08 August 2009

KEMBARA EROPAH: Itali III - Pisa

Inilah dia! Menara Pisa yang konon-konon dikembarkan dengan Menara Condong Teluk Intan, Perak. Nampak serupa ke? Semasa saya mula-mula nampak Menara Pisa ini dari dalam bas, saya agak tergamam kerana di dalam pemikiran saya, menara ini berwarna hitam atau coklat tetapi rupanya berwarna putih.



Perjalanan kami Rome ke Pisa ini memang semata-mata untuk melihat salah satu mercu tanda keajaiban dunia ini; Menara Pisa. Perjalanan selama 4 jam dari Rome dengan keretapi dihiasi dengan ladang-ladang jagung, tomato, bunga matahari dan pantai. Perjalanan yang jauh itu akhirnya tidak terasa dek pemandangan di sekitarnya.

Tiba di Pisa Central, kami mencari bas yang akan membawa kami ke Menara Pisa. Tetapi walaupun sudah menaiki bas yang betul, kami tersesat kerana laluan bas itu tidak menyatakan secara jelas di mana kami harus turun untuk ke Menara Pisa. Kami turun dengan niat untuk berpatah balik ke Menara Pisa yang saya sudah nampak dari dalam bas sebelum itu. Kelakarnya, kami menahan bas yang sama. Rupanya selepas bas itu berhenti di destinasi terakhir, ia akan berpatah balik ke Pisa Central. Semasa berpatah balik itu, sebenarnya barulah ia akan berhenti di Menara Pisa (yang dipanggil dengan nama lain di setiap tanda arah, menyebabkan kekeliruan itu bertambah).

Tiba di Menara Pisa, kami bernafas lega. Kelihatan orang terlalu ramai mengambil gambar dengan macam-macam aksi untuk konon-konon menolak Menara Pisa supaya menjadi tegak kembali. Kami sekeluarga tidak mahu ketinggalan sekalipun matahari memang terlalu terik petang itu. Dari cerita teman, setiap tahun, untuk mengelakkan Menara Pisa dari rebah, kontraktor akan mengorek tanah di bahagian kirinya supaya ia terus bertahan.

Penat berjalan, kami singgah di deretan gerai yang menjual cenderamata. Ada terlalu banyak pilihan sehingga kami rambang mata. Tetapi yang pasti, satu fridge magnet pasti diangkut sebagai tanda kami pernah ke sini.
Gambar ini dirakam dalam keadaan tergesa-gesa kerana pengawal keselamatan sudah meniup wisel mengusir kami dari memijak rumput di tengah padang itu. Bukan kami saja, ramai lagi pelancong yang memijak rumput demi mendapatkan pandangan terbaik untuk merakam gambar mereka di Menara Pisa.

Kami cuma ada 2 jam di Menara Pisa sebelum ke lapangan terbang Pisa untuk ke Barcelona. Bumi Itali ditinggalkan dengan seribu kenangan manis.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...