31 March 2009

Kotornya Air di Rumah



Selalunya kita melihat air paip sangat jernih. tetapi pernahkah kita terfikir bahawa air paip yg kita gunakan sehari-hari di rumah kita rupanya sebenarnya seperti di atas? Gambar ini diambil di rumah saya di Bangi setelah air paip ditapis menggunakan penapis yang disambung di luar rumah dan partikelnya akan menapis kotoran (yang terlalu banyak) dan disalur keluar ke longkang. Cuba bayangkan sekiranya kita tidak menapis air kita terlebih dahulu. Sanggupkah anda meminumnya? Nak mandi pun akan berfikir banyak kali. Adoi!

29 March 2009

Sehari Bukan 24 Jam!

Kalau masa di Malaysia, saya selalu merungut tidak cukup masa 24 jam sehari. Kalau boleh biarlah ada 25 jam ke. Kalau masa rasa panjang sangat, saya berharap pula masa ada 23 jam sehari! Tapi bila di Berlin ni, saya merasa ketiga-tiganya.....

Di permulaan Winter tempohari sekitar bulan Oktober jika saya tidak silap, setiap orang kena menambah masa selama 1 jam bermakna hari permulaan Winter menjadi 25 jam sehari.... Ini menjadikan perbezaan waktu dengan Malaysia yang sebelumnya 6 jam menjadi 7 jam. Ini bertujuan untuk memanjangkan masa siang yang selalunya cepat gelap kerana musim sejuk ketiadaan matahari (jam 3 atau 4 sudah Maghrib).

Jadi semalam disebabkan Winter telah secara rasminya tamat, malam tadi setiap orang kena mengurangkan masa selama 1 jam kembali menjadi 23 jam sehari menjadikan perbezaan waktu dengan Malaysia kembali menjadi 6 jam!

Hari ini, masa kami menjadi 24 jam sehari kembali....Jadi siapa kata kita tidak boleh memiliki 23 jam ataupun 25 jam sehari!

28 March 2009

Sokonglah 60 Earth Hour

Marilah kita sama-sama menyokong Earth Hour hari ini 28 Mac 2009 bermula jam 8.30 malam hingga 9.30 malam. Hanya 1 jam kita bergelap dalam setahun untuk menyelamatkan bumi.....terdayakah kita melakukannya?



26 March 2009

1 Jumaat Lagi


Janganla senyum-senyum bila membaca tajuk entri saya kali ini. Esok InsyaAllah merupakan hari Jumaat terakhir perpisahan antara saya dan anak-anak dengan abang. Alkisahnya semasa hendak bertolak dulu, semasa sesi menjelaskan kepada anak-anak tentang pemergian abahnya (biasa kalau hendak keluar daerah memang abang akan memanggil semua anak-anaknya dan menjelaskan ke mana dan mengapa dia akan tiada di rumah beberapa hari, dipesan juga supaya mendengar kata mama dan menjaga mamanya semasa abah tiada) sejak anak masih kecil lagi (walau masa tu memang kami tahu anak tidak faham sepatah apapun yang abahnya cakapkan). Hasilnya anak-anak memahami pemergian abah mereka dan jarang bertanya bila abah hendak balik etc.

Jadi semasa Hardy bertanya berapa lama abah hendak pergi, jawapan abahnya 6 minggu. "6 minggu? 6 minggu tu anyak mana?" Hardy bertanya dalam keadaan keliru. Abahnya menggaru kepala seketika kerana hendak memberi penjelasan yang mudah kepada anak berusia tak sampai 8 tahun itu. Setelah berfikir sejenak, beginilah jawapannya. " Abah akan balik selepas 6 kali Jumaat." Ini kerana Hardy bersekolah selama seminggu dan hari terakhir sekolahnya adalah hari Jumaat. Sejak abahnya pergi, Hardy asyik membilang bilangan hari Jumaat yang tinggal setiap kali pulang setiap kali hari Jumaat.

Jadi esok adalah hari Jumaat terakhir sebelum abahnya pulang pada 2 April ini, kembali ke Berlin. Anak-anak tidak sabar menunggu, macam-macam yang dipesan kepada abahnya dari Malaysia. Mujurlah baru pandai memesan mainan, kalau dipesannya makanan yang mentah, jenuhlah abahnya nak fikir bagaimana nak bawa kerana perjalanan dari KL ke Berlin akan mengambil masa selama 21 jam perjalanan!

24 March 2009

Jika hendak ke Eropah

Lawatlah link-link berikut untuk tengok hotel-hotel yang berpadanan dengan bajet anda.

http://www.hotelformule1.com/formule1/index.html

http://www.etaphotel.com/gb/home/index.shtml

http://www.ibishotel.com/gb/home/index.shtml



tapi kalau nak ke Berlin, masuk saja ke hotel ini http://lailakamilia.blogspot.com/

heehe...gerenti harganya berpatutan....

kalau nak terbang pula, mungkin link2 ini akan membantu anda membuat bajet...
http://www.ryanair.com/site/EN/
http://www.easyjet.com/en/book/index.asp
http://www.tuifly.com/de/index.html
http://www.klm.com/travel/klm_splash/splashpage.html
http://www.emirates.com/

nota-kalau nak jimat, boleh saja naik Air Asia dari KLIA, turun di London. Kemudian dari London boleh pilih ke mana2 destinasi di Eropah ini dengan kapal terbang tambah murah yang lain seperti ryan air, easy jet etc. Setiap negara ada kapal terbang tambang murahnya sendiri. Selamat Melancong!

