30 October 2009

Sudah 2 bulan Hana Nurein saya....


Inilah wajah-wajah Hana yang sempat saya rakam. Hari ini umurnya cukup 2 bulan. Sudah pandai tersenyum bila diagah dan beratnya 5kilo! Saya belum pernah ada anak setembam dia....
Kalau di Malaysia ia bermaksud cuti bersalin sudah habis dan bersedialah untuk kembali bekerja. Hana saya kalau tiada mama di sisi tidak lena dia tidur. Macam mana nanti bila pulang ke Malaysia ye....

Blog tergendala sebentar


Salam semua...


Blog saya akan tergendala sebentar dari hari ini hingga minggu depan 7 November kerana ada urusan peribadi yang harus diuruskan. Jumpa lagi nanti dengan entri terbaru saya Kembara Europe - Vienna, Austria, insyaAllah.

27 October 2009

KEMBARA EROPAH: Neuschwanstein Castle, Bavaria, Jerman

Pengembaraan kami diteruskan dari Munich dengan menaiki keretapi menuju Hohenschwangau dan Fusen di Bavaria, Jerman untuk menyaksikan salah sebuah istana tercantik di dunia iaitu Neuschwanstein Castle. Letaknya di atas pergunungan, istana Neuschwanstein menjadi inspirasi kepada Walt Disney untuk mencipta Disney Magic Kingdom. Jika anda perhatikan, kubahnya memang hampir sama. Cuma yang berbeza, Disney Magic Kingdom berwarna-warni. Istana Neuschwanstein merupakan istana yang paling ramai dilawati dan difoto di Jerman dengan hampir 6000 pengunjung sehari pada waktu cuti musim panas.


Istana Neuschwanstein yang difoto dari Marienbrucker

Perjalanan dari Munich ke Fusen Haupbahnhof mengambil masa hampir 2 jam. Di Fusen kami harus menaiki bas ke Hohenschwangau pula. Kami kena berebut dengan ramai pelancong lain yang memang ramai hendak melihat istana itu. Mujurlah Hakimy menaiki stroller, jadi kami tak perlu beratur panjang di pintu bas depan. Kalau tidak kena pula menunggu bas lain di belakang.


Lagi Istana Neuschwanstein yang difoto dari Marienbrucker

Pemandangan di kiri dan kanan menghijau menenangkan mata yang memandang. Ya, laluan di situ memang menarik sementelah ia merupakan laluan Romantic Road di Jerman. Agak hampa kerana saya tidak dapat merakam gambar pemandangan kerana duduk di kerusi tengah di tempat duduk paling belakang dan terpaksa berhimpit dengan pelancong lain. Tidak berapa lama berada di dalam bas, kami sudah nampak istana itu dari jauh. Hati jadi teruja melihat kecantikan istana itu sementelah dari dalam keretapi semasa menghampiri Fussen tadi memang sudah nampak kelibat istana yang tersergam indah dari jauh lagi. Ibarat menju ke alam fantasi, hati tidak sabar melihat istana yang menjadi inspirasi Wat Disney ini. Namun disebabkan ketibaan kami merupakan waktu puncak (11.00 pagi), jalan menuju istana telah sesak dengan kenderaan. Saya menjenguk ke tingkap dan tersenyum sambil menggeleng. Patutlah sesak... kenderaan bersusun-susun, kata hati saya.


Maklumat tentang Mariebrucker

Bila turun saja dari bas, saya lihat orang berpusu-pusu menuju kaunter menjual tiket untuk ke istana. Memang panjang sungguh barisannya. Tidak sanggup untuk saya menunggu kerana kami punya masa yang terhad di sini. Di Hohenschwangau ini ada 2 istana yang boleh dilawati iaitu istana Hohenschwangau yang juga di atas bukit (di sebelah kanan) dan istana Neuschwanstein (di sebelah kiri). Jika ada masa yang panjang tentu saja boleh pergi melawat kedua-dua istana ini.


