30 December 2009

Bukan Hannah Montana tapi Hana Montella

pertama kali di dalam salji...rilek langsung tak meragam

Sudah 4 bulan rasa macam sekejap saja...Tapi Hana saya semakin membulat dan menembam. Tiada tanda-tanda hendak meniarap tapi tanda-tanda hendak makan tu adala... Hehe.



gambar Hana Montella yang sempat dirakam sepanjang usia 3-4 bulan


Seperti biasa, dia masih tidak boleh berenggang dari mamanya. Waktu tidurnya juga kadang-kadang membuatkan saya pening kepala. Pernah dia hanya tidur jam 9.00pagi. Jadi si anak semakin montel dan si ibu semakin melidi.... Saya sedang memikir cara untuk Hana dapat minum susu dari botol sebagai persediaan untuk pulang ke Malaysia. Bila pandang...kesian pula hendak ditinggal kerja nanti. Bolehkah Hana ni dijaga orang kalau sebelum ini dia hanya kenal mama, abah, Abang Long dan Abang Ngahnya? Haha! Hakimy kata, "Siapa kacau Hana, Kimy puk dia...."Haha!

27 December 2009

Jordan Thomas CNN Heroes 2009

Tengok bagaimana bersungguh-sungguhnya cikgu pendidikan khas nak bagi anak murid dia menang bersukan. Siap pegang tangan bagi air masuk dalam botol. Cikgu yang seorang lagi pegangkan botol dan siap bagi motivasi supaya anak muridnya penuhkan botol air tu. Bila hari sukan, cikgu pun sama penat sebab kena berlari bersama murid. Pandangan ini tak akan dilihat pada murid biasa...kerana itu mereka dipanggil murid istimewa.

Semalam hati saya terusik. Ya, saya sudah lama tidak memandang anak-anak istimewa dan membelai mereka. Sudah lama saya tidak bertentang mata dan berkongsi cerita dengan mereka. Mendengar kisah-kisah indah mereka semalam atau sekadar berkongsi cerita di alam fantasi mereka. semakin dekat detik terakhir cuti saya, saya semakin merindukan anak-anak murid saya...

Mungkin benar saya terlalu sensitif lalu kerana sensitif itu, saya terjun ke bidang pendidikan khas? Saya tidak tahu apa perasaan anda tatkala memandang anak-anak kurang upaya ini. Saya tidak tahu apa perasaan anda tatkala anda dapat menyentuh tangan, bertentang mata dan berkongsi cerita sedih mereka. Cuma yang saya tahu, saat tangan saya menyentuh tangan, bertentang mata dan mengusap rambut mereka....saya hanya mahu yang terbaik untuk mereka...

Oh Tuhan! Semalam air mata saya menitik bila melihat video CNN Heroes yang mengangkat hero sebenar seluruh dunia dengan cerita ketabahan dan kekentalan hati mereka menempuh dugaan hidup. Bagaimana mereka mengubah persepsi kehidupan yang seolah-olah telah berakhir kepada satu kehidupan baru yang lebih bermakna, malah kemudiannya berjaya membantu orang lain menggapai dimensi baru kehidupan.


Sekilas bayang Jordan Thomas yang menggunakaan kaki prostetik kerana kemalangan semasa memancing...saya terbayangkan wajah seorang anak murid saya yang bertongkat dua ke sekolah. Kakinya lemah dan dia harus menjalani fisioterapi. Tapi itu tidak menghalangnya datang ke sekolah setiap hari. Walau kadang-kadang dia jatuh, dia akan berusaha bangun semula dan terus melangkah. Ya, saya harus belajar banyak dari anak-anak syurga yang kuat semangat ini untuk meneruskan kehidupan. Jika mereka yang serba kekurangan tahu apa nilai ketabahan, apatah saya yang sihat walafiat ini.

Jordan Thomas mewujudkan dana untuk anak-anak yang kehilangan kaki akibat trauma. Sehingga kini sudah hampir USD400,000 dikumpulkan bagi tujuan ini. Jordan Thomas bukanlah seorang muslim. Ya,rasanya semua calon CNN Heroes bukan muslim. Seperti kata teman saya Mardhiyah semasa kami berdiskusi tentang betapa baik dan profesionalnya jururawat di sini melayan pesakit yang memang berbeza dengan layanan di Hospital Kerajaan di Malaysia (walaupun tidak semua yang tidak profesional. Adik ipar saya seorang jururawat yang baik dan manis...hehehe), "Jika mereka Muslim tak tahulah berapa besarnya pahala mereka." Lalu hati saya tertanya, tak adakah orang muslim yang memang dermawan seperti calon-calon CNN Heroes?