23 March 2009

iPhone 3G: Kini di Malaysia


Sejak pelancaran iPhone pada tahun 2007, gajet ini telah mendapat sambutan di luar dugaan di seluruh dunia. Pada tahun 2008, syarikat pengeluarnya Apple telah mengeluarkan model baru dengan penambahan ciri 3G dalam model tersebut. Ini telah meningkatkan lagi permintaan model telefon ini di seluruh dunia. iPhone 3G dikeluarkan dalam dua model 8Gb dan 16Gb mempunyai ciri-ciri smartphone yang cukup canggih yang saya sendiri sukar untuk ceritakan.

Saya ada mengikuti juga perkembangan iPhone ini sejak abang menyatakan minatnya untuk memiliki iPhone ketika mula sampai di German beberapa bulan lepas. Di US, Jepun, Hong Kong, UK dan beberapa tempat lagi, manusia beratur seawal pagi bagi mendapatkan model ini pada hari pertama pelancarannya. Dalam masa 3 bulan pelancarannya saja, sebanyak 3 juta unit telah terjual dan sehingga kini jumlah iPhone yang terjual di seluruh dunia adalah sebanyak 17 juta unit menjadikan Apple sebagai pengeluar telefon terbesar selepas Nokia dan Samsung.

Polisi Apple mengkehendaki iphone perlu dijual bersama dengan line telefon dan jika dijual iPhonenya sahaja tanpa line, pengguna terpaksa membayar harga yang tinggi. Operator yang mendapat lesen di US kalau tak silap saya ialah AT&T dan kalau di UK ialah O2. Di Singapura iPhone sudahpun bertapak sejak tahun lalu di bawah lesen SingTel (kalau tak salah saya). Kalau di German, T-Mobile ada menawarkan iPhone dengan harga EUR1.00 sahaja tetapi dengan linenya yang ehem...ehem dekat EUR200 sebulan selama 2 tahun! Itu yang tak jadi lagi beli iPhone hingga sekarang tu.

Sejak pelancaran iPhone di US pada 2007, hanya unit 'underwater' saja yang boleh diperolehi di Malaysia. Di Malaysia, harga iPhone unofficial tanpa line saja mencecah hampir RM3,000 dan ke atas. Itupun tiada jaminan daripada Apple, hanya jaminan penjual telefon tersebut saja. Kalau beli di Bukit Bintang, di Bukit Bintanglah tempat jaminannya sekiranya berlaku apa-apa kerosakan. Bagi saya, hanya orang Malaysia yang betul-betul mampu dan minat sahaja yang sanggup membayar dengan harga tinggi dan mengambil risiko tersebut.

Kini setelah beberapa tahun iPhone berada di pasaran, penduduk di Malaysia berpeluang menikmati iPhone dengan harga yang agak boleh dipertimbangkan. Terima kasih kepada Maxis yang membawakan iPhone ke Malaysia. Dengan harga RM100 sebulan untuk 24 bulan dan menambah sebanyak RM1500 lagi, anda akan memiliki iPhone 3g baru yang official.

Apa kata rakan-rakan di Malaysia cuba dahulu menggunakan iPhone dan kongsikan pengalamannya dengan saya? Apa kata kita mulakan dengan Kak Eka? Kak Eka pasti tidak mahu melepaskan peluang ini kerana dia peminat produk Apple? Amacam Kak, ada berani?

22 March 2009

Amaran! Hati-hati Bila Membaca Balasan YM Laila!


Tinggal beribu-ribu batu dari tanah air membuatkan hubungan saya dengan keluarga dan teman-teman terhad. Hanya emel dan YM menghubungkan jarak yang jauh antara kami. Namun faktor masa, membuatkan kadang-kadang kami tidak dapat berbual lama. Beza waktu Berlin-K.L adalah 7 jam (day light saving time) atau 6 jam (waktu biasa). Ini bermakna bila saya baru bangun untuk bersarapan pagi jam 6 atau 7 pagi, anda di Malaysia sudahpun habis makan tengahari dan bagi yang kuat makan, mungkin sudah tidak sabar menunggu waktu minum petang pula. Perubahan masa itu sentiasa berubah-ubah dengan perubahan musim di Berlin.

Semasa Hardy sudah pandai membaca, sekitar umurnya 6 tahun, saya pernah membuat entri tentang dia sudah pandai menghantar SMS melalui telefon bimbit saya. Kali ini pada usianya belumpun sampai 8 tahun, Hardy belajar sesuatu yang baru.... YM.....

Bagaimana dia boleh mendapat ilmu baru ini? Disebabkan kebosanan di rumah (nak keluar bermain sejuk dan siaran TV dalam Deutsche) maka saya izinkan dia melayari internet. Dia paling suka tengok YouTube melihat Ultraman, Sin Chan, Upin dan Ipin, Doraemon dan siaran-siaran Astro macam Hikayat Putra Shazlan dan Geng Bas Sekolah. Jadi kadang-kadang bila ada teman-teman yang Buzz! saya di YM dia akan tolong nak jawab. Jadi sekiranya jawapan kepada sapaan anda di YM itu berbunyi ala-ala begini:-
-ejaan dan tatabahasanya sangat skema menggunakan bahasa Malaysia standard cth: Saya sedang makan di dapur bersama Hakimy
-tanpa ada penggunaan ringkasan perkataan cth: Di Malaysia sudah pukul berapa?
-Buzz! banyak kali bila anda tidak menjawab balik
-simbol-simbol YM seperti ketawa, sedih etc banyak dihantar kepada anda
-bila berlaku kesalahan ejaan, balasannya akan ditulis dari perkataan pertama hinggalah ke perkataan yang salah/ hingga habis ayat keseluruhan cth: Saya akan bersembang dengan awak pukul 3 nanti, sedangkan perkataan yang salah dieja yang perlu dibetulkan mungkin perkataan bersembang sahaja

