31 July 2009

KEMBARA EROPAH: Itali II - Rome


Rome: Tinggalan sejarah yang masih dikagumi dunia; The Colloseum

Destinasi kami seterusnya selepas Milan adalah Rome, ibu negara Itali yang kota sejarahnya sangat dikagumi dunia. Sebelum ini saya hanya belajar sejarah Tamadun Rome hanya di dalam buku-buku sejarah semasa di sekolah. Tanpa diduga, rahmat Tuhan kepada saya dengan memberikan saya peluang melihat sendiri dengan mata kepala apa yang selama ini hanya ada di dalam imaginasi.

Rome tidak dibina dalam masa sehari! Itu kata pujangga yang memberitahu kepada kita, kejayaan tidak datang bergolek, tidak datang sekelip mata. Melihat Colleseum dan membayangkan pertarungan sengit di dalamnya seperti di dalam filem Gladiator, saya terasa begitu kerdil. Betapa agungnya tamadun yang dibina seawal 753 sebelum Masehi lagi oleh King Romulus.

Akhirnya kami sampai juga ke Colloseum
(Saja pakaikan bebudak tu baju Kedah supaya ingat tanahair sendiri hehehe.... ada jugak mat salleh tegur cuba sebut KEDAH...KEDAH... bila tengok baju hijau kuning diorang tu, menjadi jugak promosi Kedah kat Rome...).

Kami tiba di Colleseum agak awal pagi itu. Pelancong masih belum ramai di sekitarnya. Jadi tidaklah sukar sangat mengambil gambar di sini sana. Kalau tidak jenuhlah nak cari gambar menarik disebabkan kami mengambil gambar menggunakan tripod (orang lalu-lalang tidak perasan kerana kaki tripod yang agak rendah). Di sekeliling Colleseum selain pelancong, kelihatan aratake (istilah Hardy untuk askar-askar Rome seperti dalam permainan komputer Ages of Empire) sedang mempelawa pelancong bergambar bersama mereka. Harga sekali bergambar Euro5 paling kurang berdasarkan pemerhatian saya. Mereka ini langsung tidak mahu menerima duit syiling hingga sanggup melempar kembali kepada pelancong yang memberi wang yang tidak cukup kepada mereka. Penjual cenderamata juga ramai. Harga cenderamata lebih kurang antara satu penjual dengan yang lain. Cuma yang mahal pastinya air mineral. 1 botol 500ml berharga Euro2 sedangkan kita boleh dapat harga yang lebih murah Euro1 saja di tempat lain.

Arch of Constantine

Victoria Emmanuel II Monument

Dari Colleseum kami menyusuri sepanjang jalan menyaksikan tinggalan-tinggalan sejarah di kiri-kanannya. Cuaca mulai terik dan tekak mula terasa dahaga. Cuaca di sini yang panas dan kering membuatkan kami harus minum air seberapa banyak yang mungkin untuk mengelakkan dehidrasi. Bukan tidak biasa dengan cuaca panas semasa di Malaysia tetapi di sini teriknya memang memeritkan. Jadi hendak tak hendak, terpaksalah kami membeli air yang mahal itu.

Forum of Julius Caeser


Mencari cenderamata untuk dibawa pulang.


Kata Hardy inilah bangunan Town Centre. Sebenarnya bagi menarik minat dia melihat bangunan lama ini, saya mengaitkannya dengan permainan komputer Age of Empire itu. Ternyata trick ini menjadi dan beliau beria-ia mengaitkan setiap bangunan yang dilihatnya dengan imaginasinya di dalam permainan komputer itu. Jadi pengembaraan kami menjadi lebih mengujakan.

Tinggalan The Roman Forum

Kami kembali ke Termini Station untuk mengisi perut yang lapar tengahari itu. Seperti biasa, sebuah restoren halal bersebelahan station Termini menjadi tempat persinggahan kami semasa berada di Rome. Terasa kembali bertenaga bila dapat makan nasi beriani dengan daging ayam dan kari kambing, juga ayam tandoori tengahari itu. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan ke Vatican City menaiki subway.