Adakah orang muslim tiada menakjubkan dalam memberi amal hingga tiada yang boleh dicalonkan dalam CNN Heroes atau sebenarnya CNN tidak mahu mencalonkan orang muslim? Daripada saya mencari-cari kesalahan orang, lebih baik saya nilai diri saya terlebih dahulu.....
ps-kepada teman-teman yang akan habis cuti....selamat kembali mengajar...

22 December 2009

2010 Tahun Baru Wajah Baru...

Bagi yang selalu berkunjung ke rumah maya Laila, pasti akan berasa pelik dengan wajah baru rumah saya. Ya! Tahun baru dengan wajah baru..tapi belum siap lagi ni dan masih dalam proses ubahsuai...Jangan batuk-batuk ye kalau masuk ke rumah yang sedang diubahsuai ni...

21 December 2009

Koleksi Kenangan Abadi

Baru-baru ini, semasa terfikir hendak mengabadikan gambar-gambar sendiri untuk kenangan, saya telah terjumpa dengan penjual yang boleh merealisasikan apa yang ada dalam kepala saya ni. Saya belum lagi berjumpa dengan penjual dari Malaysia yang boleh membuat barang personalised seperti yang saya inginkan. Yang saya pernah jumpa personalised kalendar atau poskad, penanda buku, pen dan Tshirt. Itupun jika mahu, saya harus menempah dalam kuantiti yang banyak. Kalau hendak tempah hanya satu barang, harganya sangat mahal dan tidak berbaloi.
Tapi penjual yang saya jumpa ini boleh membuat personalised jam yang saya mahu walaupun hanya satu dengan harga yang berpatutan, sesuailah bajet saya. Lalu tanpa membuang masa, inilah hasilnya. Sebuah jam dinding yang saya hendak letak di dalam bilik Hana dan seutas jam tangan gambar hari raya kami sekeluarga.
Gambar di dalam jam dinding itu gambar Hana baru beberapa minit dilahirkan. Di dalamnya saya letak nama dan masa serta tempat dia lahir. Saya rasa bila Hana besar nanti tentu dia suka tengok gambarnya sendiri. Harga jam ini hanya RM60.00 termasuk kos penghantaran. Kalau dalam Euro hanya Euro12.00 sahaja, tidaklah terasa mahal sangat. Kalau dalam RM pun rasanya bukanlah mahal sangat berbanding dengan dapat mengabadikan detik bersejarah dalam hidup. Bak kata iklan MasterCard, PRICELESS.

Satu lagi yang saya tempah ialah jam tangan Italian Charm stainless steel menggunakan Japanese Movement. Yang ini murah saja... hanya RM35.00 (Euro7.00) termasuk penghantaran. Yang bagusnya, harga barang yang saya nyatakan tadi termasuk harga kos handling and shipping ke seluruh dunia.
Ini koleksi peribadi saya, tapi kalau ada siapa-siapa yang nak tempah, saya boleh tolong tempahkan. Emel saya di lailakamilia@yahoo.com .

Cantikkan jam saya? Saya sudah terfikir hendak menempah jam menggunakan design cover novel terbaru saya nanti untuk pembaca bertuah novel terbaru saya yang belum siap-siap lagi ni! Haha!

