30 October 2008

Latar Saat Kau Hadir : Kota Kinabalu, Sabah

Saya memilih Kota Kinabalu sebagai latar tempat pertemuan antara Eliana dan Dalton. Bagi saya Kota Kinabalu menarik dan memberikan kenangan manis kepada saya lalu saya ingin mengabadikannya di dalam novel ini.
Pengembaraan saya ke Kota Kinabalu masih belum lengkap kerana saya tidak sempat ke kaki Gunung Kinabalu dan ke pasar tamu yang istimewa di mana penjual membawa hasil jualan terus ke tempat jualan. Kalau jual lembu, mereka akan bawa terus lembu itu ke situ. Insya Allah saya akan ke sana lagi. Pulau yang saya sangat ingin untuk menyelam ialah Pulau Sipadan yang terkenal dengan terumbu karangnya.....

Pemandangan di waktu matahari terbenam di Sutera Harbour Resort, KK.


Marina yang cantik terletak di antara Pacific Sutera dan Magellan Sutera


Ini gambar yang sempat dirakam di Pulau Manukan, destinasi perkelahan yang menarik ramai pengunjung

Gambar-gambar menarik lain yang boleh dilihat di http://www.suteraharbour.com/ turut saya muatkan di bawah.







Saya sempat bergambar di jeti Pulau Mamutik sementara menunggu bot untuk ke Pulau Manukan. Di hadapan bot itu saya menyelam untuk melihat karang laut yang cantik.

Pulau Sapi, Mamutik dan Manukan menjadi sebahagian aset berharga Taman Tunku Abdul Rahman, KK
Banyak gambar menarik lain yang tidak dapat saya upload di sini kerana CD gambar kenangan saya di sana tertinggal di Malaysia.

Proton di bumi Jerman




Jerman memang terkenal dengan kereta-kereta buatannya macam Mercedez dan BMW. Malah orang kita memang selalu menjadikan kereta mereka sebagai kereta idaman. Kalau dapat kereta ni...fuh... kalau boleh malam-malam pun nak tidur dalam kereta! Tapi lensa kamera saya sempat menangkap 2 keping gambar, kereta kebanggaan negara kita di bumi Jerman ini! Sebagai anak Malaysia, saya tumpang berbangga!

29 October 2008

257,411 sijil lahir tanpa nama bapa dikeluarkan-Metro 29 OKT 08

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari tahun 2000 hingga Julai lalu.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa di dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299.“Walau bagaimanapun, di bawah peruntukan Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak untuk mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.“Ini bermakna pihak pendaftar boleh membuat siasatan bagi mendapat maklumat yang sahih bagi tujuan pendaftaran ke atas setiap kelahiran,” katanya menjawab soalan R Sivarasa (PKR-Subang).


Barangkali puisi tulisan T. Alias Taib ini ada relevannya. Menarik puisi ini.

DARAH DI GAUN PUTIH
Mengejut kau pulang dari kota membawa
darah
di gaun putihmu. Ibumu tersentak, antara
percaya dengan tidak, hampir tidak
mengenali
mu lagi: "Astaga, inikah manisku yang dulu
pemalu dan amat mentah? Siapakah gerangan yang
memesongkan kiblatmu, menelanjangkan
hatimu,
mengasarkan sopanmu? Di lorong manakah
kau
tercicir selendang kesayanganmu?"
Mengejut kau pulang ke desa membawa
harum di
rambut perangmu. Ayahmu juga tersentak,
tapi
masih dapat mengenali manisnya yang dulu
pemalu
dan amat mentah. Kejelitaanmu mempersonakannya;
kelopak matamu yang hijau-teduh, dua bibirmu
yang merah basah, pipi halusmu yang samar-lembut
Siapakah gerangan yang memercikkan darah
di
gaun putihmu?

moral: sama-samalah kita menjaga anak-anak kita, baik lelaki apa lagi perempuan.....dan semoga Allah melindungi anak-anak kita.

Quantum of Solace Premiere in Berlin on 3rd. Nov. 2008

Waldsieversdorf , East Germany

Saya ingin berkongsi gambar-gambar cantik pemandangan sekitar Waldsieversdorf, Jerman di Timur Berlin, setengah jam perjalanan saja lagi untuk sampai ke Poland.