Jadi, sekiranya anda menerima balasan YM dari saya hati-hatilah. Sudah ramai yang terpedaya. Jika saya tidak memberitahu kepada mereka, mereka ingatkan yang sedang berYM dengan anda adalah saya tetapi sebenarnya Hardy. Tetapi setakat ini, dia memberitahu saya siapa yang sedang menegur saya di YM. Seringkali juga di waktu saya sedang tidur dia mengejutkan saya dan memberitahu anda sedang bertanyakan sesuatu kepada saya. Kebiasaannya saya akan meminta dia menaipkan jawapan saya kepada anda...Hehehe... saya yang bersalah sebenarnya... Lain masa, bolehkah anda teka siapa yang sedang menjawab YM anda... saya atau dia???

19 March 2009

KEMBARA EROPAH: Gendamenmarkt, Berlin




Gendamenmarkt, Berlin terkenal dengan Pasar Krismasnya. Pada musim hampir Krismas, suasana dataran di sini begitu sibuk dengan aktiviti berjualan dan fun fair. Ia mengandungi 3 bangunan utama iaitu French Cathederal di kanan, Konzerthaus di tengah dan German Cathederal di sebelah kiri. Pada masa ini German Cathederal sedang dibaikpulih.

Tercapaikah impian melihat Raja Pecut Dunia di Berlin....

Saya sangat mengagumi kehebatan beliau berlari. Semasa beliau mengukir sejarah mencipta rekod dunia dengan memenangi 3 acara pecut di Olimpik China, saya sudah menyimpan angan-angan untuk melihatnya berlari di Olympia Stadion, Berlin pada Kejohanan Dunia IAAF di Berlin Ogos nanti. Tapi tercapaikah impian saya dengan harga tiket yang mahal untuk melihat hanya di bawah 10 saat dia berlari di stadium itu? Oh! Sanggupkah saya berhabis duit untuk melihatnya menamatkan 100m dan mencipta rekod baru di garisan penamat? Ramai pelari pecut ternama dunia akan bertanding bersamanya....Tentulah rugi jika saya tidak berada di sana di saat dia merayakan kejayaan kejohanan yang ditunggu-tunggunya selepas olimpik....

18 March 2009

KEMBARA EROPAH: Deutsches Tecknikmuseum



Kami ke muzium menggantikan aktiviti bermain ski yang tak jadi. Di kepala semasa hendak menjejak kaki ke muzium, budak-budak ni mesti boring masuk kat dalam ni tapi andaian itu ternyata melesat bila mereka tidak mahu balik dan hendak ronda-ronda lagi.... Ternyata aktiviti interaktif pada pameran Mathema itu memang berjaya memikat anak-anak untuk duduk lama-lama di sana! Alahai! Mak yang sibuk nak balik sebab lapar dan penat berjalan!

15 March 2009

Bandingkan Harga Kami

  

Ingat tagline di atas? Kalau tak salah saya, itu tagline bagi Mydin... Lama dah tak ke Mydin tapi saya berani jamin, sesaknya Mydin tetap tidak berubah. Giant juga tidak kurang hebatnya. Dengan tagline "Peneraju Harga Rendah Terunggul di Malaysia", apa kata kita cuba membandingkan harga barang-barang makanan utama di Berlin juga di Malaysia. Saya ingat nak ajak Kak Eka kita pi shopping.... Kita penuhkan troli kita. Satu, dua, tiga, go......... Mari kita tengok siapa yang paling beruntung dalam berbelanja...

Troli saya (Harga di Berlin dalam Euro) :
Roti (Buttertoast) 1 buku besar - 0.79
Susu segar (Milch) 1L - 0.49
Susu coklat (Schocolade Milch) 1L - 0.69
Jus oren (Orangensaft) 1.5L - 0.69
Yogurt buahan (Frucht Jaghurt) 150g - 0.29
Anggur (Trauben) 1kg - 1.49
Limau (Clementinen) 1kg - 0.50
Nugget ayam (Huhn Nuggets) 1kg - 4.99
Pisang (Bananen) 1kg - 0.79
Gula (Raffinade) - 0.85
Telur (Eier) (10bj) saiz L hingga S - 1.29
Jumlah besar : Euro 12.86 (Jumlah RM61.73)

Troli Kak Eka (Harga dalam RM) :
roti - 2.40
susu segar-4.50
susu chocolate- 4.20
jus oren-4.20
yogurt-2.30
anggur 1kg-10.00
limau 1kg-5.00
nugget ayam-10.00
pisang-2.00
gula-2.50
telur-10biji - 3.20
Jumlah besar : RM50.80 (Jumlah Euro 10.86)


Jika kita lihat bila harga barang yang saya beli di Berlin bila ditukar ke RM memang harganya agak mahal. Tetapi kena beringat bahawa nilai matawang mereka besar. Saya rasa harga makanan mereka lebih murah. Begitu juga di England. Ini kerana kerajaan mereka ingin memastikan semua rakyat terutamanya yang berada di bawah taraf kemiskinanan dapat membeli makanan. Taraf kemiskinan di Jerman ialah dalam Euro1500 sedangkan di Malaysia RM550. Sebagai contoh, cuba bayangkan dgn gaji EUR1500 sebulan saya dapat beli barang di atas dengan harga cuma EUR12.86 sahaja manakala dgn gaji RM550 sebulan saya kena belanja RM50.80 untuk barang yang sama.

