31 August 2009

Selamat Ulangtahun!

Selamat Menyambut Kemerdekaan ke 52 Tahun Malaysia pada 31 Ogos yang lalu. Semoga Malaysia bertambah makmur dan berada dalam keamanan, insyaAllah. Tahun ini nampaknya tidak dapat saya menyambut kemerdekaan negara di tanah air sendiri. Di Berlin, awal-awal lagi abang sudah menggantung bendera Malaysia di ruang tamu. Sekalipun kami tidak turut sama merayakan majlis berbuka puasa sempena kemerdekaan anjuran Kedutaan Malaysia di Berlin disebabkan kesihatan abang yang tidak mengizinkan, semangat menyambut kemerdekaan itu tetap subur di hati kami. Almaklum abang dan 31 Ogos memang tidak boleh dipisahkan.

Sejak mengenali abang, sambutan kemerdekaan bagi saya menjadi begitu istimewa. Ini kerana abang dilahirkan pada 31 Ogos. Jadi sambutan bagi kami pastinya berganda. Ada saja agenda istimewa yang kami sertai bersempena dengan dwisambutan bagi kami. Pengalaman meraikan hari jadi dan kemerdekaan negara Malaysia saya abadikan dalam novel Saat Kau Hadir. Bukan semua orang boleh berpeluang terpilih menjadi anak Merdeka.
Tahun ini sedang saya berkira-kira merangka agenda istimewa sempena hari lahir abang, kami dikejutkan dengan tiba-tiba. Pada tepat jam 1.00 tengahari 30 Ogos 2009, alhamdulillah saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.95kg di DRK Kliniken, Westend, Berlin, Jerman. Inilah dia hadiah yang paling bernilai buat suami tersayang. Selamat Hari Lahir untuk abang dan Selamat Lahir untuk anak perempuan yang ditunggu-tunggu!


ps- saya ingin merakam terima kasih kepada semua pengunjung blog dan teman Facebook yang tidak henti-henti mengucapkan tahniah kepada saya kerana kelahiran bayi ini. Maaf kerana belum sempat mejawab semua mesej dalam shout box kerana saya sedang membuat justifikasi dengan kehidupan baru. InsyaAllah bila segala-galanya kembali sedia kala, saya akan kembali aktif dengan entri terbaru.

29 August 2009

KEMBARA EROPAH: Mengembara dengan Keretapi Laju German (ICE)

Tidak terlintas sekali dalam hidup saya untuk merasai walaupun sekali peluang untuk menaiki salah sebuah keretapi terlaju di dunia. Namun peluang berada di bumi Berlin ini datang menggolek apabila abang berjaya mendapatkan tiket keretapi laju ICE Germany hanya melalui ebay untuk mengelilingi Jerman untuk kami sekeluarga dengan harga yang sukar dipercayai. Jadi kami sekeluarga keluar lagi berjalan-jalan. Kali ini kembara kami ke Europe bermula di Berlin-Munich-Vienna (Austria)-Bratislava (Slovakia)-Budapest (Hungary)-Munich-Stuttgart-Koln-Essen-Berlin selama 9 hari bermula 11 Ogos-19 Ogos 2009 yang lalu.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang keretapi laju di German. Selalunya jika orang bercerita tentang keretapi laju atau bullet train atau high speed train, orang pasti mengaitkannya dengan keretapi laju di Jepun yang terkenal dengan nama Shinkansen atau Perancis TGV. Di Jerman, ia dikenali dengan panggilan ICE, singkatan bagi Inter City Express yang diusahakan oleh syarikat Pengangkutan Deutsche Bahn (DB).

Kenapa keretapi laju amat berbeza dengan keretapi biasa? Tentulah pada kelajuannya. UIC (International Union of Railways) mendefinasikan keretapi laju perlulah beroperasi dan mempunyai kelajuan minimum 250km/j atas landasan baru atau minimum 200km/j atas landasan sedia ada. Cuba bandingkan kereta yang kita pandu di lebuhraya, maksimum hadnya adalah 110 km/j dan keretapi laju bergerak lebih sekali ganda daripada kelajuan maksimum kereta kita di lebuhraya di Malaysia! Dan yang paling mengujakan, bagi ICE Jerman, kelajuan puratanya adalah 300km/j bagi satu-satu perjalanan!

