07 August 2009

KEMBARA EROPAH: Berlin Harley Day


Setelah puas berehat di rumah setelah bercuti ke Itali dan Sepanyol, kami menjengah ke Berlin Harley Days yang berlangsung selama 3 hari dari 31 Julai, 1 dan 2 Ogos 2009. Sekadar menjamu mata dan memekakkan telinga dengan motorsikal berkuasa besar.

Belumpun tiba, sudah kedengaran ngauman enjin motorsikal dari jauh. Biasalah rombongan empunya motorsikal memang selalu berkumpulan. Bila sudah tiba kelihatan motorsikal besar ini berderetan di sepanjang jalan.



Sebetulnya kami memang menunggu acara ini, aksi stunt menggunakan motorsikal Harley Davidson. Bayangkan betapa hebatnya pelagak stunt ini mengangkat motorsikal Harley yang memang berat itu. Aksi-aksi pelagak stunt ini mendapat tepukan penonton yang kagum dengan aksinya. Tetapi sekalipun tapak stunt itu bising dengan bunyi enjin dan tepukan penonton, si Hakimy enak tidur di dalam stroller. Beberapa kali aksinya dirakam oleh pengunjung yang ternyata hairan bagaimana dia boleh melelapkan mata dengan bunyi bising sebegitu.


Selain aksi stunt dan jualan di gerai-gerai Harley Davidson (mengikut daerah di Jerman), macam-macam aktiviti lain turut disediakan kepada pengunjung antaranya konsert, pameran patung yang dibuat dari besi terpakai juga terjun bunjee dari kren. Terdengar suara orang yang menjerit gayat kerana dilepaskan pada ketinggian yang begitu mengerikan, membuatkan saya menggeleng kepala. Saya memang tidak punya keberanian seperti itu. Rasanya saya tidak akan sekali-kali mencuba aksi itu sekalipun dicabar oleh sesiapa. Itu namanya aksi membunuh diri! Haha.






Menariknya motorsikal Harley Davidson ini tidak ada satupun yang kelihatan serupa kerana ianya direkabentuk mengikut selera pemiliknya. Ada macam-macam corak dan stail jika dilihat bergantung kepada olahan pemilik. Antara yang menarik, saya rakamkan di sini untuk tontonan mata anda. Saya pernah berangan bila anak-anak sudah besar nanti, saya dan suami akan punya satu motorsikal berkuasa tinggi untuk kami sama-sama bersiar-siar berdua. Entah tercapai entahkan tidak kerana harga sebuah motorsikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson ini mencecah ratusan ribu ringgit!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...