Jadi harga makanan negara mana yang lebih mahal? Bandingkanlah harga tersebut....

ps: Terima kasih Kak Eka atas semua info yang diperlukan.

12 March 2009

Berakhirnya Winter


Masuk hujung bulan Februari, salji turun lebat setiap hari. Masuk Mac, langsung tiada salji tetapi hujan turun pula kerana pertukaran musim. Ramai yang batuk-batuk dan demam kerana perubahan musim ini. Suhu walaupun jarang mencecah 0 tetapi masih sejuk sekitar 0 hingga 10 degree kerana cuaca berangin. Matahari sudah berani menjenguk diri bila hujan tiada di pagi hari. Saya berdoa supaya masa sejuk-sejuk gedi cepat berakhir kerana saya sudah tidak sabar merasakan panas matahari dan bunga-bunga berkembangan di musim Spring.... Pemandangan seperti gambar di atas tidak akan ada lagi...hinggalah musim Winter tahun depan, insyaAllah. Oh! Saya akan menghitung hari menantikan Winter tahun depan pula bukan kerana saya rindukan salji tapi kerana selepas itu saya akan pulang....menemui anda di depan mata!

Filem Mesti Tonton 2009 (Pilihan Laila)


Menonton filem merupakan salah satu kegemaran saya, selain daripada menulis. Dan untuk tahun ini saya berharap sangat agar dapat menonton filem-filem boxoffice yang akan ditayangkan sepanjang tahun 2009 ini. Kalau tidak dapat di panggung wayang, dapat menontonnya melalui dvd di rumah pun dah kira ok. Maklumlah, tiket di sini paling murah berharga hampir Euro10 sekeping (bersamaan hampir RM50 seorang), mana tahan kalau dah satu famili kami 4 beranak pergi, hehehe.

Berikut adalah senarai Filem Mesti Tonton pilihan saya untuk tahun 2009:

1. Aliens vs Monsters, (Mac 2009) - Dreamwork Animation
2. Fast & Furious, (April 2009) - Van Diesel
3. X-Men Origins: Volverine, (Mei 2009) - Hugh Jackman
4. Angels and Demons, (Mei 2009) - Tom Hanks
5. Terminator Salvation, (Mei 2009) - Christian Bale
6. Up, (Mei 2009) - Disney's Pixar Animation
7. Transformers: Revenge of The Fallen, (Jun 2009) - Shea LeBouf
8. Harry Potter and The Half Blood Prince, (Julai 2009) - Daniel Radcliffe
9. Sherlock Holmes, (November 2009) -Robert Downey Jr.
10. Avatar, (Disember 2009) - James Cameron (Pengarah yg muncul kembali selepas 12 tahun filem terakhirnya Titanic)

P/S: Tiada Filem Melayu? hehehe, Mungkin saya menunggu sentuhan kelainan daripada Prof Razak Mohyidden sebelum saya masukkan di dalam senarai di atas. Namun dengar khabarnya filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula mendapat sambutan hangat di Malaysia. Ya, saya ingin mulakan dengan filem tersebut untuk filem Malaysia Mesti Tonton bagi tahun ini.

09 March 2009

KEMBARA EROPAH: Checkpoint Charlie, Berlin

Checkpoint Charlie merupakan tempat di mana pertembungan di antara zon Barat dan Timur semasa Perang Dingin. Askar dan orang awam bebas (West Allies) masuk dan keluar hanya di checkpoint tersebut. Kerana itu papan tanda Masuk dan Keluar Sektor Amerika di tulis di papan tanda tersebut.
Masuk

Keluar
Disebabkan ia adalah checkpoint maka anda boleh meminta visa anda dicop di sini dari askar bertugas sebagai kenangan sudah tiba di sini.

Selawat Ke Atas Nabi Muhammad S.A.W



Pada hari kelahiran nabi junjungan kita nabi Muhammad S.A.W, marilah kita berselawat ke atasnya....

07 March 2009

Susah nak cari rumah....

Inilah gambar pintu utama rumah saya dan penghuni lain di Wildernowstrasse 12A. Saya sendiri tak tahu nak gambarkan rumah saya ini jenis apa, bukan flat, rasanya apartment lebih sesuai tetapi bukanlah macam apartment di Malaysia yang lawa-lawa.

Rumah saya ini dibina pada zaman Perang Dunia Kedua lagi... rumah dah lama tapi masih tahan. Yang membezakan apartment lama dengan baru di Berlin ini tentulah dari segi tangganya. Biasa rumah lama tangganya menegak menyebabkan mengah nak naik. Kalau rumah lama hanya ada 4 tingkat tetapi ia menyamai dengan rumah baru yang ada 6 tingkat dan ada lif! Tangganya juga lebih mendatar! Banyak juga ukiran kayu di dinding-dinding juga di pemegang tangga. Bila berjalan kena perlahan-lahan kerana bimbang mengganggu jiran yang sedang berehat disebabkan bunyi papan.