28 October 2008

Selamat Pengantin Baru Khairul dan Yani








Akhirnya pasangan ini berkahwin juga... Oh ya, untuk pengetahuan yang tidak tahu, mereka ni bercinta semasa kami sedang belajar di Institut Perguruan Ilmu Khas.


Khairul dan Yani...


Yang pasti ramai yang tidak menyangka Khairul akan memilih Yani dalam sekalian pilihan wanita yang berbaris menantinya (cewah, nak bagi saham nampak tinggi) dan tidak diduga Yani akan memilih Khairul bila ada jejaka yang lebih baik dari Khairul dari semua serba-serbinya (hahaha ini nak bagi saham turun balik) sedang mendepang dada di hadapannya.


Mengenali keduanya, sebenarnya memang sama padan. Yani yang lemah-lembut padanlah dengan Khairul yang lemah-lembut juga... (hahaha kena lagi). Dan sebab itu warna tema perkahwinan ini merah jambu-putih....(betul tak rasional warna dengan pilihan tuan badan?).


Selamat Pengantin Baru. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat. Teman yang dicari bukan sekadar untuk tidur sebantal tapi berlainan mimpi!


ps: kahwin....bukan tiket untuk Khairul lepas dari 'penganiayaan' rakan-rakannya yang kejam, yang kuat benar mengusik.

27 October 2008

Keistimewaan Murid Autisme

Kesempatan saya melawat ke salah sebuah Pusat Dalam Komuniti (PDK) swasta di Cheras pada bulan puasa yang lalu memberi saya pengalaman yang berharga. Di sini kanak-kanak istimewa diberikan pertolongan sesuai dengan kekurangan keupayaan mereka. Apa yang saya lihat, kelas di sini terhad kepada 1 atau 2 orang pelajar untuk seorang guru dalam satu masa. Kerana itu murid-murid yang hadir ke sini hanya setakat 2 jam untuk 2 hari seminggu. Berbanding dengan sekolah pendidikan khas yang muridnya ramai untuk seorang guru dan murid-murid hadir setiap hari persekolahan.
Oleh yang demikian, guru/ahli terapi dapat memberikan pertolongan yang optimum kepada murid berkenaan.
Apa yang menarik perhatian saya, seorang murid Autisme yang pandai melukis. Dia melukis gaya seorang pelukis profesional melukis potret. Istimewanya dia boleh melukis berdasarkan watak yang dilihatnya sehari-hari pada seorang individu itu. Misalnya jika guru A suka tersenyum maka lukisannya akan menunjukkan air muka senyuman sedangkan jika guru B garang maka dia akan melukiskan wajah yang garang juga.
Kesempatan kami ke sana, adik ini berbesar hati buat pertama kalinya mahu melukis gambar guru lelaki. Inilah gambar beliau yang sempat saya rakam menggunakan kamera telefon saya.
Harapnya bila adik ini dewasa, beliau akan terus menyinar dengan bakatnya sebgaimana orang normal menyara hidup hasil dari tangan sendiri.


Buah tu namanya Atemoya

Dari Wikipedia:-
The atemoya, Annona ×atemoya, is a cross between two tropical fruits – the sweetsop (Annona squamosa) and the cherimoya (Annona cherimola) – which are both native fruits of the tropical Americas. This fruit is popular in Taiwan where it is known as the "pineapple sweetsop" (鳳梨釋迦) and is sometimes mistaken for a cross between the sweetsop and the pineapple. In Cuba this fruit is called mamon, and in Venezuela chirimorinon.
An atemoya is normally heart-shaped or rounded, with pale-green, easily-bruised, bumpy skin. It is very juicy and smooth, with the white flesh tasting slightly sweet and a little tart, reminiscent of a Piña Colada. There are many inedible black seeds throughout the flesh of the atemoya. The seeds are toxic.
Terima kasih kak lina!

26 October 2008

Buah apa ni?


