03 November 2008

Terima Kasih dari Laila untuk Soft Launch Saat Kau Hadir


Alhamdulillah.... dah selesai satu cerita. Walaupun saya tiada di sana, tetapi Soft Launch novel Saat Kau Hadir bersama novel Lily Suriani, Tika Rindu Berlagu tetap berjalan dengan lancar. Saya ingin merakam penghargaan buat-insan-insan yang bertungkus-lumus menjayakannya! Buat Kak Norzailina Nordin, Kak Eka Fahara, Lynn Dayana, Lily Suriani dan Dhiya Zafira; Semoga ALLAH membalas kebaikan anda dengan kebaikan yang lebih lagi.




Inilah ucapan saya selama 5 minit... yang dibacakan oleh Cik Lynn... Terasa macam YB pulak... Memang kalau boleh, semua orang saya nak ucapkan terima kasih...




Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua tetamu yang hadir untuk Majlis Soft Launch novel Tika Rindu Berlagu dan Saat Kau Hadir ini.

Pertamanya izinkan saya merakam penghargaan yang tidak terhingga kepada rakan-rakan novelis Kak Norzailina, Kak Eka Fahara, Lynn Dayana, Lily Suriani dan Dhiya Zafira (yang tidak dapat hadir) yang menjadi tulang belakang majlis ini. Mohon hadirin memberikan tepukan semangat kepada mereka. Tanpa mereka majlis ini sekali-kali tidak akan menjadi kenyataan.

Semasa rakan-rakan merancang majlis ini, bertungkus-lumus dan berpenat-lelah bagi memastikan kelancaran majlis ini, saya hanya mampu mendoakan dari jauh. Saya berharap saya dapat bersama-sama mereka mengharungi hari yang bersejarah ini. Pastinya seronok berkampung di rumah Kak Eka menyiapkan goodie bag setelah sakit kaki bershopping di tempat kegemaran kami. Sesungguhnya keakraban dan persahabatan antara kami tidak dapat diukur dengan nilaian ringgit. Saya merindukan saat-saat bersama mereka.

Oh! Hari ini bukan hari untuk bersedih! Hari ini hari gembira dan seharusnya diraikan dengan kata-kata gembira.

Setelah bersengkang mata di depan komputer, berdiskusi dengan teman dan editor, akhirnya Saat Kau Hadir ini lahir juga. Meminjam kata-kata Pengurus Besar Alaf 21, Encik Nordin semasa saya merisik-risik novel ini, “Saat Kau Hadir akan keluar Saat Kau Pergi!” Pada mulanya saya ingatkan dia berlawak (dan saya tidak berani nak berlawak lebih dengan dia) tapi kata-katanya jadi kenyataan. Sekalipun saya tidak dapat memegang ‘baby’ saya kali ini, melihatnya lewat web cam tengahari tadi sudah membuatkan saya rasa puas hati. (terima kasih pada Cik Lynn yang lenguh tangan menayangkan novel itu di depan skrin komputer!)

Terima kasih Encik Nordin, terima kasih Alaf 21, yang masih memberi kepercayaan untuk menerbitkan novel kedua saya ini. Kepada Kakitangan Alaf21 terutamanya editor saya Ruzita, yang tidak jemu memberikan panduan dan sokongan kepada penulis baru seperti saya yang masih terkapai-kapai mencari kedudukan dalam industri ini.

Tidak dilupakan juga pada para peminat novel, Alaf21FC juga pelayar blog yang menyokong dan memberi kritikan membina untuk saya terus mencabar diri menghasilkan karya yang lebih baik dari masa ke semasa.

Saat Kau Hadir mengutarakan tentang masalah jiwa seorang gadis manis bernama Eliana Irdina yang mengalami halusinasi. Jadi dalam novel ini nanti, pembaca akan bertemu dengan istilah-istilah psikologi seperti depresi, delusi, bipolar disorder dan sebagainya. Dalam cerita ini, Eliana terasa-rasa kehadiran Amri sedangkan pada orang lain Amri itu tidak wujud. Eliana dikatakan gila dan pada ketika itu hanya Imran yang percaya dengan cerita Eliana.

Jika dalam novel pertama Lakaran Kasih, saya mengisahkan kasih sayang seorang bapa, kali ini pengorbanan seorang ibu saya paparkan. Harapan saya semoga pembaca menghargai kasih sayang yang dianugerahkan oleh seorang ibubapa sementara mereka masih ada. Dengan doa mereka, kita telah melangkah sejauh ini.

Idea untuk menghasilkan novel ini timbul pada satu perjalanan keretapi. Disebabkan suka mencuba, saya menaiki keretapi dari KL Sentral ke Alor Setar dan dari situ segalanya bermula. Saya mula melakar watak dan jalan cerita Saat Kau Hadir.


Istimewanya novel ini bagi saya kerana ia disiapkan dalam satu tempoh jangka yang agak panjang. Saya telah menyiapkan satu per empat kisah ini sebelum memeramnya hampir setahun disebabkan tuntutan pengajian. Jadi dalam tempoh 2 bulan, saya memang bersengkang mata dan pulun habis untuk menyiapkannya supaya saya dapat menyerahkannya kepada editor awal tahun ini. Istimewanya lagi, walaupun dalam keadaan tertekan dengan masa, saya masih sempat membuat dua perubahan besar pada jalan cerita ini. Dan sebenarnya ia mempunyai dua pengakhiran cerita yang berbeza.

Saya berharap novel ini akan mendapat tempat di hati anda.

Akhir sekali terima kasih sekali lagi atas sokongan anda. Doakan saya hidup baik-baik di perantauan. Semoga kita akan dapat bertemu lagi insyaAllah pada Pesta Buku 2011.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun ikan…

ikan trout, ikan gelama
berisi oren siapakah gerangan
tanpa tuan siapalah hamba
ibarat pungguk angankan rang bulan

Terima kasih semua! Tcuss! (selamat tinggal). Assalamualaikum!
Laila Kamilia- Iraniche Strase, Berlin, Jerman

ps : saya sebenarnya sudah menyediakan video istimewa untuk majlis ini tetapi disebabkan masalah teknikal, ia tidak dapat dipaparkan. Jadi lawatlah blog saya untuk melihat video tersebut!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...