Boleh dikatakan, di Berlin ini semua rumah adalah apartment. Tiada rumah sesebuah dan rumah sesebuah hanya boleh dilihat di luar bandar, di kawasan kampung-kampung. Jadi semua rumah dilengkapkan dengan loceng tekan seperti gambar di atas. Ada juga interkom disediakan pada sesetengah rumah. Jadi jika tetamu datang, mereka perlu menekan loceng di pintu utama dan kunci hanya dibuka dari dalam rumah orang yang hendak diziarah. Jadi keselamatan memang terjamin kerana kita hanya membenarkan orang yang kita kenal atau ada urusan yang masuk ke rumah kita.

Walau bagaimanapun posmen dan Dewan Bandaraya biasanya punya kunci utama bagi memudahkan mereka masuk ke kawasan rumah kita untuk melaksanakan tugas mereka.

Alkisahnya, posmen tak dapat jumpa rumah saya untuk menghantar kad insuran kepada saya dan anak-anak. Disebabkan sebelum ini, tiada masalah berlaku, maka kami langsung tidak terfikirkan hal ini hinggalah kami sudah bosan sebulan menanti kad insuran itu. Rupa-rupanya di pintu utama itu hanya ada nama Ramli. Kesemua surat dialamatkan kepada abang. Di pintu utama itu tidak ada nama Kamaluddin dan Aedy Fadly.

Jadi disebabkan alamat rumah semua orang di apartment saya adalah 12A Wildernowstrasse, tidak ditulis LG ke F1 ke macam di Malaysia, maka posmen tidak dapat menghantar surat kepada saya dan anak-anak. Manalah posmen kenal sorang-sorang yang tinggal di apartment ini. Bermaksud, saya harus meletakkan nama semua penghuni rumah saya di depan pintu supaya posmen boleh menghantar surat! Punyalah tak perasan selama ini....

06 March 2009

1,2,3,4 Aris Ariwatan....Layanz

Sejak dua menjak ini memang saya selalu sentimental...... Bukan musim raya, sibuk dengar lagu raya dari Mamat Ku Pohon Restu Ayah Bonda... memang sengaja cari penyakit.... Tapi saya rasa saya memerlukannya untuk treament minda dan novel baru...jadi layanz sajalah sentimental saya tu ek....

Jawab Tag Kak Eka! Jom Tengok Wayang!








1. You have to point out 5 romantic movies that you would love to share with your loved ones.
Filem-filem ini memang saya tonton bersama cik Abang pun... Dia lagi gila menonton wayang. Kami paling suka shopping DVD hingga tak tahu nak simpan kat mana kat rumah.

2. It doesn’t have to be in order.. as long as you love the movies, it will be fine.
Semasa kena tag saya senyum meleret... Kak Eka nak suruh saya senaraikan filem-filem romantik kegemaran saya.... Aduh! Susah ni sebab saya memang kaki tengok filem yang meleleh (air mata dan air liur hahaha) ni. Kenala buat research sikit kat internet. Payah juga sebab banyak sangat filem yang saya suka. Bila dah senarai memang nyata lebih dari 5 filem yang saya suka. Mujurlah tak disuruh mengikut pilihan....kalau tidak tentu lagi pening. Kerana 5, ada beberapa filem yang disenarai pendek terakhir tidak dapat saya senaraikan iaitu 50 First Date, Titanic dan Ever After. Itu tak termasuk citer Hindustan macam Kuch Kuch Hota Hai dan Dilwale. Kalau filem Malaysia rasanya tentulah Cinta akan masuk dalam senarai itu....

Kalau dilihat dari pola filem romantik kegemaran saya ini pastinya mesti ada unsur kelakar, mendebarkan, menyentuh dan membuai perasaan, hero dan heroin mesti menarik perhatian dan ada mesej yang positif yang hendak disampaikan.... Agaknya kerana itu dalam menulis novel, saya terbawa-bawa dalam penulisan sebagai elemen-elemen wajib yang mesti saya masukkan.

3. You have to tag another 5 person to answer this tag.
Kena tag orang seperti biasa. Apa kata kita tag follower-follower blog ini (hehehe 5 orang saja ye...kalau boleh saya nak pilih semuanya! mmm... mungkin di lain masa pula yer....selamat kena tag!
1-Na Shari
2-raihan wahida
3-che DET
4-Fatin A.
5-bieyha sign

05 March 2009

Birthday Wishes & Present from Accross the Miles

although we may
be miles apart
no distance is too far

for happy birthday wishes
to travel
where you are!


Beberapa hari sebelum hari jadi saya yang ke 32 tahun, sudah ada yang bertanya "Macam mana hari jadi tahun ni disambut tanpa abang." Saya gelak-gelak saja. Saya memang tak pernah sambut hari jadi, kerana biasanya hari jadi saya diraikan teman-teman atau abang. Sejak saya mengenali beliau kira-kira 12 tahun lalu, memang hari jadi saya tidak pernah dia lupakan. Ada saja kejutan yang dia buat dan saya sentiasa tertanya-tanya apa kejutan untuk tahun ini. Jadi bila dia tiada buat pertama kalinya pada tahun ke 12 ini, saya rasa benar-benar kehilangan.... Sekalipun dia menghantar kad dari Malaysia, pastinya ia tidak akan sama jika dia pulang ke sisi saya pada 4 Mac 2009!