Pemandangan yang hampir sama dengan Disney Magic Kingdom

Dari sini, pelawat boleh memilih untuk menaiki bas atau kereta kuda, berjalan kaki (hiking) mahupun berasikal. Kami menaiki bas untuk sampai ke atas. Memang gayat melihat betapa cerunnya bukit yang kami daki. Mujurlah itu jalan sehala. Kalau tidak tentu putus nafas melihat cerunan dan jalan yang berbelok-belok. Tetapi pemandangan sekitar memang menakjubkan. Dengan dikelilingi pokok-pokok pine dan dibawahnya kelihatan tasik, memang lokasi istana ini sempurna.


di hadapan pintu masuk

Dari perhentian bas, pelawat boleh mendaki ke Marienbrucker, jejantas khas untuk melihat istana ini. Memang cantik jika merakam gambar istana dari jejantas ini. Tetapi ketika itu saya sedang sarat mengandung, maka saya awal-awal telah mengangkat bendera putih. Hanya abang dan Hardy yang naik ke atas. Bila mereka turun barulah kami berjalan kaki meneruskan baki 10 minit perjalanan ke istana.


perjalanan berkuda melengkapkan pengalaman dunia fantasi

Akhirnya, istana yang menjadi tumpuan itu ada di depan mata. Ia memang sangat besar dan tidak hairan begitu ramai pelawat sudah menunggu di luar untuk menanti giliran masuk ke dalam. Hendak masuk ke sini terpaksa menunggu hingga nombor tiket dipaparkan di papan tanda di luar istana sudah membayangkan betapa ramainya orang di dalam istana itu. Tentu untuk berjalan di sekitar istana mengambil masa yang lama juga.

Setelah berfoto di sini sana, kami berjalan turun untuk mengambil kereta kuda pulang semula ke Hohenschwangau. Tersengih-sengih anak-anak dapat menaiki kereta kuda yang sudah lama mereka idamkan itu. Kami tidak boleh berlengah kerana harus mengejar keretapi jam 2.00 petang untuk kembali ke Munich. Petang itu kami harus berangkat ke Vienna pula. Bila diingatkan, masa kami di dalam kenderaan lebih lama dari masa kami berada di istana tetapi kami puas hati. Istana King Ludwing II ini memang berbaloi untuk dilawati. Ibarat berada di dunia fantasi!

26 October 2009

Jacaranda di bumi Pretoria


ibarat Jacaranda di bumi Pretoria
berguguran kelopak indah
belumpun puas dinikmati indahnya

akulah
ibarat Jacaranda di bumi Pretoria
putih salju
hatiku yang suci
seenaknya kau lukai
ungu penenang kalbu
hanya kau pandang
saat emosi menderitai jiwa
lalu kemudian kembali kau luka

apakah aku ini hanya ibarat Jacaranda di bumi Pretoria?
cantik dipuji
tetapi gugur tanpa sempat
aku nikmati sendiri
rasa bahagia itu

ya benarlah
aku ini ibarat Jacaranda di bumi Pretoria
hiasanmu
semata

Laila Kamilia, Berlin, 25 Oktober 2009
foto ehsan Wan Nurshima, Pretoria, Afrika Selatan

Selamat Datang Baby Darwish!

Tidak terlewat untuk saya mengucapkan selamat datang ke dunia kepada anak saudara terbaru saya Muhammad Rayyan Darwish bin Mohd. Hayazi yang lahir pada 14 September 2009 yang lalu. Saya menunggu kiriman gambar-gambar comel dari ayahnya. Inilah rupanya dia Darwish Mak Long dan Pak Long ye? Ke nak panggil Mak Chaq dan Pak Chaq? Haha. Di sebelah saya, anak-anak buah saya yang 3 orang itu memanggil saya Mak Long. Sebab suami saya pun anak sulung maka gelaran sulung itu akan dipanggil oleh anak-anak buah kami. Di Kedah, saya biasa dengar orang panggil Pak Chaq untuk gelaran bapa saudara sulung... kelakar pulak rasa bunyinya.