Sekali pandang macam buah nona tapi ia berduri. Yang menarik perhatian saya adalah kerana durinya yang tajam macam buah durian. Ada juga rupa durian belanda. Oleh kerana untuk memenuhi keinginan untuk tahu yang begitu menyala-nyala dalam diri saya, maka saya termakan juga pujuk apek jual buah di pekan Bidor, Perak. Kata apek tu "ini buah import punya, dari Australia". Mesti dalam hati apek tu hah termakan pujuk aku bila kata buah import. Tapi hakikatnya saya nak rasa buah yang pelik ni...
Bila dah dibelah buah yang harganya RM8 ini (mahal juga untuk sebiji buah yang kecil), saya cium dulu baunya. Baunya bau buah, manis. Rupanya sebiji macam durian belanda tetapi bijinya kecil. Rasanya.... macam buah durian belanda juga tapi baunya tak tengik macam bau buah durian belanda...
Kesimpulannya yang saya buat, buah ni memang adik-beradik durian belanda. Siapa yang tahu namanya, tolonglah beritahu....

Alhamdulillah... Laptop dah pulih

Alhamdulillah... setelah bersusah-payah menaip dengan menggunakan sebelah tangan, laptop saya akhirnya berjaya kembali pulih. Harapnya biarlah betul-betul pulih kerana saya tiada alasan untuk bermalas-malas di depan komputer. Manuskrip sudah jauh dari garis tarikh yang telah ditetapkan...
Terima kasih kepada Yanty dan Illiana yang sudi membantu (saya download AVG dan betulkan setting keyboard). Muah!

Money Matters : Pindah duit


Bagi mereka yang baru pertama kali hendak ke luar negara tetapi memerlukan duit yang banyak untuk perbelanjaan kehidupan di negara orang di sini saya ingin kongsikan pengalaman tersebut.

Kita boleh memilih sama ada :
a- bawa sendiri (risiko pada keselamatan diri dan duit). Jika nak bawa juga jangan simpan di satu tempat dan dalam beg kargo.
b- bank draft (prosesnya lambat dan ambil masa)
c- travellors cheque (rugi sebab matawang ditukar ke USD dulu baru ke matawang yang kita mahu)
d-moneygram/western union (caj perkhidmatannya agak tinggi)
e- telegrafic transfer (melalui bank sendiri. sedikit caj perkhidmatan dikenakan. kalau Maybank akan caj RM10 per transaction dan Deutsche Bank (EUR 5,50)


Jadi pilihan yang terbaik pastinya e, tetapi jika anda perlu menggunakan duit pada kadar segera sebaik tiba, adalah menjadi masalah jika duit anda masih di bank. Saya difahamkan bahawa rakyat Malaysia tidak boleh membawa keluar wang dari Malaysia secara tunai lebih dari RM10K. Jika perlu membawa jumlah wang yang banyak, kita perlu membuat pengisytiharan kepada kastam dan perlu check in lebih awal 3-4 jam sebelum masa berlepas.

Jadi sebelum keluar dari Malaysia, sila aktifkan aybank Phonebanking. Tetapi jika masih tidak sempat, kita masih boleh memohon TAC melalui konsultan Maybank.

25 October 2008

Laptop meragam kena virus


Kepada semua pengunjung blog, saya minta maaf kerana blog ini mungkin akan bersawang dalam tempoh beberapa ketika kerana laptop saya diserang virus. Saya tidak boleh menaip kerana keypad saya telah menjadi huru-hara. Tekan k keluar a, tekan m keluar o. Inipun saya kena tekan fn sambil menaip. Jika anda ada solution kepada masalah ini, harap dapat bantu saya pada kadar segera. Terima kasih atas budi baik anda.

Jalan-jalan Berlin : Alte Museum


Bersebelahan dengan Berliner Dom ialah Alte Natinalgalerie (Muzium Kebangsaan Lama) yang menyimpan banyak khazanah lama koleksi kurun ke 19. Kalau dilihat betul-betul gambar yang pertama itu di sebelah kanan air pancut itu terbias pelangi di sebelahnya....

24 October 2008

Musim menuai sudah tiba...selamat datang ke dunia baby comel

Entri ini istimewa buat anak-anak teman saya di SKBR. Masing-masing sibuk nak menambah keluarga bermula dari awal tahun lagi... Daripada 9 orang yang masuk pertandingan, hanya 6 orang yang berjaya masuk ke pusingan akhir.... Yang tewas di awal garisan permulaan lagi sayalah antaranya...