Bak perjalanan dengan kapal terbang, menaiki ICE tidak sama seperti menaiki keretapi biasa. Walaupun kelajuannya amat luar biasa, suasana di dalamnya amat senyap dan stabil. Kemewahan kemasan dalamannya amat jelas dirasai.
Compartment (Bilik) disediakan kepada penumpang yang inginkan privasi atau membawa kanak-kanak untuk perjalanan jauh.


Jika tidak mahu duduk di Compartment, penumpang boleh memilih untuk duduk di tempat duduk di gerabak dan boleh juga memilih untuk tempat duduk yang ada meja makan.
Jadual perjalanan disediakan kepada penumpang supaya kita mengetahui station iCE akan berhenti dan jarak dan waktu ketibaan di setiap stesen.
Jika lapar boleh ke Restoran atau Bistro yang disediakan di dalam keretapi. Pelbagai makanan disediakan dan boleh juga menikmati makanan di meja makan yang disediakan atau bawa pulang ke tempat duduk masing-masing.
Stabilnya ICE hingga Hakimy boleh berlari-lari di dalamnya.

Konon-konon nak menyiapkan manuskrip....

Berapakah harga tiketnya jika ingin menaiki ICE? Untuk perjalanan sehala dari Berlin-Munich (jarak sama seperti Pulau Pinang ke Johor, 600km) sahaja bagi seorang sekitar EUR130.00 bersamaan dengan RM650.00 untuk perjalanan sekitar 6 jam ke atas (mengikut bilangan pertukaran keretapi). Bayangkan jika kami sekeluarga 4 orang menaiki keretapi tersebut mengelilingi Jerman menggunakan ICE. Pasti tersedak mak ayah di kampung mendengar harganya. Mujurlah ada Ebay... hehehe...

27 August 2009

Taman Tema Warner Park (Movie World) Madrid, Sepanyol

Cuaca sangat terik petang itu tetapi kami menggagahkan kaki demi anak-anak yang disayangi. Walaupun terlewat sejam (sepatutnya kami tiba jam 4.00 petang) disebabkan masalah komunikasi di mana kami gagal mendapatan maklumat tepat semasa di setesen keretapi Atocha menyebaban perjalanan kami tertunda. Dari jauh inilah pemandangan yang dapat dilihat Warner Parque, Madrid. Namun keriuhan suara pengunjung yang sedang menaiki roller coaster sudah kedengaran.

dari jauh sudah nampak roller coaster maut


bugs bunney

daffy duck
di hadapan Warner Park sebelum masuk ke taman tema

Kartun Warner Brothers memang sinonim dengan kita. Kita membesar dengan Bugs Bunney, Daffy Duck, Tweety Bird, Road Runner etc. Kesempatan bertemu beberapa karektor kartun pujaan membuatkan anak-anak teruja. Sementelah mereka suka melihat aksi Bugs Bunney dan Daffy Duck yang asyik bercakaran tetapi 'mesra' hingga tidak boleh dipisahkan itu.

Inilah dia roller coaster maut. Saya menggeleng-geleng kepala semasa lalu di bawahnya. Upah saya dengan duit sekalipun saya tak akan naik. Saya hairan macam mana orang punya keberanian hendak menaiki roller caster macam ni. Silap-silap jantung boleh tertinggal kat atas.


bersama hero Superman yang permainannya memang menakutkan


sempat bergambar sekeluarga di Cartoon World sebelum mula bermain


menemankan Hakimy bermain...nampak sangat tak mencabar...