Baby Darwish ni merupakan anak saudara pertama kami berdua. Selama 7 tahun lebih saya menjadi satu-satunya menantu dalam keluarga abang maka hanya anak-anak kami menjadi cucu keluarga mertua saya. Jika mak saya ada 6 cucu (3 lelaki dan 3 perempuan), mak mertua saya hanya ada 4 cucu (3 anak-anak saya dan 1 dari Hayazi). Adik-beradik abang semuanya lelaki, jadi sejak 7 tahun lepas, sayalah satu-satunya anak perempuan mereka... Bila Zura menganggotai keluarga Haji Ramli tahun lepas, saya sudah tidak seorang lagi. Kini Hana menggantikan tempat saya menjadi satu-satunya cucu perempuan Haji Ramli. Kini mak mertua saya bolehlah merasa shopping baju anak perempuan setelah 34 tahun....


Alamak! Mak Chaq dah lari dari topikla Darwish. Dah curi fokus Darwish. Selamat datang Darwish. Nanti kita minta Pak Chaq bagi hadiah spesel kat Darwish ek... Ala... semacam je Mak Chaq...tukar Mak Long jela...ehehe

25 October 2009

Buku untuk kesihatan anak


Buku Complete baby and childcare oleh Dr. Miriam Stoppard ini memang bagus untuk dijadikan rujukan kepada para ibu. Ia mengandungi ilmu berkaitan kesihatan anak-anak yang lengkap, termasuk berkaitan penjagaan anak istimewa. Semasa Hana terkena jaundice dan batuk, saya membuat rujukan tentangnya di sini. Buku ini hadiah dari Dr. Yati semasa saya berkunjung ke rumahnya di London beberapa bulan lepas. Jika anda mahu mencari buku untuk menambah koleksi perpustakaan peribadi anda, buku ini memang berbaloi untuk dimiliki. Sedikit yang boleh dikongsi adalah tentang suhu badan bayi. Suhu normal adalah 36-37 darjah celcius, demam 38 darjah. Untuk mengurangkan suhu badan, buka baju anak dan lap seluruh badan dengan span/kain yang dibasahkan dengan air paip. Jika demam suhu setinggi 40, setelah mengelap badannya, masukkan ubat paracetamol di lubang punggung dan segeralah ke hospital.
ps-amalkan juga bacaan selawat syifak.

22 October 2009

365 Tage im Berlin I


Diam tak diam sudah 365 hari saya di Berlin. Masa terasa terlalu lewat berlalu saat rindu menggamit hati untuk pulang. Tetapi mengenangkan manuskrip yang berjalan lebih lembab dari siput, masa itu memang cepat benar beredar meninggalkan saya sejauh-jauhnya. Saya tidak mahu masa berputar meneroka silam kerana saya mahu menjadi golongan manusia yang harinya lebih baik dari hari semalam. Namun apakan daya sebagai manusia, saya merancang dan terusnya dibawa angan-angan, tugasan, leteren dan bebelan pada diri sendiri, berjalan-jalan, window shopping sana sini lalu saya tetap menjadi seorang Laila Kamilia yang masih tidak berjaya tiba di garisan penamat walau diri hanya jaraknya tidak sampai dari 5 meter ke destinasi akhirnya...Hmm...salahkan diri sendiri.

Namun sebagai Haslina Kamaluddin, saya tetap gagah berdiri sebagai seorang isteri, pegawai kerajaan yang mengambil cuti tanpa gaji, seorang ibu, seorang ustazah dan seorang guru kepada 3 anak yang lasak, seorang pelancong dan penulis blog yang tegar! (rujuk entri awal saya 30 hari di bumi Hitler). Saya merasakan hidup saya bahagia. Dapat melihat anak-anak membesar di depan mata. Tidak payah pening kepala memikirkan saat mereka sakit, hendak meminta cuti dari Guru Besar pagi-pagi buta. Kebahagiaan itu paling besar ertinya bila Hana Nurein Fadly datang menyerikan hari-hari indah saya di Berlin. Setiap kali memandang Hana, air mata saya bergenang. TUHAN begitu Pemurah kepada insannya yang serba kekurangan ini.