Apapun... hidup mesti diteruskan. Perpisahan seketika itu terpaksa dilakukan. Saya sudah berjanji tidak akan sedih-sedih, jadi saya harus kotakan janji saya. Hari jadi... satu hari yang menggenapkan umur, menandakan diri semakin tua....Inilah masanya patut saya menilai diri dan cuba memperbaiki mana-mana yang berlubang dan koyak di sana-sini. Teman-teman di sini memberikan saya sokongan dengan makan-makan dan kek coklat yang menyelerakan! Saya tiada alasan untuk berasa sedih dan sunyi!

Tahun ini ada hadiah lagi? Ingat saya, kedatangan kami ke Berlin sudah menjadi hadiah sepanjang tahun rupanya abang nak bagi hadiah lain. Rezeki jangan ditolak.... Dah orang nak bagi ambil sajalah.... Semasa dia memberitahu saya yang dia mahu belikan sesuatu yang lain daripada yang lain, yang mana majoriti penduduk di Malaysia dan Asia tidak menggunakannya dan boleh dipakai oleh lelaki ataupun wanita, saya sedikit tertanya-tanya. Apa benda tu? Akhirnya persoalan saya terjawab apabila dia menghantar gambar 'hadiah' untuk saya yang masih ada di Malaysia....


Tada! Introducing, my new Apple Macbook...


Hajat untuk membeli notebook baru ini tidak pernah terlintas di fikiran sehinggalah Hardy menjatuh dan merosakkan netbook saya yang baru dibeli beberapa minggu yang lalu. Memandangkan saya memerlukan notebook untuk menyiapkan manuskrip saya yang terbengkalai (hahaha...alasan lagi) dan abang juga memerlukan notebook bagi kerja 'sekolah'nya, maka pemberian 'hadiah' daripada dia kali ini menguntungkan kami berdua.


Apa yang menariknya Macbook ini? Setahu saya Kak Eka n the Family memang tidak menggunakan brand laptop yang lain selain dari Apple.... Abang kata bila dah beberapa kali menggunakannya, dia dah rasa malas nak guna laptop platform Windows. Best sangat ke Macintosch tu? Kena cuba baru saya boleh jawab soalan itu. Yang menariknya kedai Apple di mana notebook itu dibeli menggunakan Tagline "Are Yous Still On Windows?". Mesti ada sesuatu yang menarik pasal Macbook ini, kalau tidak masakan mereka berani membuat Tagline sebegitu.

Apapun, terima kasih abang kerana membelikan sesuatu yang istimewa, yang boleh kami berdua gunakan bersama, walaupun saya menjeling juga apabila mendengarkan harganya...

Elemen Budaya dalam SKH: Perkahwinan Melayu Bisaya Sabah


Di dalam novel SKH, saya mewujudkan watak Dr. Imran@Dalton sebagai seorang lelaki dari masyarakat Melayu Bisaya dari Sabah. Sengaja saya wujudkannya sebegitu bertujuan untuk memperkenalkan Melayu Bisaya ini yang jarang kita dengar di Semenanjung. Lagi pula adalah menjadi kebiasaan menjadikan hero di dalam novel sebagai lelaki Melayu sejati.

Berikut adalah maklumat berkenaan perkahwinan suku ini yang tidak saya masukkan ke dalam SKH kerana scene-scene itu tiada di dalam novel ini. Oleh kerana saya sudah mendapatkan maklumatnya, maka mari kita kongsikan istiadat perkahwinan di kalangan orang Melayu Bisaya ini sekadar pengetahuan tambahan. Ambil nota bahawa ini adalah istiadat perkahwinan sesama orang Bisaya.

Tentatif majlis perkahwinan orang Bisaya pada masa kini:-

Hari Khamis atau Jumaat:
Acara mengelupis. Acara bergotong-royong sesama sedara mara dengan jiran tetangga untuk membuat kuih kelupis atau lampan (kuih tradisional orang Bisaya).
Lamban-daun kelapa dilipat macam sampan selepas itu dibubuh beras pulut separuh masak, lalu dilipat tutup dan akhirnya direbus. Kelupis pun sama cuma beza pada bungkusan kerana ia menggunakan daun juga. Cara hendak makannya: Boleh dicicah bersama kari daging.

Petang Jumaat:
Majlis akad nikah (cuma saudara-mara terdekat sahaja dijemput). Hidangan minum petang disediakan.

Malam Sabtu:
Majlis berinai sama ada buat berasingan (rumah pengantin masing-masing) tetapi jika berkahwin dengan orang jauh, ia dibuat sekali untuk memudahkan. Sebelum majlis berinai mula, solat Jemaah Maghrib dan Isyak biasanya dahulu barulah berzanji.
Kadang-kadang ada juga orang yang membuat majlis cukur jambul sekali ketika ini.
Kira-kira jam 10 malam baru majlis berinai bermula. Ketka inilah acara seperti menepung tawar dibuat. Jamuan makan kenduri sudahpun bermula sekitar jam 8. Jam 10 malam akan ada hidangan kuih muih tradisional macam kuih sapit, jala, baulu, kuih cha-cha (kuih ros kalau di Semenanjung).

Ahad:
Tetamu mulai datang sekitar 8.30 pagi bermula dengan sarapan pagi dengan kuih-muih dulu.
Jam 10 pagi barulah hidangn tengahari disediakan. K
Jam 12 atau 1 atau paling lewat jam 2 acara menaikan pengantin bermula. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan dan disandingkan. Biasanya majlis bersanding ini dibuat awal sekitar jam 12.30 atau 1 tengahari bagi mengelakkan tetamu pulang. tanpa sempat melihat pengantin. Inilah kemuncak majlis perkahwinan ini.