Bermacam-macam permainan yang budak-budak ni hendak mencuba tetapi permainan yang kebanyakannya tidaklah mencabar cukup untuk sekadar menggembirakan. Kelakarnya kerana saya mengandung permainan yang paling mudah seperti menaiki keretapi pusing-pusing taman tema pun tidak dibenarkan. Saya ketawa kerana kasihan kepada abang yang terpaksa menemankan anak-anak bermain sendirian. Nampaknya saya hanya masuk membayar tiket Euro28 hanya untuk menjadi jurgambar dan juruvideo profesional anak-anak dan abah mereka. Tetapi puas hati juga kerana kali ini memang banyak gambar dan video aksi-aksi mereka sedang bermain dapat dirakam.


sempat lagi berposing walaupun penat jadi peneman anak-anak bermain


tangki air Warner Brothers yang glamour tu

Paling tidak, saya dapat juga menonton aksi stun batman menyelamatkan heroinnya. Memang aksi stunt mereka tidak menghampakan. Bermula dari sekadar manusia biasa, Bruce Wayne transform kepada seorang penyelamat mencegah kejahatan. Banyaklah aksi kejar-mengejar, letupan di sana sini dan aksi ninja ditontonkan kepada umum. Tapi pertunjukan itu dalam bahasa Sepanyol. Jadi kami main agak-agak saja apa intipati ceritanya.




stunt show oleh Batman

Jam 10.00 malam bila tirai Warner Park ditutup, wajah anak-anak gembira kerana puas bermain hari itu. Mujur saja pada hari yang terik itu, taman tema ini menyediakan tempat-tempat khas untuk pengunjung membasahkan tekak dengan air minuman. Kalau kena beli juga air mineral memang duit akan banyak habis disebabkan teriknya matahari pada waktu summer di Sepanyol ini. Nampaknya bulan Julai memang bulan paling panas hinggakan di kiri kanan jalan rumput-rumput gondol ibarat padang pasir.


sempat bergambar dengan Tom sebelum pulang

Sempat juga kami membeli-belah di kedai-kedai menjual cenderamata. Harganya? Bolehlah tahan, ada tawaran juga pada barangan tertentu. Yang pasti mesti hendak beli juga barang satu dua cenderamata sebagai kenangan berada di sana. Nampaknya hasrat kami untuk menggembirakan anak-anak tercapai juga. Esoknya kami pulang ke Berlin setelah 10 hari mengembara ke Itali dan Sepanyol.

26 August 2009

Rindu Untuk Dia- Novel terbaru dari Dhiya Zafira

Bagi anda yang rindukan sentuhan Dhiya Zafira, kini beliau kembali dengan novel baru. Sekalipun tidak dapat memegang buah tangan terbaru ini, saya dapat merasakan novel ini pasti memuaskan hati anda saat diberi penghargaan membaca manuskrip mentahnya. Seperti biasa, penulis novel yang suka menyelitkan unsur thriller dalam penulisannya ini pasti akan membuatkan anda tertanya-tanya dan tidak sabar menghabiskan pembacaan novel ini. Apa kata dapatkan novel terbaru ini di pasaran untuk mengisi masa sementara menunggu waktu berbuka atau bersahur. Kalau hendak bertukar selera, hadiahkan ulat buku dengan novel terbaru ini sempena Aidil Adha yang bakal menjelma. Bagi mendapatkan info terkini tentang novelis ini dan novel ketiganya ini sila ke blog beliau di http://violet-azure.blogspot.com/

"Dalam hatiku ada ingatan yang tidak pernah mati terhadapnya"
Amie Najla' nekad melarikan diri seminggu sebelum perkahwinannya. Tiada niatpun di hatinya untuk memungkiri janji, namun keadaan yang memaksa. Dia tidak sanggup melihat mahligai yang ingin di bina musnah jika Jad Imran tahu apa yang terjadi pada dirinya. Kerana itu dia rela dituduh sebagai pembohong.
Lima tahun berada di luar negara, rupa-rupanya tidak pernah memadamkan ingatannya terhadap Jad. Rindu yang terlalu terhadap lelaki itu telah membawa Amie kembali ke tanah air. Namun, kepulangananya ternyata satu kesilapan. Seseorang menantinya dengan seribu dendam. Dendam yang mahu dia kekal menderita sampai ke hujung nyawa.
Dalam kelelahan melenyapkan memori hitam itu, takdir ALLAH berpihak kepada Amie. Di sisi Jad, dia kembali menemui harapan. Namun, lorong-lorong bahagia yang direntasi sering terhalang. Malah, cinta yang mereka pertahankan itu mengorbankan satu nyawa.