Bersempena 365 hari di Berlin pada 10 Oktober 2009 yang lalu, sekali lagi saya jawab soalan-soalan yang sama dengan entri 30 hari tu. Nak tengok adakah jawapannya sudah berbeza atau masih sama.

Apa yang berubah hidup saya di sini?
Saya belajar lebih berdikari dan cuba memperbaiki kekurangan diri. Saya sendirian di sini... semuanya harus saya lakukan sendiri. Harus lebih kuat dan tabah mengharungi kehidupan. Demam? Telan ubat, tidur sekadar patut dan bangun kembali dengan bateri baru. Di sini tiada emak atau ayah hendak membantu atau mengadu....

Apa perkara yang saya paling suka di sini?
Berjalan....

Apa perkara yang masih saya buat di sini yang tidak boleh tinggal?
Berdiri di depan tingkap, merenung pemandangan dan mula berangan.

Makanan?
Masakan sendiri...hahaha perasanla pulak dan apa-apa masakan Malaysia. Tapi itulah hakikatnya kerana makanan lain memang tidak serasi bersama tekak saya. Boleh makan sekadar melapik perut. Memang sudah lama tak makan di luar. Hobi baru saya sekarang ini mencuba masak kuih-muih Malaysia. Saya yang memang keras tangan bab kuih-muih ni sudah semakin rajin mencuba resepi minum petang.

Minuman?
Mmm... mungkin latte machiato (kopi tarik) tapi teh tarik tetap menjadi pujaan hatiku.

Paling bohsan?
Sekarang dah tak ada masa nak berebut komputer sebab komputer dah ada 3 (tapi keje masih tak siap juga). Paling bosan bila duduk dalam rumah tak keluar beberapa hari. Rasanya macam fius dalam kepala terputus.

Paling syiok....
Jalan-jalan... Memang betul jalan-jalan sebab kena berjalan kaki. Kutip seberapa banyak pengalaman yang boleh.

Paling rindu...(selain makanan)
Keluarga di kampung, masakan mak, rumah dan katil sendiri, kawan-kawan....

Dapat bertutur dalam bahasa Jerman?
Hahaha...malunya nak mengaku sampai sekarang saya masih tidak boleh bertutur di dalam bahasa Jerman. Ya, sudah setahun tetapi saya masih gagal dalam bab bahasa ni. Namun saya bolehlah faham sikit-sikit...memang sikit....sangat. haha

Kalau saya di Malaysia saat ini...
Masih dalam cuti bersalin. Duduk rumah rehat-rehat sambil melayan kawan-kawan yang rajin datang bersembang. Tengah pegang rotan sebab Hardy nak periksa. Juga sedang merancang percutian sempena cuti sekolah!

21 October 2009

Selamat menjadi tetamu Allah

Rombongan jemaah haji pertama Malaysia telah selamat berangkat ke tanah suci pagi tadi. Tahniah kepada mereka yang berjaya menjadi tetamu Allah untuk tahun ini. Khabarnya Abang Amir dan isterinya Kak Linda juga terpilih tahun ini. Semoga mendapat haji yang mabrur. Selamat pergi dan kembali. Doakan kami sekeluarga dapat ke sana secepat mungkin ya....

Sudah terkabul



"Kek lapis Sarawak!"Hardy menjerit. Masih ingat lagi dia dengan kek cantik dari Malaysia ni.
"Wah! Cantiknya kek ni!"kata Hakimy. Kagum kerana dia tak pernah tengok kek cantik macam ini.
Saya? Tersengih sampai ke telinga. Alhamdulillah. Hajat nak makan kek ni sejak mengandung lagi akhirnya terlaksana. Terima kasih kepada Kak Aed yang membungkuskannya untuk saya. Sehingga sekarang masih terasa-rasa kesedapan kek itu walaupun jangka hayatnya di depan mata sekejap saja.