Mengikut perkiraannya, orang pertama yang akan bersalin adalah Syalmizahwaty. Kemudian Suriani, isteri Azmi Ismail, isteri Najib, Hamizah dan akhir sekali Azura. Tetapi hendak dijadikan cerita Muhammad Alif hendak jadi abang sulung, maka Ariel Hadiff terpaksa bagi peluang kepada Alif untuk dipanggil Abang Long. Muhammad Alim jadi Abang Ngah, Thaqif Danisy Abang Uda, anak Mizah jadi Abang Chik dan Anak Azura penutupnya menjadi adik yang paling bongsu.

Tak sangka 6 bayi lelaki sekaligus lahir. Koleksi anak-anak lelaki teman-teman saya ini memeriahkan pasukan anak lelaki keluarga kami di SKBR yang memang dah berderet yang diketuai oleh anak Cikgu Rahim dan Cikgu Ramlan. Maka kalau kami nak jadi besan, maka yang lelaki memang kurang pilihan dan siapa yang punya anak perempuan boleh demand!

Nampaknya pada tahun 2015 akan ada ramailah gu Tahun 1 untuk anak guru Pendidikan Khas di SKBR (dengan syarat tiada teman-teman yang berpindah sekolah). Kalau macam sekarang hanya Hardy dan Nizam (anak Azura) yang berada di Tahun 1 sementara seorang lagi Aqil di Tadika yang selalu 'menunggu tangga' menanti ibu dan bapa mereka untuk pulang ke rumah. Saya tak dapat membayangkan apabila hero-hero itu di Tahun 1 nanti. Siapakah paling hero? Siapa pula yang akan sentiasa dibuli?

Tataplah gambar mereka. Siapa yang paling comel? Doakan mereka menjadi anak-anak yang soleh. Terima kasih untuk Adilawati yang sudi menghantar gambar ini khas dari bumi Malaya. Dan sampaikanlah al Fatihah buat arwah anak Mizah yang hanya sempat menghirup nafas duniahanya 2 hari. InsyaAllah abang-abang dan adik akan doakan Arif di sana... Untuk Mizah, semoga tabah menjalani kehidupan. Allah menguji insan yang tabah.... Arif sentiasa menanti di pintu syurga untuk ibu dan ayahnya....

Abang Long -Muhammad Aliff

Abang Ngah - Muhammad Alim

Abang Lang- Muhammad Ariel Hadiff
Abang Uda- Muhammad Thaqif Danisy

Abang Su-belum dinamakan lagi

Dua Wajah Berbeza

Gaya santai anak bujang saya. Macam tak de apa masalah je...


Memang ada gaya orang sakit.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Franfurt malam itu memang memberi dua cerita berbeza. Buat si abang, perjalanan ini begitu mengembirakan. Dia betul-betul menikmati layanan yang disajikan di koc kelas perniagaan itu. Makan, main games, tengok movie dan tidur sedap.

Buat si adik yang kebetulan demam, malam itu memang dia buat perangai. Sekejap-sekejap dia terjaga. Mengiring salah, meniarap lagi tak kena. Akhirnya dia hanya lena betul-betul pada 1 jam terakhir perjalanan 12 jam itu. Itupun sebelum boleh diletakkan di kerusi, dia hendak tidur di atas dada abah atau mamanya. Kami bergilir-gilir menjaganya.
Tapi saya harus berikan pujian kepada krew MAS yang begitu prihatin kepada Hakimy. Sekejap-sekejap datang bertanyakan khabar. Tuala di dahi Hakimy sentiasa digantikan dengan yang baru beberapa jam sekali. Siap bagi panadol lagi (sebab ubat di dalam kargo). Mereka menawarkan pertolongan semasa mendarat di Frankfurt untuk membawa Hakimy ke farmasi tetapi kami menolaknya (atas sebab yang tidak dapat kami nyatakan di sini). Terima kasih atas layanan dan keprihatinan anda!
Kami mengucapkan syukur kerana sebaik mendarat di Frankfurt, Hakimy sudah kembali ceria. Sepertinya malam tadi itu tiada apa-apa yang telah berlaku dan langsung tidak mengganggu istirehat mama dan abahnya.... Saya dan abang tersenyum. Memandang mereka walau penat bagaimanapun tubuh, terasa bahagia....merekalah penyejuk mata, penenang jiwa...