23 August 2009

Merdeka Family Day (khusus untuk warga Malaysia di Jerman)

Bersempena sambutan hari Kemerdekaan tahun ini yang jatuh pada bulan Ramadhan, Kedutaan Besar Malaysia di Berlin telah mengambil langkah awal dengan mengawalkan sambutannya. Kali ini ia diadakan berkembar dengan sambutan Hari Keluarga sekali. Jadi majlis 2 dalam 1 ini memang meriah dihadiri oleh seluruh warga Malaysia yang dapat hadir dari seluruh pelusok Jerman ini. Majlis 2 Ogos ini diadakan di Potsdam, Berlin.


Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti oleh ucapan Duta Besar Malaysia di Berlin. Acara seterusnya ialah bacaan doa dan diikuti dengan upacara makan-makan. Kali ini juadahnya memang menyelerakan dimasak oleh warga Malaysia yang sudah dimodifikasi mengikut bahan yang ada di sini. Alhamdulillah sedikit sebanyak kerinduan terhadap masakan Malaysia terubat juga.



Sambil menjamu selera dan berbual mesra, acara sukaneka diadakan. Kanak-kanak yang paling gembira kerana dapat masuk macam-macam acara. Yang menang sudah tentu dapat hadiah. Yang kalah turut sama dapat hadiah. Ada macam-macam acara seperti rebut kerusi, masuk air -dalam botol, cari gula-gula dalam tepung dan sebagainya. Hardy masuk pada semua acara. Hakimy masuk acara rebut kerusi saja dan yang kelakarnya, bukan dia rebut kerusi tapi dia pegang kerusi....



Yang paling seronok tentulah kanak-kanak. Walaupun panas terik dan muka putih kena tepung tidak kisah. Kalau boleh hendak pulang sampai petang dek seronknya dapat bermain bersama kawan-kawan hingga ada yang terlupa hendak makan. Mujur saja bekalan gula-gula hasil permainan tadi banyak buat melupa seketika perjalanan selama 2 jam pulang ke rumah dengan keretapi.


Usaha pihak Kedutaan menganjurkan majlis ini sangat-sangat dialu-alukan. Ia dapat meningkatkan semangat patriotik dan ukhwah di kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di Jerman.

22 August 2009

Ramadhan di Perantauan

Pada 21 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430Hijrah, kami di Berlin sudah memulakan ibadah puasa sehari lebih awal dari warga Malaysia yang akan memulakannya pada hari Jumaat, 22 Ogos 2009. Inilah Ramadhan pertama kami sekeluarga di perantauan. Duduk berjauhan dari keluarga dan tanah air tercinta benar-benar menguji ketabahan dan keimanan.

Jika di Malaysia, saat ini kami sekeluarga biasanya akan pulang ke kampung menyambut ramadhan pertama bersama orang tua tercinta. Jika pagi raya pertama tahun ini disambut di rumah ibu saya, maka biasanya kami akan menyambut ramadhan pertama di rumah ibu abang. Jika tidak berkesempatan pulang disebabkan tiada cuti, kami akan pulang juga berpuasa di rumah di kampung pada hari yang berkesempatan. Sudah menjadi tradisi kami sekeluarga begitu sejak berkahwin pada tahun pertama lagi. Alhamdulillah buat masa ini belum pernah lagi kami kena main osom untuk tentukan di mana hendak puasa pertama, di rumah siapa hendak beraya.

Bazaar Ramadhan yang selalu kami kunjungi selain dari di BSP, tentulah Sri Serdang. Sudah menjadi tradisi juga sejak kami belajar di UPM dulu, bazaar Ramadhan Sri Serdang harus dikunjungi. Bazaar yang selalu sesak dengan manusia ini hanya akan surut jika pelajar UPM pulang ke kampung. Jika tidak, bersedialah untuk berlanggar bahu. Menariknya kerana sudah bertahun-tahun ke sini, kami sudah cam sangat dengan penjual bazaar dan tahu gerai mana yang sedap, murah dan berbaloi untuk dibeli.

Bazaar Ramadhan paling mengeringkan poket tentulah bazaar Putrajaya. Kalau ke sini saya memang jarang beli kuih. Harganya mahal dan saiznya kecil. Dulu-dulu rajin beratur panjang hendak beli roti John istimewa Putrajaya tapi sekarang di BSP juga cawangannya ada. Satu lagi yang saya suka pergi tetapi jarang sampai tentulah bazaar Ramadhan Jalan TAR.