15 December 2009

Berhati-hati Terima Emel

Pertamanya saya memohon maaf kepada semua teman-teman yang berada dalam senarai emel saya. Sudah dua kali emel saya digodam oleh spam/virus yang sama. Habis semua alamat emel yang ada dalam simpanan saya dihantar oleh spam/virus ini. Saya memang malu juga kerana mungkin ada yang menganggap saya menghantar emel untuk mengajak mereka berbisnes. Seperti mereka, saya juga 'panas' kalau mendapat emel dari sesiapapun untuk mengajak berniaga. Bagi saya undangan berniaga ini biarlah kalau hati kita memang hendak terlibat. Jika kita tak hendak mengapa mahu dipaksakan?
Jadi jika ada anda terbaca di sini, saya dengan rendah diri memohon maaf atas kesulitan yang disebabkan oleh spam/virus itu. Mungkin anda percaya ia datang dari saya lalu klik dan tetiba emel andapun sama dijangkiti virus.
Akibatnya kedua yang membuatkan saya memang sakit hati, habis semua alamat emel saya hilang. Jadi, salah satu sebab saya tidak menghantar emel kepada kawan-kawan kebelakangan ini (selain sibuk yang bukan-bukan) adalah kerana saya tiada emel anda. Jadi, jika rajin, hantarlah emel kepada saya, sekadar untuk hai! supaya saya boleh menyimpan kembali alamat emel anda.
Selain dari hal saya ini, yang rasanya tidaklah berapa ganas jika nak dibandingkan dengan emel seorang yang saya kenali ini. Kebetulan abang menerima emel dari beliau yang mengatakan dia kehilangan dompet kerana kecurian dan meminta dimasukkan jumlah duit dalam pound kerana berada di UK menghadiri seminar. Jadi disebabkan kehilangan itu, beliau tidak boleh membayar bil hotel etc. Memang orang yang menghantar spam ini terror kerana dia boleh memperdaya penerima yang mungkin percaya emel itu datangnya dari kawan kita. Tapi yang membuatkan rang yang buat spam ini kurang cerdik ialah dia tidak tahu bahawa jika pegawai kerajaan menghadiri seminar atas tugas rasmi, semua bil hotel etc dibayar oleh kerajaan melalui Local Order atau LO. Jika benar, dia harus membayar sendiri atas sebab tertentu, pastinya dia tidak menghantar emel kepada kita meminta tolong dibayarkan bil-bilnya.
Satu lagi yang merbahaya adalah meminta kita menanda di pautan link untuk ke bank kita dengan mengatakan ada masalah dengan akaun bank kita. Bank tidak akan meminta kita klik link tetapi kita harus log in di web itu terus. Hati-hatilah. Pesanan ini untuk diri saya dan anda di sana. Orang menipu memang ada di mana-mana.
Seperkara yang saya belajar dari spam/virus yang menyerang emel saya ini. Saya tahu apa tanggapan teman-teman kepada saya! Sesungguhnya saya bangga punya teman-teman seperti anda!

11 December 2009

Maafkan aku....

Katamu "Has, aku sakit..."
Kataku " Aku tahu...."

tatkala dikhabarkan
alamku terasa bergoncang
tabir mataku kelam
yang kunampak hanyalah
manusia bersama bayang

maafkan
kerana menjadi orang terakhir yang mendapat khabar
maafkan
kerana tiada di sisi saat kau memerlukan
maafkan
kerana hanya mampu menitipkan doa

terlalu lama rasanya kita tidak bergurau senda
apatah berbicara empat mata
kau dengan kesibukan hingga lupa malam siang
dan aku
kesibukan yang bukan-bukan
terlalu lama rasanya tidak mendengar suara
hingga lewat mesin panggilan
suaraku sudah kau terlupakan

maafkan aku
kejauhan membuatkan aku terbatas
walau bukan menjadi alasan
untuk kita menjalin kemesraan

maafkan aku
maafkan aku
maafkan aku
kukira saat ini
jika aku berada di sana
kugenggam jemarimu
bersama kita harunginya
berdua...

Lailakamilia
Berlin
10 Disember 2009
Teman...
Moga Allah tidak mengujimu lebih dari kemampuanmu...