23 October 2008

Jalan-jalan Berlin : Reichtag Building


Bangunan ini merupakan bangunan Parlimen di Jerman yang bersidang sejak tahun 1894. Di pintu gerbang utamanya terukir perkataan Dem Deutschen Volke yang bermaksud Kepada Rakyat Jerman.

22 October 2008

Berlin : Brandenburg Tor


Merupakan pintu masuk ke Berlin City yang menjadi simbol Berlin khususnya dan negara Jerman itu sendiri. Ia dibina pada tahun 1788 hingga 1791 dan menjadi salah satu mercu tanda utama di Eropah. Tidak percaya, lihatlah bilangan pengunjung yang datang dari serata tempat hingga hendak bergambarpun harus mesti ada latar belakang orang di belakangnya.

Ia pintu pagar yang sangat besar dengan 4 ekor kuda yang dinamakan Quadriga di tengah-tengahnya. Kini ia ditutup untuk laluan trafik dan hanya dibuka untuk pejalan kaki.

21 October 2008

Berlin : Berliner Dom

Berliner Dom dari pandangan depan
Berliner Dom dari pandangan sisi

Bangunan ini dibina di antara tahun 1895 and 1905. Bangunan asalnya telahpun dirobohkan dan digantikan dengan yang ada sekarang. Beberapa kali pembaikan dibuat terutama akibat Perang Dunia ke II.

Ikan oh Ikan

Baru masuk minggu kedua, saya dah mula rindu nak makan ikan.... Kat sini payah sikit nak cari ikan sementelah jauh dari laut... Ada juga yang saya nampak di Pasar Turki, tapi satu ikanpun saya tak kenal. Masa pergi Vein Lhoi ada juga ikan yang saya kenal, tapi semuanya frozen.... Teringin ikan segar? Maknanya kena buat research sikit dan cuba rasa sendiri. Kat sini pun rasanya seperti saya baru belajar memasak. Macam baru aje terasa telinga ni pedas kena komen dengan mak masa mula-mula belajar masak dulu....kurang garamlah...hangitlah... entah apa rasa pun tak tahula... kira kalau bagi tetamu datang mesti tak lalu nak makan....

Ini kerana saya belum habis bereksperimen dengan bahan masakan dan perkakasan di sini. Kat sana pakai dapur gas, kat sini pakai dapur elektrik... Pernahlah kerana baru mencuba telur dadar saya hangit.

Oleh itu demi kerana ikan yang saya teringin nak makan sangat-sangat tu (nak buat masak asam pedas dan bakar), saya perlu mendapatkan pertolongan profesional. Orang yang paling layak untuk ditanya tentulah Selebriti Chef kita Kak Norzailina Nordin dan jiran saya yang suka memasak yang sudah biasa tinggal di luar negara, Kak Eka Fahara. Inilah kelas tutorial ikan saya.

Kak Eka :
Kau cari ikan salmon yang isinya oren. Boleh buat masak sambal dan kari. Ikan mackerel (lebih kurang ikan kayu). Ikan soul fish macam ikan pari berwarna putih. Ada juga ikan trout. Segar-segar sedap Laila.

Tutorial 1 : Mencari nama-nama ikan dan rupanya di Google
Mak datuk. Satupun tak ada web yang boleh tunjukkan gambar ikan tu betul-betul. Paling bengang ikan soul fish...ada ke ditunjukkan gambar band Soul Fish... Memang gagal macam ni nak cari ikan kat Berlin ni...

Kak Lina:
Ikan Salmon tu isinya merah-merah (kak Eka kata oren...waaa... dah konfius...agaknya merah oren-oren kot). Sedap kalau buat sup. Cara nak buat sup. Bubuh semua dalam periuk. Bahan-bahan macam kita buat sup ayam/daging tu. Didihkan. Bila warna ikan dah tukar pucat, angkat.
Ikan mackerel macam ikan kembung. Ikan mullet macam ikan gelama tapi besar. Ikan tuna isi dia merah-merah. Semua ikan tu boleh bakar. Cara nak bakar. Bubuh rempah kat ikan. Bungkus dalam aluminium foil. Masuk dalam oven suhu 200 darjah celsius selama 20 minit. (dah ada ikan bakar lepas ni misi nak cari belacanlah pulak sebab nak buat sambal pencicah, hahaha).