Jika ada masa, kami memenuhi tuntutan buka puasa dari teman-teman. Masa inilah teman-teman hendak membuat reunion. Saya paling tidak suka jika terpaksa berbuka puasa di KL. Sudahlah perut lapar, jalan sesak pula. Tetapi mengenangkan untuk memenuhi undangan dan bertemu teman-teman terpaksalah digagahkan diri ke sana. Syaratnya kenalah sediakan air dan buah kurma sebagai rancangan susulan jika Maghrib sudah masuk tetapi masih di jalan. Hotel-hotel juga berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej berbuka puasa. Yang paling tidak boleh lupa tentulah menu istimewa kambing panggang Hotel Residence, Bangi.

Di Malaysia juga, masjid berlambak-lambak. Surau-surau juga ada yang buat solat Terawikh. Masa ini seronok tengok ramai orang beribadat di bulan Ramadhan, masjid memang penuh sesak dengan manusia.

Itu semua kenangan pada hari-hari yang telah lepas. Realitinya saya di bumi asing di Berlin, Jerman. Tahun ini kami berpuasa dari jam 4 pagi hingga 8 malam kira-kira 16 jam. Jika di Malaysia kita biasa berpuasa dari jam 5 pagi hingga 7.30 malam kira-kira 14 jam 30 minit. Ini disebabkan sekarang ini waktu summer, siangnya agak panjang dari malam. Hari pertama berpuasa, kami sudha terlepas sahur. Semuanya gara-gara tersilap kunci jam. 2.45 pagi terkunci 2.45 petang. Jadi memang kami berpuasa 22 jam kerana kami makan terakhir jam 10 malam! Memang memenatkan hingga saya tidak lalu untuk berdiri lagi. Jadi abang yang masak untuk berbuka hari ini. Menunya inilah yang setakat termampu. Kalau di Malaysia tentu juadahnya meriah lagi....


tomyam campur dan daging masak merah


ketam masak lemak cili padi dan tempe goreng bilis

Jadual berbuka bukan ada ditayang di layar TV. Semuanya terpaksa dimuaturun di islam.de. Kalau berjalan di sana-sini orang makan selamba aje. Almaklum hanya kita yang berpuasa. Alhamdulillah ia menjadi pengalaman kami paling berharga di sini. Yang pasti hubungan kami suami isteri menjadi lebih erat dan saling memerlukan. Tanpa salah seorang, kami pasti kecundang.

21 August 2009

Usain Bolt di IAAF Berlin World Athletics Championships 2009

Saya pernah membuat entri tentang kedatangan Raja Pecut Dunia, Usain Bolt ke Berlin tidak lama dulu bersempena Kejohanan IAAF kali ke 12 yang berlangsung dari 15 hingga 23 Ogos 2009. Jika anda ingat, kata saya "Tercapaikah hasrat saya untuk melihat dia beraksi di depan mata sendiri?" Jawapannya tidak!

Pertama kali dia menang acara 100m dan mencipta rekod dunia pada 9.58s, saya menontonnya melalui live internet streaming ketik berada di Stuttgart, Jerman. Kali kedua dia menang acara 200m pula dan mencipta satu lagi rekod dunia pada 19.19s , saya menontonnya melalui TV secara langsung di rumah saya di Berlin.

Hari ini (21 Ogos) dia akan beraksi pula untuk acara 4x100 meter pula (separuh akhir) jam 7.30 malam waktu tempatan. Saya tetap tidak dapat melihatnya secara langsung kerana hari ini adalah hari pertama Ramadhan dan dengan keadaaan saya yang begini, tentulah angan-angan itu tidak akan menjadi kenyataan.

Dalam usia beliau hanya 22 tahun, rasanya selepas ini dia akan terus memecahkan rekodnya sendiri. Mungkin di lain masa dan kesempatan, saya akan dapat melihatnya beraksi. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Kepada Usain Bolt "Semoga impian anda menjadi lagenda akan tercapai dan selamat mencipta lebih banyak rekod baru!"

ps-semasa saya mengemaskini entri ini, Usain Bolt telah menang dalam acara 4x100 meter sepertimana dijangka, emas ketiganya menyamai pencapaian olimpik.

