31 May 2009

KEMBARA EROPAH: Germany - Dresden

Perjalanan pulang dari Prague, kami singgah ke Dresden, salah sebuah bandar tarikan pelancong di Jerman. Adalah menjadi kebiasaan kepada pelancong yang pergi ke Prague untuk singgah sebentar ke Dresdan kerana Dresdan hanyalah 2 jam perjalanan dari sana. Kebanyakan pelancong ke Dresden adalah pelancong Jerman sendiri.

Dresdan turut menawarkan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi. Kami hanya singgah di Dresdan selama 2 jam sebelum keretapi seterusnya membawa kami pulang ke Berlin jam 5.30 petang. Baki perjalanan ke Berlin kira-kira 3 jam lagi kerana kami akan bertukar keretapi sekali lagi.

Terletak di Sungai Elbe, kawasan industri, pentadbiran kerajaan dan pusat kebudayaannya yang terkenal iaitu Bruehl Terrace dan mercu tanda sejarahnya terletak berpusat di Old Town. Antara yang menjadi tarikan pelancong ialah Samper Opera, the Frauenkirche dan Zwinger Palace.

Di perjalanan pulang, kami disajikan dengan pemandangan ladang-ladang bunga rapeseed/canola yang menguning di kiri kanan. Saya tertanya apakah kegunaan bunga ini kerana jika dilihat dari rupanya yang kecil seperti baby breath tidak munasabah ia ditanam hanya untuk tujuan hiasan semata-mata. Rupanya bunga rapeseed/canola ini mengeluarkan minyak untuk biodisel dan makanan (minyaknya kurang kolesterol dan sihat untuk jantung).

30 May 2009

Buah Tangan Terbaru Norzailina Nordin


BERTEMU Iqbal merupakan perkara terindah dalam hidup Dalila. Lelaki itu terlalu sempurna di mata dan hatinya. Iqbal kacak, berkarisma dan mempunyai aura yang memikat. Tetapi ada sesuatu yang mencetus rasa curiga Dalila. 

Siapa Iqbal sebenarnya? Jejaka itu terlalu perahsia. Entah kenapa, Iqbal ke luar negara hilang tanpa khabar berita. Dalila tenggelam punca. Langkah jejaka itu tidak dapat dijejak. Sendirian dia mengekang kesedihan yang bertandang.

Dipertemukan dengan Hilman oleh si ayah ibarat air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Agenda tersirat seorang ayah dapat ditelah. Rupa-rupanya, Hilman adalah anak kekasih lamanya. Namun, Dalila akur jika itu sudah suratan. Apatah lagi Hilman berperibadi mulia.

Lima hari sebelum sah menjadi suri hidup Hilman, Iqbal tiba-tiba muncul di depan mata! Dalila ingin meraung sekuat hati. Tapi dia tidak mampu mengubah keadaan. Dia serba salah.

http://norzailina.blogspot.com/

27 May 2009

KEMBARA EROPAH: Czech Republic - Prague

Prague, Rep. Czech telah dilabelkan sebagai salah sebuah bandar tercantik di dunia dan menerima pengiktirafan sebagai UNESCO sebagai salah satu World Heritage. Hati tertanya-tanya benarkah sebegitu cantik hingga diberikan jolokan begitu. Dan apabila sudah ada di depan mata, mata menjadi saksi dan hati mengiyakan kebenaran itu. Dengan keindahan semulajadi dan kecantikan binaan bangunannya, membuatkan saya benar-benar terpesona.


Pemandangan Prague Castle dari Charles Bridge

Perjalanan kami ke Prague bermula dengan sedikit kelam-kabut disebabkan apa yang dirancang nampaknya tidak menyebelahi kami. Pada awalnya kami ingin menaiki keretapi tetapi tambang keretapi pergi-balik untuk kami 4 orang adalah sebanyak Euro240 yang dirasakan agak mahal. Lalu kami telah menempah kereta sewa untuk ke sana bagi menjimatkan kos. Namun apa yang dirancang tidak menjadi. Pada malam kami ingin mengambil kereta, kami dimaklumkan bahawa kereta yang kami sewa dari syarikat itu tidak boleh dibawa keluar ke negara-negara seperti Poland, Rep. Czech, Austria etc. tetapi jika hendak ke Itali atau Sepanyol tidak ada masalah. Dikatakan rangkaian jalanraya di negara-negara terlibat tidak berapa baik hingga menyebabkan berlaku banyak kemalangan kepada kereta yang disewa.


Pemandangan di sepanjang pergunungan Erzgebirge

Mula-mula kami buntu juga memandangkan hotel sudah ditempah. Tetapi kemudian kami mengambil keputusan untuk pergi juga dengan menaiki keretapi esok pagi. Perjalanan dari Berlin ke Prague mengambil masa kira-kira 4 jam lebih sahaja. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan perjalanan menarik melalui pergunungan Erzgebirge yang direntasi lembah sungai alpine yang berbatu dan bergunung-ganang.

