27 December 2009

Jordan Thomas CNN Heroes 2009

Tengok bagaimana bersungguh-sungguhnya cikgu pendidikan khas nak bagi anak murid dia menang bersukan. Siap pegang tangan bagi air masuk dalam botol. Cikgu yang seorang lagi pegangkan botol dan siap bagi motivasi supaya anak muridnya penuhkan botol air tu. Bila hari sukan, cikgu pun sama penat sebab kena berlari bersama murid. Pandangan ini tak akan dilihat pada murid biasa...kerana itu mereka dipanggil murid istimewa.

Semalam hati saya terusik. Ya, saya sudah lama tidak memandang anak-anak istimewa dan membelai mereka. Sudah lama saya tidak bertentang mata dan berkongsi cerita dengan mereka. Mendengar kisah-kisah indah mereka semalam atau sekadar berkongsi cerita di alam fantasi mereka. semakin dekat detik terakhir cuti saya, saya semakin merindukan anak-anak murid saya...

Mungkin benar saya terlalu sensitif lalu kerana sensitif itu, saya terjun ke bidang pendidikan khas? Saya tidak tahu apa perasaan anda tatkala memandang anak-anak kurang upaya ini. Saya tidak tahu apa perasaan anda tatkala anda dapat menyentuh tangan, bertentang mata dan berkongsi cerita sedih mereka. Cuma yang saya tahu, saat tangan saya menyentuh tangan, bertentang mata dan mengusap rambut mereka....saya hanya mahu yang terbaik untuk mereka...

Oh Tuhan! Semalam air mata saya menitik bila melihat video CNN Heroes yang mengangkat hero sebenar seluruh dunia dengan cerita ketabahan dan kekentalan hati mereka menempuh dugaan hidup. Bagaimana mereka mengubah persepsi kehidupan yang seolah-olah telah berakhir kepada satu kehidupan baru yang lebih bermakna, malah kemudiannya berjaya membantu orang lain menggapai dimensi baru kehidupan.


Sekilas bayang Jordan Thomas yang menggunakaan kaki prostetik kerana kemalangan semasa memancing...saya terbayangkan wajah seorang anak murid saya yang bertongkat dua ke sekolah. Kakinya lemah dan dia harus menjalani fisioterapi. Tapi itu tidak menghalangnya datang ke sekolah setiap hari. Walau kadang-kadang dia jatuh, dia akan berusaha bangun semula dan terus melangkah. Ya, saya harus belajar banyak dari anak-anak syurga yang kuat semangat ini untuk meneruskan kehidupan. Jika mereka yang serba kekurangan tahu apa nilai ketabahan, apatah saya yang sihat walafiat ini.

Jordan Thomas mewujudkan dana untuk anak-anak yang kehilangan kaki akibat trauma. Sehingga kini sudah hampir USD400,000 dikumpulkan bagi tujuan ini. Jordan Thomas bukanlah seorang muslim. Ya,rasanya semua calon CNN Heroes bukan muslim. Seperti kata teman saya Mardhiyah semasa kami berdiskusi tentang betapa baik dan profesionalnya jururawat di sini melayan pesakit yang memang berbeza dengan layanan di Hospital Kerajaan di Malaysia (walaupun tidak semua yang tidak profesional. Adik ipar saya seorang jururawat yang baik dan manis...hehehe), "Jika mereka Muslim tak tahulah berapa besarnya pahala mereka." Lalu hati saya tertanya, tak adakah orang muslim yang memang dermawan seperti calon-calon CNN Heroes?

Adakah orang muslim tiada menakjubkan dalam memberi amal hingga tiada yang boleh dicalonkan dalam CNN Heroes atau sebenarnya CNN tidak mahu mencalonkan orang muslim? Daripada saya mencari-cari kesalahan orang, lebih baik saya nilai diri saya terlebih dahulu.....
ps-kepada teman-teman yang akan habis cuti....selamat kembali mengajar...

4 comments:

Baitul SMR said...

tersentuh dengan entri ini... semakin memandang tinggi pada profession pendidikan. Anak murid yang istimewa pasti diasuh oleh guru2 istimewa berhati mulia.

laila kamilia said...

InsyaAllah...sentiasa ingatkan diri jangan lupa niat memasuki profesion ini...harap ibubapa juga memahami guru sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak muridnya...

Keluduk said...

Dekat sekolah saya pun macam tu, seorang guru perempuan berbangsa cina, ya Rabbi... baik, bersopan santun,boleh dikatakan tiada seorang guru pun yang berkecil hati dengannya. Bak kata orang kita, kalau dia masuk Islam, gerenti masuk syurgalah. Kenapa bangsa kita tidak boleh jadi sepertinya...

laila kamilia said...

keluduk...agaknya orang kita suka sangat bercakap dan saling dengki. kan lebih baik diam dari berkata yang menyakitkan...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...