KEMBARA EROPAH: Sepanyol II - Madrid

Kami hanya ada masa sehari penuh untuk jalan-jalan di Madrid disebabkan kami sudah sampai malam di sini. Rencana kami hari itu, berjalan sekitar tempat-tempat wajib dan kemudian memenuhi agenda anak-anak pula. Sudah lebih seminggu mereka mengikut kami tanpa sebarang rungutan. Saya dan suami sangat bersyukur kerana anak-anak jenis yang boleh diangkut ke sana ke mari tanpa banyak karenah. Jadi hari terakhir percutian ini, kami ingin hadiahkan mereka dengan sesuatu yang pasti mereka suka.

Pagi itu kami keluar awal pagi dan bersiar-siar sekitar Madrid. Gambar di atas stesen Atocha, di mana selain dari nadi utama stesen keretapi Madrid, rekaan dalamannya dibentuk supaya anda dapat melupakan seketika kesibukan anda mengejar waktu ketibaan dan pelepasan keretapi. Ia merupakan stesen keretapi dalam taman.

Di tengah kesibukan metropolitan Madrid, berdiri gagah Town Hall Madrid yang begitu gah dan cantik binaannya. Disebabkan kami kesuntukan masa dan keadaan cuaca yang sangat panas, kami hanya bergambar dari jauh saja.


Tempat wajib yang sepatutnya kami pergi bukan setakat bergambar tetapi menonton dan merasa sendiri suasananya adalah Plaza de Toros. Di sini pertunjukan lawan lembu yang terkenal seantero dunia diadakan tetapi waktu berlangsungnya pertunjukan itu pada waktu malam. Dari cerita teman yang pernah menyaksikan pertunjukan ini, lembu yang kalah akan mati, begitu juga lembu yang menang. Selepas menang dalam pertunjukan itu, lembu tadi akan mengelilingi stadium sebelum dibunuh oleh lembu yang berganda lebih besar darinya. Telah menjadi tradisi tiada lembu-lembu yang masuk ke gelanggang akan keluar bernyawa. Begitulah alkisah ceritanya. Memang rasa agak terkilan kerana tidak dapat menyaksikan pertunjukan yang menjadi kebanggan negara Espana ini tetapi disebabkan kesuntukan masa dan tidak berapa sesuai menjadi tontonan kanak-kanak, maka itulah alasan yang terbaik untuk menyedapkan hati.

Sebelum ke Warner Parque Madrid, kami sempat mencuri masa singgah ke Hard Rock Cafe dan melawat stadium Bernabeu. Pagi itu kebetulan kami datang memang tepat pada masanya. Malam itu kelab Real Madrid yang menggemparkan dunia bolasepak dengan membeli Ronaldo dari Manchester United pada harga tertinggi Euro 80 Juta dijadualkan menentang FC Ijtihad untuk Piala Keamanan. Harga tiket tidaklah mahal, paling murah Euro15 tetapi disebabkan alasan yang sama, kami tidak juga mengambil peluang menontonnya secara langsung.


Pagi itu kami sempat merasa pengalaman menanti pemain-pemain tiba di pintu stadium dengan kereta masing-masing untuk sesi persiapan perlawanan malam itu. Macam-macam spekulasi dari peminat fanatik yang bukan saja peminat tempatan tetapi dari luar yang memang menunggu untuk menyaksikan perlawanan malam itu. Setiap kali pemain tiba, peminat ada yang menghulurkan bola ke tingkap untuk ditandatangani pemain. Lensa kamera memang sudah siap sedia untuk merakam gambar mereka. Saya jadi hairan bagaimana fanatiknya mereka hingga tahu itu kereta siapa dari jauh lagi sedangkan boleh dikatakan rata-rata pemain memakai cermin gelap pada kereta masing-masing. Sekalipun saya peminat Real Madrid (setelah Ronaldo menjadi pemainnya haha, saya tidak kenal kebanyakan nama pemain yang mereka sebutkan). Hanya yang saya kenal Raul, Kaka, Casillas dan pastilah Ronaldo. Tetapi gosip yang saya dengar Kaka tidak bermain pada hari itu kerana bercuti dan Ronaldo telah tiba awal-awal pagi lagi.