19 October 2009

Buaian

Saya memang tak berapa gemar dengan buaian untuk anak kecil. Kenapa? Semasa saya kecil, sebagai anak yang paling sulung, pastinya saya kena membantu ibu menjaga adik-adik. Paling saya tidak suka tentulah mengenjut buaian adik. Penat betul tangan mengenjut buaian adik untuk menidurkannya. Kadang-kadang memakan masa berjam juga jika angin adik tidak berapa baik hari itu (rasanya Azham lagi susah hendak ditidurkan dari Hafis). Penat tangan mengenjut buaian berspring itu hinggakan kadang-kadang memang angin kerana dalam kepala hendak ikut kawan-kawan bermain tetapi kena pula membantu ibu mengenjut buaian. Sudahnya buaian itu dihenjut berkadar langsung dengan emosi marah... Mujurlah di bawah kepala adik diletak bantal. Jadi kalau saya henjut kuat, tak adalah terkena lantai.

Semasa Hardy merengek-rengek payah nak tidur, mak terus saja minta abah beli tali hendak buat buaian katanya. Tali rafia disangkut dengan spring buaian peninggalan adik bongsu saya (mak saya memang cermat menyimpan barang-barang lama). Bergoyang-goyang alang rumah menyangga berat Hardy dan diapun sedap tidur. Mak saya tersengih-sengih seronok kerana cucunya tidaklah menangis lagi. Sambil menidurkan Hardy mak mengasah bakat menyanyi...menidurkan cucunya dengan lagu turun-temurun kami kecil dahulu.

Tapi satu masalah besar timbul. Bila nak tidur aje, Hardy mesti nak buaian. Bila tak ada buaian Hardy susah nak tidur. Hardy dan buaian sentiasa berkadar langsung. Memang tak boleh dipisahkan. Bila dalam perjalanan jauh berkereta memang menyusahkan. Kalau kereta bergerak tidak mengapa. Tapi kalau kereta berhenti kerana lampu isyarat, terpaksalah mak dia ni menghenjut kereta supaya bergoyang...hahaha memang pengalaman melucukan. Mujurlah masa itu kereta kami hanya kereta kancil. Goyang sikit dah bergerak. Masa tu dah tak kisah orang kiri kanan asyik menoleh asalkan anak yang sedang dikendong berhenti menangis.
Kalau berjalan ke mana-mana memang kami akan bawa buaian sementelah buaian spring itu bukanlah berat sangat. Masuk dalam beg tak siapa perasan. Ia memang sudah menjadi keperluan kepada kami masa itu. Teringat semasa menginap di hotel disebabkan tiada alang maka kami menggantung buaian menggunakan alang di dalam almari....Kenangan itu memang melucukan tetapi ia mengingatkan kami berdua supaya selepas ini jangan cari pasal membiasakan anak kecil dengan buaian.

Bila Hakimy lahir, saat mak menyarankan saya memasukkannya ke dalam buaian, awal-awal lagi saya sudah angkat tangan untuk membangkang. Pengalaman dengan Hardy membuatkan saya mahu mengelakkannya berulang kembali. Lalu Hakimy hanya dikendong walau sekuat mana dia menangis. Alhamdulillah Hakimy tak memerlukan buaian untuk tidur sampailah ke besar. Letaklah di mana-mana dia akan terlelap lena.

Saat Hana lahir, saya memang tidak mahu meletakkan dia di dalam buaian. Tetapi si kecil Hana ini asyik mahu dipeluk (mungkin kerana lepas lahir terus diletak dalam dakapan ibu) maka dia mahu saya sentiasa ada memeluk dia. Masalahnya ibunya ini manusia biasa. Ada kala hendak ke tandas, ada masa hendak mengisi perut dan banyak kali terlelap tatkala menggendong dia.

