27 June 2009

KEMBARA EROPAH: London Car Boot Sale

Kami bertolak dari London jam 10.00 pagi. Cuaca cerah dan kami bercadang untuk ke Car Boot di Flamingo Park, dalam perjalanan kami ke Dover (pelabuhan untuk menyeberang ke Peranchis). Kami diberitahu bahawa jika cuaca cerah, ramai penjual dan car boot lebih meriah. Bermakna lebih banyak barang untuk kami jengah dan menjamu mata. Kami tiba sekitar 10.30 pagi. Terima kasih kepada GPS yang membawa kami terus destinasi tanpa sesat pada pagi itu.
Cadangnya kami ke sini untuk membeli child car seat untuk Hakimy tetapi jika tidak jumpa dengan yang berkenan di hati, kami akan pakai saja car seat yang diberi Yati dan Syam. Untuk Hardy, kami hendak membelikannya scooter. Awal-awal lagi di kepala sudah diberitahu supaya fokus mencari car seat walaupun kami digoda dengan macam-macam barangan lain. Disebabkan kami kesuntukan masa kerana harus tiba di Dover sekitar jam 2.00 petang kerana telah membeli tiket feri, jadi kami berpecah. Bukan berpecah lorong tetapi berpecah fokus. Jadi abang akan tengok deretan barangan di sebelah kanan dan saya di sebelah kiri.

Car boot di sini memang menarik. Berbeza dengan di Jerman yang mana barangan yang dijual walaupun terpakai tetap mahal tetapi di sini harganya memang gila. Mungkin kerana kebanyakan penjual hanya mahu melepaskan barangan mereka lalu harga yang memang murah sangat-sangat. Walaupun di kepala hanya mahu membeli car seat, tetapi sudahnya car seat belum dapat, di tangan sudah hampir penuh dengan barang. Kami membeli scooter (3pound), buku-buku dan mainan (sekitar 10-30pence satu), beg tangan (1pound), DVD PS2 (2 pound), baju (3 helai 1pound) dan alas kusyen (4 biji 1pound).


Seronok juga kerana setelah sekian lama, dapat juga saya menggunakan kemahiran tawar-menawar barang. Almaklum sejak duduk di Jerman, saya sudah jadi terbiasa (monotenos) hanya beli dan bayar. Faktor bahasa membuatkan saya tida dapat berkomunikasi dengan berkesan di Jerman. Hendak banyak songeh memang langsung tak ada peluang.... Di sini menawar dan penjual akan mempertimbangkan harga yang kita tawarkan. Kalau harganya dirasakan tidak munasabah, memang mereka tidak akan mengurangannya. Jadi bayar sajalah harga yang telah ditetapkan. Tetapi pokoknya aktiviti tawar-menawar memang berlangsung di sini.

Penat habis satu pusingan, car seat yang dicari belum dimiliki. Memang mula-mula tadi sudah jumpa dengan yang berkenan di hati. Harganya cuma 8pound tetapi disebabkan hendak melihat-lihat dulu, maka kami biarkan saja. Kami bersetuju jika ada rezeki, tak akan ke mana. Jadi bila melihat jam sudah hampir 12.15, kami sudah agak panik kerana car seat yang kami cari masih belum dimiliki. Hardy sudah penat bergerak dengan scooter 'baru'nya sedangkan Hakimy masih rileks kerana tidak langsung mengeluarkan peluh penat kerana duduk di dalam pram. Sudahnya, kami duduk di kerusi dan membiarkan abang dengan misi mencari car seat Hakimy.

Akhirnya car seat yang dicari dijumpai juga. Asalnya harganya 4pound tetapi abang menawarnya dan dapat 3pound tetapi kerana hendak menghabiskan duit syiling yang tinggal 2.98pound maka penjual menerima saja. Wah! Ini sudah sangat murah! Kami sangat berpuas hati dengan keadaan car seat yang masih boleh digunakan dengan harga yang sangat tidak dipercayai! Apa jadi pada car seat pertama yang kami berminat tadi? Kata abang, semasa dia datang hendak membeli car seat itu, seorang lagi pembeli sedang membelek-belek car seat tersebut. Abang setakat menjeling bila lelaki itu bersetuju membeli dan membayar harganya kepada penjual. Moralnya; memang jika sudah tertulis ia bukan rezeki kita, walau sehampir manapun kita dengannya, ia tetap tidak akan menjadi milik kita....

Kami meneruskan perjalanan dengan hati yang sangat lapang! Misi untuk mendapatkan barang-barang yang diidam telah terlaksana. Ianya satu pengalaman baru dan manis buat kami. Jika ada peluang lagi, sudah pasti kami tidak menolak untuk ke sini lagi.....

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...