28 May 2010

Hana sudah pulang ke rumah

Alhamdulillah, setelah berkampung selama 10 hari di HKL, Hana sudah dibenarkan pulang. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesejhteraan permata hati saya ini. Inilah wajah terbaru Hana yang akan berusia 9 bulan pada hari esok. Sudah ada gigi sebatang dan belajar merangkak sekarang. Tapi nak dara saya ini, saya sorokkan kat rumah kecuali  nak bawa dia jalan-jalan (kasihan pada Hana yang hobinya bersiar-siar ni...hehe). Kepada yang nak jumpa Hana, jemputlah ke rumah!

09 May 2010

Hana: Ketika di ICU dan Hari Ini

Dua situasi berbeza.



Gambar di atas dirakamkan ketika Hana ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur pada minggu lalu. Ketika itu, Hana tidak sedar kerana diberi ubat pelali dan dia bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan. Umurnya baru 8 bulan tetapi terpaksa menanggung kesakitan sebegini rupa. Di badannya terdapat tiub-tiub yang untuk ubat, antibiotik, NaCl, susu, oksigen dan tiub untuk ujian darah. Berselirat wayar dan kabel bagi mengesan pernafasannya dan nadinya, jumlah oksigen dan pelbagai lagi yang saya sendiri tidak mengerti. 


Hari ini.  Hana masih di Institut Pediatrik tetapi di Wad kanak-kanak. Beratnya sudah mengurang setengah kilo dalam masa 2 minggu di hospital. Lihatlah wajah cerianya yang amat saya rindui. Ini Hana yang amat saya sayangi dengan hela nafas saya sendiri. Akan saya tatang anak comel ini sehingga akhir hayat saya. Semoga Allah pelihara dan memberi kesihatan kepada dirinya mulai hari ini dan untuk masa-masa akan datang.

04 May 2010

Terkini dari Laila : Doakan kesejahteraan Hana Nurein saya...

Pejam celik rupanya sudah sebulan saya kembali ke tanahair tercinta! Ya! Kepada yang belum tahu, saya dengan rasminya mengumumkan kepulangan saya ke Malaysia. Saya tahu! Ramai yang marah-marah sayang pada saya kerana tidak memaklumkan tentang kepulangan saya tetapi saya lakukannnya kerana saya sayangkan anda semua. Saya pulang pada 30 Mac 2010 yang lalu bersamaan hari Selasa di waktu Subuh yang hening. Saya tahu, jika saya beritahu, ramai yang terpaksa mengambil cuti pada hari itu atau kurang-kurangnya meminta izin masuk lewat ke pejabat untuk menunggu saya di KLIA kerana saya tahu, anda sayangkan saya....Hehehehe...perasan! Jadi untuk membuktikan yang saya lebih sayang anda,  saya tidak mahu menyusahkan anda dan terimalah kezutan saya di depan pintu rumah atau panggilan telefon/SMS fraud. Maaflah semuanya saya lakukan kerana saya sayangkan anda! Hehehehe.....ps-tak boleh lupa reaksi kalian masa tu!

Perkataan pertama! Laila....kenapa kurus!....Jadi kalian ada banyak sebab untuk bagi saya kembali ke bentuk asal...hahhaa bila kita jumpa nanti. Sediakan aje duitnya ya!

Laman web berabuk.....FB pun berabuk....semua berabuk! Komen kedua! Ya, saya sedang berusaha membuang semua habuk, tak kiralah di mana-mana, tapi belumpun sempat saya mencuci habuk-habuk itu sebersih-bersihnya dan kembali ke rencana hidup yang asal seperti yang saya tinggalkan kira-kira 2 tahun lepas, permata hati saya, my precious, little Hana Nurein di masukkan ke wad gara-gara batuk dan demam.

Petang Selasa 27 April, Hana saya bawa ke klinik kesihatan Batu 14, Hulu Langat kerana saya lihat tubuhnya yang sudah tidak bermaya. Doktor di situ menyarankan saya membawa Hana ke Hospital Serdang untuk diberi nebulizer untuk asmanya. Saya sangat bimbang hendak bawa Hana ke klinik/hospital kerana virus H1N1 itu tetapi keadaan telah memaksa. Saya berharap Hana saya dapat dirawat segera. 