Malam Ahad:
Biasanya ada acara potong kek tapi untuk keluarga terdekat saja.

Info tambahan: Biasanya sepanjang majlis perkahwinan itu ada kumpulan pemuzik Kulintangan (macam gamelan) akan mainkan muzik tradisional + moden. Antara lagu yang wajib dilagukan adalah lagu Cindai. Tanpa pemuzik ini, majlis majlis perkahwinan akan jadi sunyi sepi.

Pertunangan:
Pihak lelaki dan pihak perempuan berbalas dulang hantaran. Sama macam semenanjung juga kena bilangan ganjil. Cuma yang beza dikalangan orang Sabah, kahwin sekali saja hantaran jadi masa nikah nanti bawa mas kawin saja.

Sumber: Terima kasih kepada Ernaleza Mahsum yang banyak memberi info terutamanya tentang Sabah dalam SKH. http://anakbunga80.fotopages.com

04 March 2009

Slumdog Millionaire

Sejak abang menonton filem ini sebulan yg lalu, dia kerap mempromosikan kepada saya dan rakan-rakannya supaya menonton filem ini. Namun disebabkan ketiadaan masa dan dvd di rumah, saya masih tidak berkesempatan menontonnya.

Baru-baru ini filem ini telah ditabalkan sebagai filem terbaik dan meraih 8 anugerah Academy (Oscar) di US. Walaupun filem ini berbajet rendah dan tiada seorang pelakon pun yang terkenal, serta 100% dibuat di India, tetapi jalan ceritanya telah memikat hati 7000 juri Oscar. Ternyata ramalan abang bulan lepas bahawa filem ini bakal membawa pulang Oscar sangat tepat. Selalunya kalau abang kata filem itu best, memang filem itu best. Ramalannya selalunya mengena.

Apapun, saya akan menontonnya nanti, Abang telah membeli dvd cerita ini di Malaysia untuk di bawa pulang ke sini.

Kalau ada sesiapa yang telah menontonnya, silalah berkongsi dengan saya di sini.

Terima Kasih Untuk Semua Ingatan....




Terima kasih Mar.... untuk video clip yang mendoakan kesejahteraan akak...juga untuk Emy untuk kek coklat yang lazat....
Untuk suami yang menghantar kad dan gambar hadiah dari Malaysia, Mas dan Am juga teman-teman di Malaysia : Lynn, Dhiya, Kak Ai, Yanty, Kak K, Fuza, Dr. Imran Syakir dan Yana serta Jue. Teman-teman di Berlin; Mar, Yeo, Fida, Kak Ami, Emy, Kak Aed dan Naz. Teman di Belgium; Natrah juga teman di UK; Yati, Wawa dan Lin untuk ucapan selamat hari lahir dari kalian... Ingatan itu sangat saya hargai...

Untuk semua yang mengucapkannya yang tidak saya sebutkan di sini, saya sangat menghargainya dan tahu, anda sentiasa mengingati saya walau saya berada jauh di sini.....

Today is my wife's Geburtstag... Love and miss her so much!

Itulah status terkini abang dalam Facebook...

03 March 2009

Sealife & Aquadome Berlin

Tiket ke Sealife & Aquadome Berlin sudah kami beli lama ketika ada promosi semasa mengunjungi Legoland dulu. Harga asal adalah E16.95 bagi dewasa dan kanak-kanak 3 tahun ke atas E11.95 yang bersamaan dengan harga dewasa bersamaan RM85 adalah sangat mahal bagi saya.


Aquadome dari pandangan bawah. The world's largest cylindrical aquarium

di dalam Aquadome lif yang dikelilingi ikan

Shoaling Ring, terowong di dalam Sealife

Semasa kami tiba, cuaca sungguh sejuk di luar. Hujan turun renyai-renyai tetapi orang sudah beratur panjang. Mujurlah kami sudah membeli tiket awal. Anak-anak teruja dengan ikan-ikan yang dikatakan sebanyak 1500 spesis jumlahnya.

Sealife dan Aquadome merupakan dua bangunan yang terpisah. Kita perlu melawat Sealife dahulu baru naik ke Aquadome. Kira-kira 3 jam di dalam, kami keluar. Seperti biasa, Hardy akan minta hendak masuk balik kerana seronok. Bagi saya pula, Aquaria di KLCC lebih menarik, luas dan berpatutan harganya tetapi jika ingin mencari kelainan di tempat lain, apalah salahnya sekali-sekala. Pengalaman itu bukannya sama di setiap tempat dan harganya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit!

02 March 2009

Surat Cinta II



Dapat mesej dari Abang Long, Presiden Kelab Peminat Alaf 21, yang menitipkan mesej nya di blog saya, terus saya ke blognya. Oh! Rupanya dia meminta saya menjawab soalan-soalan berkenaan warkah cinta. Saya tak sangka saya akan menulis lagi tentang surat cinta ini setelah menulisnya dulu (rujuk entri saya di http://lailakamilia.blogspot.com/2008/12/surat-cinta.html).

Saya akan cuba menjawabnya sejujur-jujurnya...Hehehehe menakutkanlah peringatan dari Abang Long.... Inilah soalannya:

1 - Bila kali pertama menerima WARKAH CINTA ?
Sejujurnya saya tak ingat...mmm...ambil masa yang lama untuk ingat. sambil termenung di depan komputer...yang pasti bukan di sekolah rendah...ya...baru teringat... masa di tingkatan 1, si dia hantar lukisan gambar sekuntum bunga yang cantik tapi last-last saya dapat tahu lukisan tu member dia yang lukiskan...hahaha kantoi sebab member dia tu budak kelas saya yang saya sangat kagum dengan hasil tangannya...