Nak selesaikan masalah rasanya kami terpaksalah mengalah. Kenalah juga nampaknya dicarikan buaian. Nak beli buaian spring memang tak ada dijual di sini. Sementelah mana nak dicari alang pada rumah zaman perang ni. Nak dipos dari Malaysia? Gurau saya pada teman yang mencadang, lebih baik minta pos lemang dari buaian. Alhamdulillah terima kasih lagi kepada ebay. Inilah buaian Hana yang abahnya beli beberapa minggu lepas. Berjaya juga Hana 'berpisah' sebentar dari ibunya.

lena diulit mimpi...buaian automatik tak perlu dihenjut tangan lagi

ada muzik jadi maknya tak payahlah mengasah bakat menyanyi.... ada lampu kelip-kelip juga dan ianya boleh dilipat untuk dibawa ke mana-mana



tali pinggang keselamatan untuk mengelakkan Hana jatuh semasa mengeliat...haha

Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya orang-orang tua dulu boleh terfikir nak masukkan bayi ke dalam buaian untuk melenakannya? Sambil menulis, saya garu kepala.

17 October 2009

Sekitar Asian Women's Film Festival di Berlin


Asian Women's Film Festival yang bermula pada 15 Oktober lalu akan berlangsung selama 5 hari di Kino Arsenal, Postdamer Platz, Berlin dimulakan dengan tayangan pembukaan filem dari Malaysia, Talentime arahan Yasmin Ahmad. Filem ini dipilih sebagai filem pembukaan festival sebagai 'tribute' penganjur kepada Allahyarham Yasmin Ahmad yang telah kembali ke Rahmatulah bulan Julai yang lalu.

Abang sempat menghadiri tayangan pembukaan tersebut. Berikut adalah gambar-gambar sekitar majlis pembukaan festival filem tersebut di Kino Arsenal, Berlin.


Hadapan pintu masuk pawagam.

Jemputan yang memeriahkan majlis pembukaan.

Kino Arsenal hanya menayangkan filem-filem festival, education dan bukannya filem komersil seperti cinema biasa.


Suasana sebuah kino di Postdamer Platz.


Perasmian disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Jerman, Dato Zakaria Sulong.

14 October 2009

Kinderartz im Berlin

Saya pernah membuat entri berkenaan perubatan di Berlin. Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang klinik kanak-kanak pula.

Hana sedang menerima rawatan nebulizer

Santai! Gambar-gambar di bawah saya ambil semasa megunjungi klninik kanak-kanak di sini. Kalau masuk klinik memang tidak terasa seperti klinik tetapi seperti di tadika kanak-kanak. Tapi itulah realitinya. Jika ke klinik lain juga suasananya lebih kurang sama. Klinik di sini tidak seperti klinik di Malaysia. Yang ada cuma meja resepsi (petugasnya biasa seorang, dialah kerani, dialah yang mengambil darah etc, dia juga yang mengatur temujanji seterusnya). Pendek kata tenaga kerja memang tidak ramai kerana tugas memanggil pesakit biasanya dibuat oleh doktor. Doktor akan mengambil kad pesakit yang disediakan petugas dan datang menemui pesakit di ruang menunggu lalu disalam/dijemput masuk ke bilik rawatan.

meja doktor; lampu, kertas, buku, permainan, frame gambar dan gula-gula
di atas kereta tula doktor memeriksa pesakit kecilnya
Hakimy suka datang ke klinik sebab ada banyak sangat permainan dari di ruang menunggu sampailah ke dalam bilik rawatan

Di dalam klinik tiada kelihatan peralatan-peralatan seperti jarum suntikan, sampel ubat etc. Di meja/kabinet yang kelihatan buku-buku dan permainan. Di mana agaknya klinik-klinik ini menyorokkan peralatan itu? Saya fikir pasti di dalam almari kabinet agaknya kerana memang ia tidak kelihatan di mana-mana. Yang dibawa doktor hanyalah stetoskop yang mengesahkan itu adalah premis yang menawarkan rawatan perubatan.