Pemandangan dari atas Prague Castle

Sekitar Wenceslas Square yang meliputi National Museum dan Statue St. Wenceslas

Sekitar Praha Old Town

Rep. Czech mempunyai matawangnya sendiri iaitu Koruna walaupun turut menerima matawang Euro. Euro 1 = KCZ 27. Jadi bila membeli-belah, terpaksalah di kepala menukar kepada Euro. Selain tempat-tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong, Prague terkenal dengan industri kristalnya. Bohemia Crystal yang terkenal itu datangnya dari sini. Di mana-mana ada dijual barangan kristal dan menariknya jika anda membeli dari Bohemia, ia akan menyertakan dengan sijil pengesahan ketulenannya sekali.

Jika anda berkesempatan berjalan-jalan ke Eropah, apa kata singgah ke Prague. Selain dari pemandangan yang cantik dan boleh membeli-belah, anda akan berasa kurang tertekan berada di sini kerana harga barangan, perkhidmatan dan penginapan di sini antara termurah jika dibandingkan dengan negara Eropah yang lain.

Pelangi : Jangan Mati Sia-sia

Pandang ke atas dan hayati apa makna kejadian
Engkau akan melihat dirimu kerdil di mata Tuhan
Lalu insafilah kejadianmu hanya dari tanah yang hina
Apabila diberi roh mengapa harus sombong pada dunia
Nan seluruh isinya kau rasa berdosa padamu
Gempita kau bertempik menghitung dosa mereka tetapi
Ingatilah mati itu bila-bila




hadiah dari Tuhan : pelangi di langit Berlin 26 Mei 2009
ps-terima kasih kepada Kak Aminah untuk gambar-gambar yang menarik ini

25 May 2009

KEMBARA EROPAH: Tinjau-tinjau Zoo Berlin

Rancangan untuk ke Zoo Berlin sudah lama terencana tetapi atas tuntutan masa dengan mendahulukan tempat yang jauh-jauh dan menunggu musim sejuk berakhir, kami akhirnya sampai juga ke zoo Berlin, zoo tertua di Jerman.


dihadapan pintu gerbang utama di Budapest Strasse, Elephant Gate yang telah dibina pada 1899



Pagi itu hujan memang agak lebat sejak malamnya. Cadangnya kami akan pergi bersama Yeo dan keluarganya tetapi disebabkan hari hujan maka kami batalkan niat untuk ke zoo. Tetapi melihatkan wajah Hardy yang masam, maka abang gagahkan juga untuk ke sana sementelah esoknya dia akan terbang ke Bangladesh selama 3 minggu. Ini kes tak sampai hati nak hampakan anak-anak. Maka dalam hujan yang masih rintik, demi kasih sayang pada anak, maka kami meredah juga tengahari Sabtu itu. Bila kami sampai, orang boleh tahan juga ramai. Tetapi yang berbeza dengan zoo di Malaysia, di sini yang melawat zoo bukan sekadar kanak-kanak tetapi orang dewasa lebih ramai rasanya.


Disebabkan sudah tengahari maka kami terlepas untuk melihat beberapa jenis haiwan makan. Disebabkan tiada pertunjukan haiwan seperti di Zoo Negara dan Zoo Melaka maka waktu memberi haiwan makan, adalah masa yang biasa ditunggu-tunggu oleh pengunjung zoo. Kami hanya sempat melihat singa, harimau dan gorilla diberi makan. Kami teruja melihat singa dan harimau yang manja berguling-guling sebelumnya tiba-tiba menjadi agresif apabila makan. Gorilla yang cerdik, berebut makanan dan menyimpannya di kaki dan membawa makanan ke satu sudut apabila untuk makan kesemuanya. Macam manusia juga, bila berdepan dengan buffet begitulah keadaannya juga. Masukkan dalam pinggan dan bila sudah penuh, cari tempat untuk makan!




Haiwan-haiwan di zoo ini kelihatan sangat jinak dan cerdik. Singa laut misalnya, sentiasa membuat aksi yang menghiburkan. Kalau hendak belajar berenang, rasanya dengan melihat mereka berenang ke sana-sini kita sudah boleh belajar teknik asas berenang. Penguin pula seperti dalam filem Madagascar, sentiasa tegak mematung hinggakan anak-anak bertanya penguin itu betul atau tipu?

Anak-anak mencari watak-watak kartun Madagascar semasa berjalan di zoo. Sibuk mereka mencari Marty (kuda belang), Skipper (penguin), Moto-Moto dan Gloria (badak air), Melman (zirafah) dan Alex (singa). Bila badak air yang besarnya macam dinasor berbunyi, anak-anak jadi bertambah teruja. Bunyinya macam raksasa kata Hakimy dan membuatkan kawasan sekitarnya seolah-olah bergegar dengan bunyi ngaumannya. Hardy seperti biasa tidak mahu pulang selagi tidak dipaksa. Dia hendak pusing satu pusingan lagi sedangkan kami sudah benar-benar keletihan. satu hari yang penat tetapi kami puas hati kerana ia memberi kami pengalaman baru dalam melawat zoo.