2 - Dalam WARKAH CINTA ada lirik lagu atau puisi atau pantun atau syair atau sajak ?
Mestilah ada..masa remaja biasanya saya terima lirik lagu saja maklumlah masih hingusan dan si dia tu tentunya bukan mat sastera.... tapi bila di universiti si dia biasanya menulis sajak istimewa untuk saya... kami selalu bertukar sajak. sajak kami biasanya bersambung-sambung contoh si dia tulis Cinta Padamu I, saya akan balas dengan Cinta Padamu II. Suami saya tu jiwang karat jugak...hehehe

3 - Dalam sampul WARKAH CINTA, ada ditabur bedak atau haruman ?
Masa sekolah adalah terima surat tabur bedak...bila buka bedaknya berkumpul kat tengah... bila dah dewasa si dia tentu tulis atas kertas istimewa yang memang sudah wangi semasa dibeli.

4 - Masih disimpan semua WARKAH CINTA ?
Sejujurnya.... semasa saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan si dia... semua sura-surat lama dari orang selainnya telah saya bakar bersama-sama dengan gambar-gambar mereka. Bagi saya, kehidupan baru bakal bermula. Cukuplah saya hanya menyimpan surat-surat dari suami seorang.... Segalanya yang lain telah jadi sejarah....

5 - Ada disertakan gambar ?
Tentulah ada. Yang kelakar kalau bagi gambar kelas, si dia akan beritahu saya yang berdiri nombor 3 di belakang etc...Kelakar.

6 - Masih disimpan WARKAH CINTA itu didalam sampul asalnya ?
Ada yang masih dan ada yang sudah tiada sampulnya kerana saya hendak padatkan ia supaya muat dalam satu bekas disebabkan kami selalu berpindah-randah dulu. Jadi mana sampul yang sudah rosak, saya buangkan.

7 - Pernah dibaca selepas itu ? atau disimpan buat kenangan dan sebagai harta ?
Rasanya dah jawab dalam soalan 4.

8 - Tarikh WARKAH CINTA pertama yang diterima ?
Tak ingatla sebab dah tak relevan...

9 - Adakah sesiapa yang tahu tentang WARKAH CINTA anda? Umpamanya anak atau saudara ? Suami tahulah sebab semua surat cinta saya dan dia kami satukan. Bila anniversary biasa saya akan baca balik...masa tu saya akan gelak atau menangis sendiri.... Kongsi dengan anak-anak? Tunggulah...mereka kecil lagi... belum tahu apa-apa.

10-Pendapat ANDA. Mana lebih mendebarkan ... antara Surat @ WARKAH CINTA atau emel atau sms ?
Saya dah jawab dalam entri saya terdahulu tentang surat cinta.


Dah jawab dah semua... harap Abang Long puas hati....

DENGUE FEVER REMEDY - PASS THIS AROUND

I would like to share this interesting discovery from a classmate's son who has just recovered from dengue fever. Apparently, his son was in the critical stage at the ICU when his blood platelet count drops to 15 after 15 liters of blood transfusion.

His father was so worried that he seeks another friend's recommendation and his son was saved. He confessed to me that he gave his son raw juice of the papaya leaves. From a platelet count of 45 after 20 liters of blood transfusion, and after drinking the raw papaya leaf juice, his platelet count jumps instantly to 135. Even the doctors and nurses were surprised. After the second day he was discharged. So he asked me to pass this good news around.

Accordingly it is raw papaya leaves, 2pcs just cleaned and pound and squeeze with filter cloth. You will only get one tablespoon per leaf. So two tablespoon per serving once a day.. Do not boil or cook or rinse with hot water, it will loose its strength. Only the leafy part and no stem or sap. It is very bitter and you have to swallow it like "Won Low Kat". But it works.

*Papaya Juice - Cure for Dengue*

You may have heard this elsewhere but if not I am glad to inform you that papaya juice is a natural cure for dengue fever. As dengue fever is rampant now, I think it's good to share this with all.

A friend of mine had dengue last year. It was a very serious situation for her as her platelet count had dropped to 28,000 after 3 days in hospital and water has started to fill up her lung. She had difficulty in breathing. She was only 32-year old. Doctor says there's no cure for dengue. We just have to wait for her body immune system to build up resistance against dengue and fight its own battle. She already had 2 blood transfusion and all of us were praying very hard as her platelet continued to drop since the first day she was admitted.

Fortunately her mother-in-law heard that papaya juice would help to reduce the fever and got some papaya leaves,pounded them and squeeze the juice out for her. The next day, her platelet count started to increase, her fever subside. We continued to feed her with papaya juice and she recovered after 3 days!!!

Amazing but it's true. It's believed one's body would be overheated when one is down with dengue and that also caused the patient to have fever papaya juice has cooling effect.. Thus, it helps to reduce the level of heat in one's body, thus the fever will go away. I found that it's also good when one is having sore throat or suffering from heat.

Please spread the news about this as lately there are many dengue cases. It's great if such natural cure could help to ease the sufferings of dengue patients.

Furthermore it's so easily available.
Blend them and squeeze the juice! It's simple and miraculously effective!!

Sumber: Dipetik dari laman bandarseriputra.blogspot.com. Terima kasih Cik Din!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...