27 June 2009

Micheal Jackson: Hilangnya Ikon Dunia


Semalam (25 Jun 2009) dunia dikejutkan dengan berita kematian Raja Pop Dunia, Micheal Jackson. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 2.26 petang (waktu tempatan) akibat serangan jantung. Di usia 50 tahun, kematiannya sememangnya amat mengejutkan, apatah lagi konsert besar-besarannya yang akan dilangsungkan di London hanya tinggal sebulan saja lagi. Saya agak lewat menerima berita tersebut akibat tidak membuka internet. Ketika mendengar berita tersebut, jam sudah menunjukkan 2.15 pagi waktu German, dan berita kematiannya sudah tersebar beberapa jam yang lalu.

Memang mengejutkan! Ikon dunia yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia secara tiba-tiba meninggalkan kita. Saya juga merasai kehilangannya. Saya membesar dan saya pasti ramai antara kita membesar dengan lagu-lagunya, gayanya dan ceritanya yang sentiasa amat dinantikan. Seingat saya, dia pernah membuat konsertnya di Stadium Merdeka sebanyak 2 kali berturut-turut. Tiket konsert tersebut sold out, walaupun harganya mencecah ratusan dan ribuan ringgit. Bukan saja di Malaysia, di mana saja Micheal mengadakan konsert, pasti tiada satupun tiket yang tinggal.

Abang pernah menyatakan keinginannya untuk menyaksikan konsert Micheal di London, sekiranya mendapat peluang bulan depan atau sekiranya Micheal bercadang mengadakan konsert di mana-mana selepas ini. Dia antara peminat Micheal sejak kecil lagi. Lagu-lagu Micheal kebanyakannya dia tahu (walaupun dia tidak boleh hafal lagu tersebut). Tapi sayangnya, hasrat tersebut nampaknya tidak akan menjadi kenyataan. 

Ramai peminatnya pasti akan meratapi kehilangannya. Namun, yang pasti, lagu dan musik serta legasinya tidak akan hilang. Micheal Jackson akan dikenang sebagai ikon dunia yang pernah menghiburkan kita dan sudah tentu beliau kini diiktiraf sebagai seorang Legenda.

Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan orang beriman (dia dikatakan memeluk Islam pada tahun 2008). Amin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...