta merupakan novel berbahasa Indonesia karangan Habiburrahman El Shirazy yang diterbitkan pertama kali pada tahun 2004. Penerbit Basmala dan Republika merupakan penerbit novel ini yang menjadi pelopor karya satera Islami yang sedang bangkit saat ini. Karya ini mengandungi 418 halaman dan menjadi salah satu novel terlaris di Indonesia. Khabarnya ia dicetak sebanyak 160 ribu naskah hanya dalam jangka masa tiga tahun.

Di Malaysia, novel ini diterbitkan oleh Ar Risalah Product dengan Norainie Abu sebagai editornya. Kerap kali novel ini berada di carta teratas di kedai-kedai buku di Malaysia. Apa istimewanya novel ini hingga mendapat sambutan yang begitu di luar dugaan? Sebagai salah seorang peminat novel, saya tidak ketinggalan mendapatkannya. Ternyata novel ini berjaya menarik minat saya untuk membacanya bermula dari ayat yang pertama lagi. Sehingga kini saya yang selalu pelupa, boleh mengingat tajuk bab pertama novel ini 'Gadis Mesir Itu Bernama Maria'. Begitu besar sekali impak yang ditinggalkan oleh novel ini hingga saya boleh mengingatnya sehingga ke tajuk babnya, apatah pula jalan ceritanya.


Melihat sambutan penjualan novel ini yang begitu menggalakkan, syarikat produksi MD Pictures kemudian membawanya ke layar perak. Sutradara Indonesia Hanung Bramantyo telah terpilih untuk menggarap pembikinan filem Ayat-Ayat Cinta. Ia dibarisi oleh Fedi Nuril sebagai Fahri, Rianti Cartwright sebagai Aisha, Zaskia Adya Mecca sebagai Noura dan Carissa Putri sebagai Maria Kirgiz.


Ternyata wanita-wanita di dalam filem ini cantik-cantik belaka, terutama sekali Maria... begitu juga dengan Aisya yang bermata menawan itu. Namun pendokong utama watak Fahri itu sedikit mengecewakan saya kerana pandangan saya ia kurang kacak untuk menjadi Fahri sebagaimana gambaran saya semasa membaca novel itu. Mungkin penerbit sukar untuk mencarikan seorang pelakon lelaki yang kacak dan boleh berbahasa Arab, boleh mengaji dengan baik, nampak naif dan lurus seperti Fahri. Mungkin saja lebih mudah menggambarkan sesuatu watak di hujung pena dari menzahirkannya di alam realiti.


Walaupun pada awalnya, filem ini dijadualkan dibuat di Mesir sebagaimana latar tempat dalam novelnya, namun kerana tidak diizinkan oleh Pemerintah Mesir, lokasinya dipindahkan ke India dan beberapa tempat di sekitar Indonesia. Oleh kerana itu, di dalam filem ini latarnya kurang menarik, tidak nampak 'real' dan seperti dibuat-buat. Saya yakin sangat tren yang dipaparkan di dalam filem ini tidak sebagaimana yang digambarkan di dalam novel. Begitu juga dengan ribut pasirnya...seakan kaku sekali....



Secara keseluruhannya, filem ini tidak dapat menandingi kekuatan penceritaan seperti garapan Habiburrahman di dalam novelnya. Tidak seperti filem Lord of The Rings yang diadaptasi dengan lebih baik dari garapan tulisan JRR Tolkien. Ternyata pembuat filem ini harus menggarapnya dengan lebih baik lagi supaya dapat memberi kesan yang lebih mendalam sebagaimana yang ditinggalkan oleh penulis novel ini. Mungkin saja jika Pengarah filem ini adalah pengarah filem Heart, Hanny S Saputra, filem ini akan menjadi lebih menarik.

Namun bagi mereka yang tidak pernah membaca novel ini, tetapi terus menontonnya pasti ingin membaca novel ini. Kata mereka, filem ini ternyata lain dari yang lain kerana ia begitu unik dari segi jalan ceritanya. Kita tidak sedar kita didakwah sambil berhibur.

Kepada peminat filem dan kaki novel, tontonlah filem ini dan bacalah novelnya. Apa kata anda?

Rating: ***1/2

3 comments:

infogue said...

artikel anda:

http://hiburan.infogue.com/
http://hiburan.infogue.com/novel_ayat_ayat_cinta_vs_filem_ayat_ayat_cinta

promosikan artikel anda di infogue.com dan jadikan artikel anda yang terbaik dan terpopuler,telah tersedia widget shareGue dan nikmati fitur info cinema untuk para netter Indonesia. Salam!

Anonymous said...

suke ngan lagu ayat2 cinta....

laila kamilia said...

anon : saya juga suka lagu tu

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...