Kata saya :
Kak, masalahnya saya dah cari dalam internet...Gambonya semua tak boleh pakai....
Jawapan Kak Lina : Ko pi pasar. Peh tu ko ambik gambo ikan tu sekor-sekor. Ko post kat blog. Nanti akak komen.

Tutorial 2 : Mengambil gambar ikan di Pasar Turki
Aduh! Nak buat tidak, nak buat tidak! Nanti orang Turki tu kata bengong orang Malaysia ni. Sanggupkah saya menyelesaikan tutorial ini dalam misi makan ikan??? Tunggu!

Di Langit Cinta karya terbaru Lily Haslina Nasir


Sinopsis:

Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.

“Cinta pertama dengan kau tapi malam pertama dengan Meriam!” Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!

Benarkah cuma dia yang setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuanya tentang Raiz. Tapi, batinnya terseksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.

Di langit sana... Raiz pula menangisi setiap malamnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu untuk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yang pertama dan terakhir setelah beratus kali
Meriam menyindirnya suami dayus dan serba-serbi tidak mampu.

Kasih mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan Raiz dipertemukan semula dalam episod kedua. Janji mereka untuk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dengan ijab kabul tanpa restu keluarga.

Bagaimana dengan Meriam?

Penulis tersohor ini juga sedang bermurah hati nak bagi hadiah kepada pembaca bertuah! Apa kata setelah habis membaca, anda tunjukkan bakat pada Kak Lily kita... Mesti lumayan hadiahnya. Apa yang perlu anda buat?

Sila beri pendapat anda.... Bagi pendapatpun orang nak bagi hadiah... Cubalah, mana tahu nasib anda baik...

1. APA YANG PALING ANDA SUKA TENTANG DI LANGIT CINTA?

2. PERKARA YANG ANDA TIDAK SUKA TENTANG DI LANGIT CINTA?

3. BABAK DAN DIALOG YANG MANA YANG PALING ANDA INGATI DI DALAM DI LANGIT CINTA?

4. WATAK YANG PALING BERKESAN DI HATI ANDA?

5. KALAU ANDALAH PENULIS DI LANGIT CINTA, APA AGAKNYA PERUBAHAN JALAN CERITA YG ANDA LAKUKAN?



Senangkan?! Hantarkan emel pada saya roslily@gmail.com sebelum atau pada 5 Disember 2008.

Kereta Baru Saya : Made in Germany

Abang Idrose pesan beli Mercedez atau BMW bawa balik Malaysia. Belumpun dua minggu di sini, saya sudahpun menunaikan pesanannya....

Tada! Inilah dia kereta baru saya.... Cantik tak?

Di sini plastik untuk membeli barang tidak disediakan. Masa kat Malaysia kita siap buang-buang lagi plastik kalau shopping kat Carefour. Kat sini dah bayar, barang-barang kena masukkan ke dalam beg masing-masing. Kira memang satu siksaan kalau nak membeli barang tapi tak ada beg. Lagi payah sebab tak ada kereta yang memerlukan kita naik bas turun bas/tram/subway.
Ada satu hari, Fida bawa saya ke Pasar Turki. Di situlah saya beli kereta tu dengan harga Euro 10,00. Masa tu semangat nak membeli barang menyala-nyala. Beli barang sampai tak ingat dunia. Almaklum bila dah jumpa barang dapur yang kita nak di Asian Market Vein Lhoi (macam nama Vietnam je) di bumi yang turun salji ni. Bila balik, sementara nak tunggu abang habis kelas jam 3.00 ptg, saya naik ke rumah Fida. Fuh! Berpeluh ketiak, rasa nak patah pinggang. Kerana saya harus mengangkut kereta saya untuk di parking di tingkat 4 apartment Fida! Tak payah bayangkan barang lain yang ada dalam kereta tu, cukuplah kalau saya kata antara barang yang saya beli adalah beras yang beratnya 5 kilo! Itu baru naik, turun pun sama juga siksanya. Cuba bayangkan pula Fida dan Abang Chik yang mengangkat beras 20 kilo ke apartment mereka.... Esoknya saya rasa nak demam. Dan Fida sudah gelakkan saya!