Cerita Raya VI : Aidifitri di Berlin

Allah hu akbar! Allah hu akbar! Allah hu akbar! Syukur dipanjatkan kerana diberi peluang untuk merasai suasana pagi syawal 1430H. Sekalipun Syawal kali ini tanpa emak dan abah juga adik-adik dan rakan taulan, ia memberi kami pengalaman baru. Apa perasaan saya di pagi raya? Ya, memang sedih kerana tidak dapat bertemu muka dengan mereka-mereka yang saya sayangi. Terus-terang saya katakan, Aidilfitri kali ini saya menghadapi kesedihan, kesayuan dengan penafian. Saya menafikan telinga saya dari mendengar lagu-lagu raya. Saya menafikan tangan saya dari menulis kad raya (kecuali untuk ibubapa). Saya menafikan diri saya dari ingatan-ingatan terhadap kenangan indah di Aidilfitri. Apa keputusanannya? Ya, saya berjaya dari menitiskan airmata di pagi raya. Saat menelefon emak dan abah memohon kemaafan, saya berjaya mengawal perasaan sebak saya. Hurray! Saya berjaya!

syahdu Rizza mengalun takbir di pagi raya

Di perkampungan Wedding, Berlin, kami memulakan sambutan Aidilfitri setelah 30 hari genap berpuasa di Malaysian Hall, Wedding (rumah Mar dan Rizza) dengan berbuka puasa bersama-sama. Habis berbuka kami bertakbir meraikan kemenangan berpuasa sebulan dan memanjat kesyukuran kerana diberi peluang menyambut Aidilfitri sekali lagi.

Esoknya pagi-pagi kami beramai-ramai berpakaian tradisi menaiki kenderaan awam ke Kedutaan Malaysia untuk solat sunat Aidilfitri. Inilah pertama kalinya saya memakai baju kurung setelah hampir setahun di sini. Baju raya kami sekeluarga memang sudah dibeli awal-awal lagi tahun lepas. Mujurlah memang padan dengan tubuh badan anak-anak yang sudah membesar. Jadi sebenarnya bukanlah baju raya tahun ini. Baju raya dibeli tahun lepas tapi dipakai tahun ini....sebab tu tak pernah pakai sebelum ini. Sengaja disimpan untuk menyambut Aidilfitri.

siapa kata di Berlin tak ada ketupat, lemang dan rendang? segalanya ada dihidangkan

Usai solat sunat Aidilfitri, sementara menunggu rumah terbuka Aidilfitri di Rumah Malaysia, teman-teman sempat bersembang dan bermaaf-maafan sambil makan nasi lemak. Abang pulang ke rumah menjemput saya dan anak-anak yang tidak turut serta ke Kedutaan pagi itu untuk ke Rumah Malaysia (Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Jerman).

kuih muih yang dihidangkan memang lazat-lazat semuanya juadah Malaysia kecuali buah-buahan 'tempatan'

bersama kak Aminah dan Manami

dapat bertemu dengan warga Malaysia yang menetap di Jerman

di tangga Rumah Malaysia

Hakimy dengan teman ultramannya Aariz Amsyar

gambar kandid yang saya suka

Setelah bermaafan dan bersalaman dengan teman-teman, mengisi perut dengan hidangan hari raya yang umph, kami bergambar pula. Penat betul hari raya itu. Mujur si kecil neynyak tidur di dalam bakulnya. Semasa kami pulang tengahari itu, tetamu masih ramai mengunjungi Rumah Malaysia. Teman-teman ada yang meneruskan aktiviti berkunjung ke rumah terbuka raya anjuran rakyat Malaysia yang sudah bermastautin di Berlin tetapi kami terus pulang ke rumah kerana keletihan. Walaupun hari raya kami singkat tahun ini, tetapi ia meninggalkan kenangan manis untuk dikenang. Tambahan kerana kami merayakannya bersama seseorang yang begitu istimewa; Hana Nurein Fadly!