Kami ke butik FC dan meronda-ronda di dalamnya. Hendak masuk pun was-was pengawal keselamatan memang ramai di pintu masuk. Begitulah agaknya suasana kesibukan kelab-kelab gergasi bolasepak dunia pada hari perlawanan. Sesungguhnya ia memberi kami pengalaman baru dan mewarnai kembara kami di Madrid.

Petang itu walaupun sudah terlewat sejam dari yang sepatutnya dijadualkan, kami sempat juga ke Warner Parque sebagai hadiah kepada anak-anak kerana tidak memberikan kami banyak karenah sepanjang kembara 10 hari ke Itali dan Sepanyol.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Salam semua...

Lamanya blog saya berhabuk hingga ada yang risau dan hantar SMS dari Malaysia ingatkan saya diam kerana bersalin... Terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya yang berhabuk dan prihatin tu ye... InsyaAllah jika saya sudah bersalin, akan saya umumkan berita gembira itu di blog ini.

Blog berhabuk kerana tuannya tiada di rumah seperti biasa. Ke mana agaknya? Nantilah dalam entri-entri seterusnya saya ceritakan.

Sekali lagi saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak. Kesempatan ini kami memohon maaf atas segala kekhilafan. Semoga Ramadhan tahun ini dapat kita kumpul bekalan yang lebih banyak lagi untuk persiapan di hari depan.

Tahun ini tak dapatlah saya ronda-ronda Bazaar Ramadhan. Macam terasa-rasa bau-bau makanan yang sedap-sedap dan lazat. Rupanya pula cantik-cantik hingga kita membeli hanya kerana rupanya yang begitu menyelerakan. Tapi saya sabarkan hati. Berpuasa di perantauan ini harapnya bolehlah berjimat (untuk sedapkan hati sendiri...hahaha). Siang tadi kami sudah keluar membeli barang-barang keperluan untuk berpuasa esok. Imsak sekitar jam 4.00 pagi dan berbuka jam 8.10 malam.

Yang pasti tahun ini saya akan memasak untuk juadah berbuka dan bersahur. Tak bolehlah nak berehat-rehat dari memasak di dapur dan menikmati juadah tunjuk-tunjuk lagi. Selepas itu abang pula kena masakkan untuk kami sekeluarga (kerana saya dijadualkan bersalin pada 21 September ini dan terasa akan bersalin lebih awal dari itu). Semoga kami dapat melalui segalanya dan dipermudahkan ALLAH segala urusan di sini.

Sehingga itu jumpa lagi dan salam Ramadhan!

11 August 2009

Blog Tergendala Sebentar

Kepada pengunjung blog, saya memohon maaf kerana blog saya akan berhabuk dari 11 hingga 20 Ogos ini. Kesempatan ini saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak. Jika ada yang pulang menyambut Ramadhan bersama keluarga di kampung, berhati-hati di jalan raya. Jumpa lagi, InsyaAllah.

KEMBARA EROPAH: Sepanyol I - Barcelona

Pemandangan Barcelona yang dirakam dari atas bukit Mont Juic

Percutian kami ke Barcelona, Sepanyol selama 2 hari. Kali ini kami menyewa kereta disebabkan Lapangan Terbang Girona yang memakan masa lebih kurang sejam dari pusat bandar Barcelona. Tambahan pula hotel yang kami tempah berada di tepi lebuhraya. Cuaca di Barcelona memang panas kering hingga mencecah 41 darjah celcius. Terasa hangat kulit terbakar dek matahari tetapi itu tidak menghalang kami dari meneroka Barcelona cuma ia menghadkan kami dari pergi ke beberapa destinasi tarikan pelancong disebabkan kepenatan. Kami minum air banyak bagi mengganti cecair di dalam badan. Hardy kata Barcelona lebih panas dari Malaysia. Dia yang tidak tahu berapa darjah suhu harian pun boleh merasakan kehangatan Barcelona.


di tengah pusat bandaraya Barcelona

Pada hari pertama kami di Barcelona, kami memulakan pengembaraan dengan menuju ke Camp Neu, stadium yang digunakan FC Barcelona. Namun GPS meragam pada hari itu dan tidak berfungsi dengan sepatutnya. Perjalanan yang jaraknya hanya 8km telah menjadi 2 jam. Kami langsung tidak menjumpai stadium. Bila ia kembali berfungsi, kami membatalkan rancangan ke stadium lalu terus ke pusat bandar. Destinasinya Mont Juic yang terkenal dengan pelancong. Kami berjalan-jalan di sekitar Mont Juic. Antara destinasi yang sempat kami kunjungi ialah Musical Fountain dan Stadium Olimpik Barcelona.