24 May 2009

Barbeku Musim Bunga II

Tengok gambar dah terliur! Seperti yang dijanjikan sebelumnya memang kami merancang hendak membakar besar-besaran kali ni. Kali ini menunya sate ayam dan daging, sotong, ayam, udang dan sosej bakar, nasi putih dengan air asam, lontong, sup tulang dan roti, puding dan buah-buahan. Memang meriah dengan makanan cuma satu saja yang kurang (selain abang yang berada di Bangladesh) iaitu hari hujan.



membakar sambil berpayung. lelaki membakar, wanita memberi sokongan




Dua kali kami mengangkut makanan naik dan turun. Pagi itu cuaca cerah tetapi sebaik acara hendak bermula, hujan lebat mencurah-curah. Hingga jam 5 baru hujan berhenti. Kami meneruskan aktiviti makan-makan dan sembang-sembang hingga malam hingga ada yang selesema kerana berhujan dan ada yang tersadai kekenyangan. Kepada yang mungkin tidak beraya tahun ini kerana sebab-sebab kesihatan, inilah masanya hendak makan sebanyak mungkin! Kepada semua, terima kasih untuk makanan yang sedap-sedap. Semoga Allah meminjamkan kita kesihatan yang baik dan rezeki yang murah untuk berkumpul untuk acara makan-makan lagi, insyaAllah.


Dengan bunyi guruh, hujan lebat, berpayung dan bau sate bakar, semuanya mengingatkan saya pada suasana Bazaar Ramadhan ataupun pasar malam di Malaysia.... Segala-galanya mengimbau segar dalam kenangan. Makanan dan suasana itu benar-benar SEMPURNA. Itulah hikmah hujan pada petang itu! Seperti yang selalu saya katakan kepada anak-anak; Tuhan tidak akan jadikan sesuatu untuk sia-sia. 

23 May 2009

Jom ke Disneyland Paris

1 hari Memang Tidak Cukup! Kami bertolak awal pagi untuk ke sana. Perjalanannya saja sudah hampir 1 jam. Jadi pada pagi Sabtu yang memang sudah didedikasikan khusus untuk ke Disneyland, Paris kami hanya sampai jam 10.15 pagi sedangkan ia dibuka jam 10.00pagi. Ketika kami sampai orang sudah ramai yang beratur di depan pintu masuk taman tema. Disebabkan agak lewat, express lane ticket untuk hari itu telah habis.

dihadapan istana Walt Disney (macam cover TLC Lynn Dayana)

Kami sudah membeli tiket combo hopper park di mana dalam sehari kami boleh masuk kedua-dua taman iaitu Disneyland Park dan Walt Disney Studio. Harganya boleh tahan juga, Euro 50 seorang dan kanak-kanak 3 tahun ke atas Euro 41. Bila fikir-fikir balik, memang rugi juga kerana disebabkan lautan manusia yang terlalu ramai dan kami tidak dapat express lane ticket maka kami menghabiskan masa yang terlalu lama untuk beratur untuk bermain satu-satu permainan. Jadi banyak permaianan yang kami tidak dapat bermain disebabkan kekangan masa.


dihadapan pintu masuk Disneyland Park


dihadapan pintu masuk Walt Disney Studios



perarakan kereta berhias karektor Disney

Jika ke Disneyland memang yang sudah tua terasa jadi budak-budak semula. Tetapi bagi orang yang 'dewasa' mungkin kunjungan ke Disneyland tidak mengujakan jika datang tidak bersama kanak-kanak. Kanak-kanak memang ramai hinggakan ada ibubapa yang terpaksa merantai anak mereka dengan tali. Mula-mula saya hairan juga sampai hati ibubapa buat anak seperti itu tetapi kemudiannya saya rasional. Daripada hilang anak, lebih baik malu sikit. Ada juga ibubapa yang meletakkan lencana di dada anak mereka butiran peribadi jika anak-anak hilang. Ini kerana manusia yang terlalu ramai, jangankan kanak-kanak, kami yang dewasa ini juga telah terpisah antara satu-sama lain kerana kesibukannya. Jadi bila bermain, pegang-peganglah anak ye. Jangan sampai mak bapa pula yang over acting.


Sepanjang sehari itu memang anak-anak gembira habis dengan taman tema itu. Yang penatnya tentulah saya dan suami. Nak bagi makan lagi, nak ambil gambar lagi. Tapi mujurlah anak-anak kami ini sudah biasa berjalan. Istilah tunggu sekejap, lepas ni kita pula, sabar, nanti kita beli, yang ini tak best, etc itu mereka sudah boleh menerimanya. Jadi benda-benda yang menghabiskan duit macam membeli belon Disney yang comel-comel itu dapat ditangkis dengan mudah. Kalau berjalan di Europe dengan nilai matawang yang tinggi, kenalah ajar anak disiplin sikit. Kalau tidak, rabaklah poket emak ayah.


Rasanya memang tidak puas ke sana walaupun sehingga taman ditutup jam 10.00 malam kami masih ada di sana. Cadangnya kami akan ke Disneyland Hong Kong pula jika ada rezeki di lain masa. InsyaAllah masa tu, kami ke sana memang hanya untuk ke Disneyland.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...