Asian Women's Film Festival di Berlin


Asian Women' Film Festival yang akan berlangsung dari 15 hingga 20 Oktober 2009 ini di Berlin akan memberi penghargaan kepada Allahyarham Yasmin Ahmad apabila filem arahan beliau Talentime akan ditayangkan sebagai tayangan pembukaan festival filem tersebut.

Opening Film: Thursday, 15th Oct. 09, 19.00 Cinema 1
Talentime - IN MEMORY of Yasmin Ahmad (1958 – 2009)
Malaysia 2009, 120 Min., Original with English Subtitles
As a tribute to the great Malaysian film director Yasmin Ahmad, who passed away this year on July 25, the festival will open with her last film Talentime. The setting of the film is a school competition where the complicated interplay between personal, religious and ethnic conflicts within the everyday multi-ethnic reality of Malaysia unfolds in a critical yet humorous way. Ahmad’s work has strongly influenced the themes and aesthetics of the new Malaysian cinema, and has introduced it to an international audience.

Untuk maklumat lanjut, layari http://www.asianwomensfilm.de

12 October 2009

Cerita Raya VI : Buka Puasa di Kedutaan

Kejadian ini berlaku sebelum rayala tapi entri ini sebagai kredit kepada Kedutaan Malaysia di Berlin yang sudi menjemput kami makan-makan. Selalu mereka membuat acara dan mereka tidak jemu menjemput kami yang sememangnya sentiasa rindu dengan masakan Malaysia. Orang Kedutaan ni isteri-isterinya memang terror memasak pelbagai juadah. Selalu masa beginilah kami dapat merasa makanan Malaysia yang betul-betul rasa Malaysia. Jangan tidak percaya, jamuan raya hari tu kuih goyang, semperit, siput dan maruku ada dihidangkan. Malu pula nak tunjuk kuih raya saya yang bulat-bulat atau petak kerana tidak ada acuan...haha!

yang pakai tudung ungu tu menyibuk nak berbuka juga

sayur lemak rebung...saya tak makanla dalam pantang, tapi kalau tak pantangpun saya memang tak makan rebung. ceruk mana la depa jumpa rebung buluh kat Berlin ni?

ayam masak merah nyum nyum

kami di Berlin memang berapa kerat aje

Terima kasih... dan jangan jemu menjemput kami!

11 October 2009

Cerita Raya V : Kuih Raya Saya

Macam mimpi dapat makan kuih raya tahun ni. Semuanya gara-gara teman saya Yeo yang rajin terlebih tahun ni. Nak buat kuih raya kerana nak dapat feel raya katanya. Disebabkan rumah saya ada oven besar maka rumah saya dijadikan destinasi membuat kuih raya.

Yeo sedang berposing di depan oven. mujurlah biskut tu menjadi. kalau tidak bergambar ajelah yang lebih

si dara Erna turut datang ambil feel raya. mujurlah biskut tu menjadi. kalau tidak bersembangnya ajelah yang lebih

tepung yang diuli erna. mujurlah menjadi biskutnya. kalau tidak memang ernala yang disalahkan

acuan tak ada. biskut kami bentuknya bulat atau empat segi aje. mujurlah menjadi biskutnya. kalau tidak memang sah kena kutuk cik-cik abangnya

Dah mana gambar saya? Hehe. Saya tukang amik gambar aje. Tolong sikit-sikit aje. Yang menjadi chefnya Yeo. Petang itu saya hanya jadi water girl aje. Tukang tampal ceri, sapu telur kuning atas biskut, gentel tepung etc....Rasa malu pulak nak mengaku kuih raya tu saya yang punya...Tak apalahkan janji dapat makan kuih raya. hehe. Apapun tahun depan, Yeo kenalah cari teman lain buat kuih raya sebab saya sudah pulang. Namun saya pasti setiap kali Aidilfitri menjelma, Yeo akan tetap mengingati si water girl ini...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...