20 October 2008

Berlin - Fernsehturm Berlin (Television Tower)

Lebih kurang menara KL juga Kami sempat posing ultraman

Bergambar kenangan di sekitar kawasan Fernsehturm



Pelukis jalanan sedang menunjukkan bakat

Mercu tanda di pusat bandar Berlin ini dibina pada tahun 1965. Lama juga sudah lebih kurang 43 tahun dibina. Dengan ketinggian hanya 368 m, Berlin Tower ini merupakan satu tarikan pelancong ke Berlin. Malah, tak sah ke Berlin jika tidak singgah ke sini. Di kawasan menara ini terdapat taman bunga mawar berwarna merah jambu di sebelah kanan dan kiri. Di tengah-tengahnya ada patung pancutan air yang sangat cantik.
Mercu ini yang keempat tertinggi di Eropah. Seperti Menara KL, ada juga restoren dan menara tinjau di sini. Jadi kita boleh makan sambil melihat Berlin. Dikatakan kita akan kembali ke kedudukan asal dalam tempoh 30 minit.
Menara televisyen ini mula memancarkan siaran percubaan selepas 4 tahun dibina pada 3 Oktober 1969.

19 October 2008

Penghargaan dari Laila untuk anda

Tanpa anda semua di belakang saya, siapalah seorang Laila! Kesempatan ini saya ingin merakam jutaan terima kasih buat semua yang sentiasa menyokong hobi saya ni... Ada orang bertanya kenapa Laila rajin sangat abadikan nama-nama atau watak-watak rakan-rakannya kat dalam novel... Jawapan saya mudah saja...itu caranya saya mengabadikan kenangan bersama anda semua. Itu juga caranya saya menghargai persahabatan kita. Kerana bila kita tiada lagi nanti, tulisan saya itu akan dapat dikenang oleh penyambung zuriat kita.... Terima kasih kerana mewarnai dunia Laila.

Yang pertama sekali tentulah untuk suami Aedy Fadly Ramli yang sentiasa menjadi hero dalam hidup saya. Tanpa dia menyelamatkan saya berkali-kali, Saat Kau Hadir ini tidak akan sekali-kali hadir.

Untuk ibubapa Puan Hamidah dan Encik Kamaluddin juga mertua Hajah Abidah dan Haji Ramli yang sentiasa memberi sokongan dan suntikan semangat untuk saya terus menulis.

Anak-anak yang comel dan nakal Hardy Zahidy dan Hariz Hakimy yang selalu mengacau mama 'bekerja'. Suatu hari kalian akan faham juga.... dan saat itu mama pasti merindukan telatah kalian mengganggu mama.

Dr. Imran Syakir yang sudi meminjamkan nama Dr. Imran Syakir dalam SKH ini. Begitu juga Illiana Azizan untuk Eliana Irdina. Persahabatan antara kita akan menjadi kenangan terindah yang tidak akan saya lupakan. Moga kalian menemukan kebahagiaan dalam hidup akhirnya. Orang yang baik, akan bertemu jodoh dengan yang baik juga, InsyaAllah.

Ernaleza Mahsum, yang banyak membantu saya mengenali orang Sabah. Dalton di Pulau Mamutik dan Firdaus dan rakan-rakan di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah. Perkenalan yang sekejap tetapi meinggalkan kenangan yang manis buat saya. Aramaiti!

Kakitangan Alaf 21 Sdn Bhd yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan, bimbingan dan panduan buat pendatang baru. Tanpa mereka bekerja bersungguh-sungguh, SKH ini tidak sekali-kali akan menjadi realiti.

Para peminat novel dan Alaf21 Fan Club yang sentiasa menyokong juga memberikan komen dan kritikan membina untuk saya lebih berdaya saing dan bekerja lebih kuat.