Musical Fountain dan National Museum

Stadium Olimpik




Camp Neu, FC Barcelona
Kami ke Camp Neu pada hari esoknya. Mujurlah GPS tidak meragam tetapi ia membawa kami ke jalan merentasi bandaraya Barcelona yang memang banyak sangat lampu isyaratnya. Sudahnya 8km mengambil masa hampir setengah jam. Menariknya di butik FC Barcelona ini terdapat pelbagai barangan cenderamata dan harganya juga agak berpatutan (kecuali harga jersi yang memang berharga piawai seperti lain-lain butik FC). Puas meronda Camp Neu kami memakir kereta di Mount Juic lalu menggunakan kenderaan awam berjalan-jalan sekitar Barcelona.


Ini Sagrida Familia, antara bangunan yang menjadi ciptaan arkitek terkenal mereka Goudi. Tetapi ia masih tidak sempurna. Di sini sana ada saja kren yang mengganggu pemandangan untuk diambil gambar. Dari jauh, ia kelihatan cantik tetapi bila dilihat dengan mata, ia tidaklah secantik yang saya bayangkan tatkala melihatnya jauh dari perbukitan. Perkataan paling sesuai menggambarkannya ialah unik.



Town Hall

Tengahari itu kami berehat seketika di sekitar Town Hall. Terdapat banyak kerusi di kawasan teduh. Sempatlah mengambil gambar sekeping dua sebelum ke Hard Rock Cafe.


artis jalanan di Las Ramlas

Melihat lautan manusia di Las Ramlas membuatkan hati tertanya-tanya, apa yang membuatkan lorong ini dipenuhi manusia. Di penghujung lorong ini adalah pantai Barceloneta. Disebabkan destinasi kami seterusnya adalah pantai Barceloneta, jadi apa salahnya menyusur hingga ke penghujungnya. Ternyata Las Ramlas tidak mengecewakan kerana ia benar-benar menghiburkan anak-anak dengan artis jalanannya. macam-macam kstum dan bakat yang dipersembahkan. Paling anak-anak suka tentulah dracula dan Edward Scissorhand. Setiap persembahan pastilah ada harga. Jika ingin bergambar dengan mereka, lemparkan saja syiling ke dalam kotak yang diletakkan di hadapan mereka. Saya perhati, mereka ini tidak kisah berapa saja duit yang diberikan.



Penat melihat aksi artis jalanan, singgah sebentar di La Boqueria, di mana pasar segar berada. Melihatkan sayur-mayur dan buah-buahan yang dipamerkan, perut yang tidak lapar minta diisi tambah pula tekak yang dahaga. Jus segar dijual di sini dan pastinya anda puas hati dengan rasanya. Sediakan saja duit yang secukupnya.



Kami sudahnya tiba juga di Marina, pelabuhan di pantai Barceloneta. Inilah pantai dari laut Mediteranean. Pantai di manapun bagi saya tetap sama. Airnya tetap biru walau di mana. Cuma pemandangannya saja yang berbeza. Kami tidak lama di sini kerana pemandangan yang tidak berapa sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Selesai bergambar, kami pulang.

di hadapan monumen di pelabuhan
di Kuala Lumpur... kedai menjual pakaian

Esoknya kami pulang dan sempat singgah ke La Roca Village, perkampungan Designer Outlet yang terletak di antara Lapangan Terbang Girona dan Barcelona. Tidak banyak yang kami beli kerana harga yang ditawarkan tidaklah murah terutamanya jika ditukar kepada RM. Butik Calvin Klein, Burberry, Tommy Hilfinger antara yang terdapat di sini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...