27 October 2009

KEMBARA EROPAH: Neuschwanstein Castle, Bavaria, Jerman

Pengembaraan kami diteruskan dari Munich dengan menaiki keretapi menuju Hohenschwangau dan Fusen di Bavaria, Jerman untuk menyaksikan salah sebuah istana tercantik di dunia iaitu Neuschwanstein Castle. Letaknya di atas pergunungan, istana Neuschwanstein menjadi inspirasi kepada Walt Disney untuk mencipta Disney Magic Kingdom. Jika anda perhatikan, kubahnya memang hampir sama. Cuma yang berbeza, Disney Magic Kingdom berwarna-warni. Istana Neuschwanstein merupakan istana yang paling ramai dilawati dan difoto di Jerman dengan hampir 6000 pengunjung sehari pada waktu cuti musim panas.


Istana Neuschwanstein yang difoto dari Marienbrucker

Perjalanan dari Munich ke Fusen Haupbahnhof mengambil masa hampir 2 jam. Di Fusen kami harus menaiki bas ke Hohenschwangau pula. Kami kena berebut dengan ramai pelancong lain yang memang ramai hendak melihat istana itu. Mujurlah Hakimy menaiki stroller, jadi kami tak perlu beratur panjang di pintu bas depan. Kalau tidak kena pula menunggu bas lain di belakang.


Lagi Istana Neuschwanstein yang difoto dari Marienbrucker

Pemandangan di kiri dan kanan menghijau menenangkan mata yang memandang. Ya, laluan di situ memang menarik sementelah ia merupakan laluan Romantic Road di Jerman. Agak hampa kerana saya tidak dapat merakam gambar pemandangan kerana duduk di kerusi tengah di tempat duduk paling belakang dan terpaksa berhimpit dengan pelancong lain. Tidak berapa lama berada di dalam bas, kami sudah nampak istana itu dari jauh. Hati jadi teruja melihat kecantikan istana itu sementelah dari dalam keretapi semasa menghampiri Fussen tadi memang sudah nampak kelibat istana yang tersergam indah dari jauh lagi. Ibarat menju ke alam fantasi, hati tidak sabar melihat istana yang menjadi inspirasi Wat Disney ini. Namun disebabkan ketibaan kami merupakan waktu puncak (11.00 pagi), jalan menuju istana telah sesak dengan kenderaan. Saya menjenguk ke tingkap dan tersenyum sambil menggeleng. Patutlah sesak... kenderaan bersusun-susun, kata hati saya.


Maklumat tentang Mariebrucker

Bila turun saja dari bas, saya lihat orang berpusu-pusu menuju kaunter menjual tiket untuk ke istana. Memang panjang sungguh barisannya. Tidak sanggup untuk saya menunggu kerana kami punya masa yang terhad di sini. Di Hohenschwangau ini ada 2 istana yang boleh dilawati iaitu istana Hohenschwangau yang juga di atas bukit (di sebelah kanan) dan istana Neuschwanstein (di sebelah kiri). Jika ada masa yang panjang tentu saja boleh pergi melawat kedua-dua istana ini.


Pemandangan yang hampir sama dengan Disney Magic Kingdom

Dari sini, pelawat boleh memilih untuk menaiki bas atau kereta kuda, berjalan kaki (hiking) mahupun berasikal. Kami menaiki bas untuk sampai ke atas. Memang gayat melihat betapa cerunnya bukit yang kami daki. Mujurlah itu jalan sehala. Kalau tidak tentu putus nafas melihat cerunan dan jalan yang berbelok-belok. Tetapi pemandangan sekitar memang menakjubkan. Dengan dikelilingi pokok-pokok pine dan dibawahnya kelihatan tasik, memang lokasi istana ini sempurna.


di hadapan pintu masuk

Dari perhentian bas, pelawat boleh mendaki ke Marienbrucker, jejantas khas untuk melihat istana ini. Memang cantik jika merakam gambar istana dari jejantas ini. Tetapi ketika itu saya sedang sarat mengandung, maka saya awal-awal telah mengangkat bendera putih. Hanya abang dan Hardy yang naik ke atas. Bila mereka turun barulah kami berjalan kaki meneruskan baki 10 minit perjalanan ke istana.


perjalanan berkuda melengkapkan pengalaman dunia fantasi

Akhirnya, istana yang menjadi tumpuan itu ada di depan mata. Ia memang sangat besar dan tidak hairan begitu ramai pelawat sudah menunggu di luar untuk menanti giliran masuk ke dalam. Hendak masuk ke sini terpaksa menunggu hingga nombor tiket dipaparkan di papan tanda di luar istana sudah membayangkan betapa ramainya orang di dalam istana itu. Tentu untuk berjalan di sekitar istana mengambil masa yang lama juga.

Setelah berfoto di sini sana, kami berjalan turun untuk mengambil kereta kuda pulang semula ke Hohenschwangau. Tersengih-sengih anak-anak dapat menaiki kereta kuda yang sudah lama mereka idamkan itu. Kami tidak boleh berlengah kerana harus mengejar keretapi jam 2.00 petang untuk kembali ke Munich. Petang itu kami harus berangkat ke Vienna pula. Bila diingatkan, masa kami di dalam kenderaan lebih lama dari masa kami berada di istana tetapi kami puas hati. Istana King Ludwing II ini memang berbaloi untuk dilawati. Ibarat berada di dunia fantasi!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...