St Peter Square, Vatican City.

The Vatican City- Kesempatan berada di Rome, kami mengambil peluang untuk berkunjung ke negara terkecil di dunia dari segi keluasan dan jumlah penduduknya. Ia berada di dalam lingkungan Rome dan dianggap sebagai Kota Suci oleh penganut Kristian. Seperti di dalam filem Angel and Demons, di sinilah pemilihan Ketua Paderi penganut Kristian. Bangunan paling signifikan tentulah St. Peter's Basilica. Kami sekadar bergambar di sini dan cepat-cepat pulang (rasa pelik bila hanya saya seorang bertudung di situ). Kami tidak ke muzium (dengar cerita dari pengalaman teman yang masuk ke muzium itu ada dipamerkan paderi yang mati yang telah dimumiakan).
Spanish Steps

Petang itu selepas pulang dari Vatican City, kami berjalan sekitar bandar Rome. Selain dari tinggalan sejarahnya, Rome juga menyajikan kawasan membeli-belah di kiri-kanan jalanraya utama. Jadi petang itu, kami berjalan di sepanjang jalan utama dan singgah dari satu kedai ke satu kedai. Ada butik, ada juga gerai cenderamata yang harganya ada yang lebih murah dari gerai cenderamata sekitar Termini Station dan lain-lain kawasan pelancong.

Sambil-sambil itu, kami menurut arahan GPS mencari beberapa lagi arca yang menjadi tarikan pelancong. Sebelum sampai ke sini, ada yang menyarankan kami ke Spanish Step yang dikatakan pemandangannya cantik. Jadi kami mengikut arahan GPS mencari Spanish Step. Punyalah penat berjalan, akhirnya kami sampai juga ke situ. Saya lihat ramai betul pelancong di situ yang duduk di sepanjang anak tangga hingga ke menara. Ada 138 anak tangga kesemuanya. Bagi saya, Spanish Step hanyalah indah khabar dari rupa. Lalu kami meneruskan perjalanan lagi sebelum singgah ke gerai aiskrim bagi melepas lelah. Kelakarnya harga asikrim jika dimakan di restoren harganya dua kali ganda dari harga dibawa pulang.

Trevi Fountain

Menurut lagenda jika anda membaling sekali duit syiling ke dalam air, anda akan kembali ke Rome, 2 kali akan bertemu dengan pasangan di Rome dan 3 kali akan berkahwin dengan pasangan itu di Rome. Tidak hairan ramai yang membaling syiling ke dalam air. Tidak kurang juga sekadar melepak sambil merendam kaki kerana penat berjalan. Di hadapannya terdapat banyak gerai Pizza yang boleh anda berhenti jika perut kelaparan. Di lorong menghala ke Trevi Fountain, terdapat bazaar orang menjual cenderamata dan lukisan.

Stesen utama Roma Termini

2 hari di Rome, percutian kami memang terasa singkat. Ada banyak tempat lagi yang kami tidak sempat singgah untuk melihat bangunan bersejarahnya tetapi apakan daya, itu saja masa dan kudrat yang ada. Namun saya puas hati dengan kunjungan kami ke sini.

Destinasi kami seterusnya selepas Rome adalah Pisa, untuk melihat menara condong yang dikembarkan dengan Menara Condong Teluk Intan, tempat kelahiran saya. Hati tidak sabar melihatnya di depan mata tetapi kenangan di Rome akan kukuh terpahat di memori. Dari stesen Termini, perjalanan keretapi ke Pisa memakan masa selama 4 jam....

3 comments:

marfuza said...

nak ole2 dari rome!!!

laila kamilia said...

ole2 ye.... pmintaan lewat tidak dilayan...orang dah pi baru nak pesan...

liza said...

salam...
nak tanya, masa kat Rome stay kat hotel mana?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...