22 August 2009

Ramadhan di Perantauan

Pada 21 Ogos 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430Hijrah, kami di Berlin sudah memulakan ibadah puasa sehari lebih awal dari warga Malaysia yang akan memulakannya pada hari Jumaat, 22 Ogos 2009. Inilah Ramadhan pertama kami sekeluarga di perantauan. Duduk berjauhan dari keluarga dan tanah air tercinta benar-benar menguji ketabahan dan keimanan.

Jika di Malaysia, saat ini kami sekeluarga biasanya akan pulang ke kampung menyambut ramadhan pertama bersama orang tua tercinta. Jika pagi raya pertama tahun ini disambut di rumah ibu saya, maka biasanya kami akan menyambut ramadhan pertama di rumah ibu abang. Jika tidak berkesempatan pulang disebabkan tiada cuti, kami akan pulang juga berpuasa di rumah di kampung pada hari yang berkesempatan. Sudah menjadi tradisi kami sekeluarga begitu sejak berkahwin pada tahun pertama lagi. Alhamdulillah buat masa ini belum pernah lagi kami kena main osom untuk tentukan di mana hendak puasa pertama, di rumah siapa hendak beraya.

Bazaar Ramadhan yang selalu kami kunjungi selain dari di BSP, tentulah Sri Serdang. Sudah menjadi tradisi juga sejak kami belajar di UPM dulu, bazaar Ramadhan Sri Serdang harus dikunjungi. Bazaar yang selalu sesak dengan manusia ini hanya akan surut jika pelajar UPM pulang ke kampung. Jika tidak, bersedialah untuk berlanggar bahu. Menariknya kerana sudah bertahun-tahun ke sini, kami sudah cam sangat dengan penjual bazaar dan tahu gerai mana yang sedap, murah dan berbaloi untuk dibeli.

Bazaar Ramadhan paling mengeringkan poket tentulah bazaar Putrajaya. Kalau ke sini saya memang jarang beli kuih. Harganya mahal dan saiznya kecil. Dulu-dulu rajin beratur panjang hendak beli roti John istimewa Putrajaya tapi sekarang di BSP juga cawangannya ada. Satu lagi yang saya suka pergi tetapi jarang sampai tentulah bazaar Ramadhan Jalan TAR.

Jika ada masa, kami memenuhi tuntutan buka puasa dari teman-teman. Masa inilah teman-teman hendak membuat reunion. Saya paling tidak suka jika terpaksa berbuka puasa di KL. Sudahlah perut lapar, jalan sesak pula. Tetapi mengenangkan untuk memenuhi undangan dan bertemu teman-teman terpaksalah digagahkan diri ke sana. Syaratnya kenalah sediakan air dan buah kurma sebagai rancangan susulan jika Maghrib sudah masuk tetapi masih di jalan. Hotel-hotel juga berlumba-lumba menawarkan pelbagai pakej berbuka puasa. Yang paling tidak boleh lupa tentulah menu istimewa kambing panggang Hotel Residence, Bangi.

Di Malaysia juga, masjid berlambak-lambak. Surau-surau juga ada yang buat solat Terawikh. Masa ini seronok tengok ramai orang beribadat di bulan Ramadhan, masjid memang penuh sesak dengan manusia.

Itu semua kenangan pada hari-hari yang telah lepas. Realitinya saya di bumi asing di Berlin, Jerman. Tahun ini kami berpuasa dari jam 4 pagi hingga 8 malam kira-kira 16 jam. Jika di Malaysia kita biasa berpuasa dari jam 5 pagi hingga 7.30 malam kira-kira 14 jam 30 minit. Ini disebabkan sekarang ini waktu summer, siangnya agak panjang dari malam. Hari pertama berpuasa, kami sudha terlepas sahur. Semuanya gara-gara tersilap kunci jam. 2.45 pagi terkunci 2.45 petang. Jadi memang kami berpuasa 22 jam kerana kami makan terakhir jam 10 malam! Memang memenatkan hingga saya tidak lalu untuk berdiri lagi. Jadi abang yang masak untuk berbuka hari ini. Menunya inilah yang setakat termampu. Kalau di Malaysia tentu juadahnya meriah lagi....


tomyam campur dan daging masak merah


ketam masak lemak cili padi dan tempe goreng bilis

Jadual berbuka bukan ada ditayang di layar TV. Semuanya terpaksa dimuaturun di islam.de. Kalau berjalan di sana-sini orang makan selamba aje. Almaklum hanya kita yang berpuasa. Alhamdulillah ia menjadi pengalaman kami paling berharga di sini. Yang pasti hubungan kami suami isteri menjadi lebih erat dan saling memerlukan. Tanpa salah seorang, kami pasti kecundang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...