10 December 2009

Apakah Ada Beda

Semalam

pendengaranku terasa aneh

apakah tersalah dengar

atau memang tiba-tiba pendengaranku jadi salah



Kau nyatakan abang

Apakah ada beda

jika apa yang kau nyatakan hari ini

itu benar



Adakah ada beda

jika apa yang kau nyatakan hari ini

bisa merubah apa-apa

kenyataan hari ini



Sebetulnya

seharusnya kau nyatakan

berbelas tahun lepas


kau harus tega

atau seharusnya kau diamkan saja

sepertinya aku tidak pernah tahu

apa-apa



lailakamilia

berlin

8 Disember 2009

05 December 2009

KEMBARA EROPAH: Bratislava, Slovakia






Bratislava, Slovakia! Rasanya entri ini sudah lama tersimpan di dalam draft list post saya. Kesibukan saya pada beberapa perkara membuatkan saya tidak sempat untuk menulis catatan kembara saya ini. Namun semalam semasa menonton siaran langsung undian Piala Dunia Afrika Selatan 2010, semasa undian untuk Slovakia, saya berazam untuk menulis entri ini hari ini di celah-celah kesibukan saya.
Tidak banyak tentang negara ini yang diketahui di internet. Mungkin kerana ia masih mengamalkan konsep negara tertutup (negara bekas komunis). Ia sebuah negara yang masih baru kerana hanya mendapat kemerdekaan dari Czechoslovakia pada 1 Januari 1993. Jadi pada pandangan saya, berbanding dengan negara EU yang lain, Slovakia masih 'sedang membangun'. Walaupun pelancong boleh menggunakan transaksi matawang Euro, matawang Slovakia (Slovenska Koruna) masih juga digunakan.
Slovakia merupakan negara yang tiada sempadan air di mana sekelilingnya di kelilingi negara-negara jiran. Vienna dan Bratislava memang tidak jauh. Jika menaiki bas, perjalanannya hanya kira-kira satu setengah jam. Mungkin kerana itu, Ryan Air menawarkan penerbangan ke lapangan terbang Bratislava bagi mereka yang hendak ke Vienna.
Semasa kami tiba, setelah menyimpan bagasi di stesen keretapi (masih menggunakan kaedah lama iaitu penjaga bagasi berbanding mesin), kami tidak tahu hendak ke mana! Memang kami sesat! Patutlah semasa hendak ke sini semasa menggoogle map untuk subway tidak ada di dalam internet. Rupanya Bratislava tidak ada subway. Hanya ada bus tram. Jadi tengahari itu jalan raya memang agak sesak, terpaksalah bersabar.
Kami mencari info destinasi perlancongan tetapi tidak ada. Sementelah bahasa Slovakia ini lebih mirip Czech dan Hungary. Susahlah kami nak main teka-teka jika macam Deutsche. Mujurlah kerana Pah Bedah saya ni digunakan pada masa dan situasi yang betul. Berkonsepkan malu bertanya sesat jalan, maka saya pun mengambil peluang bertanya kepada seorang orang tempatan yang bekerja di syarikat pelancongan rasanya (kerana dia ada banyak map Bratislava), dapatlah kami berjalan-jalan di sekitar Bratislava hari itu. Kami ke Istana Bratislava juga jalan-jalan di sekitar Old Town dengan menaiki Tram. Jam 7.00 malam, kami harus kembali ke stesen keretapi untuk meneruskan perjalanan ke Budapest, Hungary. Semasa menunggu keretapi malam itu baru perasan ada kaunter perkhidmatan pelancongan di situ!

02 December 2009

Kegilaan Facebook


Facebook telah mengumumkan bahawa jumlah penggunanya telah mencecah 350 JUTA! Satu angka yang sangat tinggi untuk laman web yang baru sahaja berumur 5 tahun sejak diasaskan oleh pengasasnya Mark Zuckerberg (Zuckerberg adalah nama dalam Deutsch bermaksud "Gunung bergula") pada 4 Februari 2004.

Zuckerberg mencipta laman web Facebook ketika beliau belajar di Harvard University untuk rakan2 di universitinya berhubung. Ketika itu web itu cuma terhad untuk pelajar Harvard University sahaja, namun populariti laman web tersebut telah berkembang ke kolej dan universiti lain sekitar US dan akhirnya merebak ke seluruh dunia.


Antara Fakta Menarik Facebook

Nama asal web tersebut ialah Facesmash

September 2008 Business Weeks mentaksirkan Facebook bernilai antara USD3.5 billion ke USD5 billion!

Yahoo!, Google dan Microsoft pernah berusaha untuk membeli Facebook secara tetapi tidak dijual oleh pengasasnya.

Seorang jutawan tidak dikenali pernah menawarkn USD750 juta untuk memiliki Facebook tetapi ditolak.

Facebook diblok di beberapa negara seperti Syria, Iran dan Vietnam.

Domain Facebook dibeli dengan harga USD200,000

Setiap hari purata 24 juta gambar diupload ke Facebook


Saya mengenali Facebook sejak setahun yang lalu. Itupun setelah berada di bumi Berlin ini dan diperkenalkan oleh abang yang awal lagi telah mengenali facebook ketika di Malaysia, namun hanya aktif berfacebook setelah sampai di sini. Kesibukan kerja di Malaysia menghalang kami untuk berfacebook. Namun, chain of networking dalam facebook semakin bertambah dari hari ke hari. Ada nama yang saya tak kenal juga meminta untuk di add, saya add kerana mungkin pembaca novel saya. Ada juga yang saja2 nak add tetapi tidak baca novel dan langsung saya tidak kenal. Ada seorang kawan saya di sini ter add seseorang yang meminati kaum sejenis... pening kepala dia dibuatnya...;)

Penangan facebook memang sukar dibuang. Hari2 tanpa membuka laman web tersebut seakan hari tanpa televisyen agaknya. Namun kalau diambil yang positifnya juga banyak. Dengan facebook saya dapat berhubung semula dengan kawan sekolah rendah saya yang tidak pernah saya ketemu sejak tamat sekolah rendah dahulu. Dengan facebook juga saya dapat dengar keluhan isihati rakan-rakan, dapat reunion dan lain-lain manfaatnya.

Kalau kita pandai memanfaatkan facebook, Insyallah bermanfaatlah ia untuk diri kita. Cuma, jangan terlalu taksub dengan aplikasi yang kadang-kadang banyak membuang masa kita. Carilah yang positif dalam laman web tersebut untuk kehidupan kita di masa kini dan bekalan akan datang.

Selamat berFacebook.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...