Rakan-rakan novelis yang menyemarakkan semangat saya untuk menulis dan menulis, lalu kritikan mereka saya jadikan panduan untuk meningkatkan mutu penulisan-Kak Norzailina Nordin, Kak Lily Haslina Nasir, Kak Eka Fahara, Lynn Dayana, Dhiya Zafira, Lily Suriani, Rose Harissa dan Umi Azrini. Juga rakan-rakan penulis lain yang senarainya terlalu panjang untuk saya tuliskan. Terima kasih untuk semua.

Juga pelayar blog yang rajin mewarnai lailakamilia.blogspot.com

Selamat membaca Saat Kau Hadir. Yang baik jadi tauladan, buruk buat sempadan. Semoga terhibur!


18 October 2008

Persembahan Pentas yang Menyeronokkan

Produksi pementasan pentas Mencari Jalan Pulang. Ada pokok, bunga, gajah, itik, tenggiling, rama-rama dan harimau (yang sudah tukar kostum). Cuba teka di mana saya? Hehehehe! Yang paling comel sebelah mak arnab. Tak payah pakai kostum sebab saya hanya menulis skrip saja. Kasi peluang orang lain tunjuk bakat berlakon!
Kelakar! Bila dah tua-tua kena jadi budak kecik. Tapi jangan bimbang, orang tua sebenarnya lagi terror kalau disuruh jadi budak kecik. Kami yang tua-tua ni begitu teruja melakonkan watak-watak yang diciptakan. Nanti bila ke sekolah, kami akan bimbing murid-murid berlakon seperti kami juga. Pasti kenangan semasa di IPIK akan terjelma semula. Memang kami berguling-guling ketawa bila tengok balik pementasan ini. Tapi yang syoknya kawan-kawan semuanya sporting. Suruhlah jadi apapun! Tapi paling best tentu jadi penulis skrip. Sebab saya boleh berkhayal dan part paling syok mengenakan kawan sendiri. Siapa suruh saya tulis skrip. Padan muka diaorang saya suruh berguling, menari dan pakai kostum pelik-pelik. Maaflah ye. Bukankah sebelum buat skrip saya dah tanya kalian “ Betul ke nak bagi saya tulis skrip ni?” dan kalian sedap saja mengangguk.

17 October 2008

Rumah kecil kami


Bergambar di hadapan rumah kami



Permandangan di kawasan apartment



Ruang antara bilik dalam apartment


Bilik kecil di apartment kami


Ruang dapur

Rumah kecil kami. Cukuplah untuk kami sekeluarga. Ada 2 bilik tidur, 2 bilik air dan 1 tandas juga dapur yang comel (kak Eka mesti tak suka sebab dia rajin memasak, tak suka berlaga buntut).

Dari tingkap rumah, kami akan nampak pemandangan hijau pokok pine dan dedaun pohon lain yang sedang menguning. Mula-mula kami datang, masih ada daunnya lagi. Sempat kami berpossing kat depan rumah tapi sekarang daun sudah banyak yang gugur.... dah botak dan daun dah coklat. Dulu burung-burung rajin juga singgah kat pokok-pokok tu. Ada juga lebah yang sibuk bekerja. Masing-masing hendak menyimpan bekalan untuk winter nanti agaknya.

Dari tingkap rumah kami juga ada dua buah rumah yang cantik sangat balkoninya. Ada bunga helicolia bergantung, ada juga kincir angin mainan. Bila angin bertiup, kincir anginnya turut sama bertiup. Saya suka tengok pemandangannya....penuh warna-warni... Lebih mudah dibayangkan bunga-bunga di Cameron Highland bunga-bunga di sini.

Rumah ni sementara saja untuk dua bulan. Lepas ni kami kena cari rumah lain. Kami akan berpindah lagi... Dulu-dulu saya selalu kata saya ni boleh dijadikan 'Tokoh Maal Hijrah' sebab rajin sangat berpindah rumah (rumah kami di BSP rumah yang ke enam). Kami akan pindah lagi... Mesti seronok dan lebih 'adventure' sebab kali ini kami berpindah tanpa lori dan tanpa kereta. Nantikan entri saya pada masa akan datang untuk laporan Pindah Rumah pula....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...