Malam selepas menguruskan Hardy dan Hakimy, saya dan abang ke Hospital Serdang. Saya sudah siap membawa pakaian kerana naluri saya keras mengatakan yang kami akan bermalam di wad malam itu. Tetapi setelah diXray, doktor kata Hana kena pneumonia dan dimasukkan ke Hospital Serdang. Namun setelah 2 hari di situ, batuk Hana semakin teruk dan pada tengahari Jumaat itu, Hana dibawa oleh ambulans ke ICU, Institut Paediatrik, Hospital Kuala Lumpur kerana sesak nafas, paras oksigennya turun mendadak. Ketika itu saya berdoa semoga Allah tidak mengambil semula hadiahnya yang paling berharga kepada saya. Saya hantar SMS kepada semua, minta mendoakan untuk Hana saya. Terima kasih saya ucapkan untuk kata-kata azimat dan semangat, juga doa buat berkat. Saya dan keluarga sangat menghargainya.

Di HKL, Hana disahkan terkena jangkitan influenza A. Alhamdulillah bukan H1N1 tetapi simptomnya lebih kurang sama dan antibiotik yang sama digunakan untuk merawatnya. Hari ini hari ke 4 Hana di HKL, dan dia memerlukan 6 hari lagi untuk melengkapkan rawatannya. Kepada teman-teman yang mahu melawat, saya tidak galakkan kerana untuk kebaikan Hana juga anda. Doa dan ingatan anda sangat bermakna kepada saya dan keluarga. InsyaAllah, bila Hana sihat nanti, kita pasti ada banyak masa untuk bersama-sama lagi.

Pesanan saya kepada anda yang punya anak-anak kecil, ibu mengandung dan mereka yang berisiko tinggi, jauhkan dari mengunjungi kawasan yang ramai orang seperti shopping mall, tempat mandi awam,  hospital/klinik demi kepentingan anda sendiri. Virus ini mudah menjangkit dan tersebar. Jagalah diri anda dan keluarga. Saya doakan semoga kita semua berada dalam perlindunganNya dan tidak terkena dengan jangkitan virus yang sangat merbahaya ini. Jika boleh, dapatkan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan kerana buat masa ini, ia adalah pertahanan terbaik. Mencegah lebih baik dari merawat! Jika sudah terkena, sukar hendak diubati. Percayalah, ada yang anak-anak di sini yang terpaksa tinggal di hospital hingga 6 minggu demi melengkapkan rawatan gara-gara serangan virus merbahaya ini.

Bagi yang merindui Hana saya, inilah gambar terbarunya! Doakan Hana cepat sembuh ya! Terima kasih. 

@ Hospital Serdang; masih boleh gelak-gelak tetapiyang tak disangka itu serangan tiba-tiba itu tak sampai 5 minit! dan Hana saya terus dipengsankan.
@ Institut Paediatrik HKL, hari pertama setelah keluar dari ICU. Wayarpun masih berselirat di sini sana.

01 May 2010

Selamat Ulangtahun ke 10!

gambar yang dirakam pada 19 November 2010

Diam tak diam, kami menyambut ulangtahun yang ke sepuluh pada 1.5.10 yang lalu. Kejap saja masa berlalu dan tarikh ulangtahun tu pun dah basi...hahhaa tapi inilah baru berkesempatan memuatnaik gambar. Masa ulangtahun ke 10 tu, kami berdua sedang diuji Tuhan. Ketika itu Hana sedang berada di dalam ICU di HKL. Jadi ulangtahun ke 10 kami raikan di celah-celah kesedihan. Disebabkan 1 Mei merupakan cuti wajib, jadi memang setiap tahun kami akan bercuti untuk meraikannya. Tetapi untuk ulangtahun ke 10, sememangnya ia akan menjadi tanda untuk kami sentiasa mengenangnya...

10 tahun tu macam lama tapi sebenarnya kejap aje. Kami berkahwin pada usia yang agak muda (saya 23 dan abang 24). Ketika itu ramai di kalangan kawan-kawan masih belajar. Ketika itu kami baru setahun bergraduat. Kalau hendak dikisahkan, memang macam-macam dugaan berkahwin pada usia muda. Namun kami bersyukur, dugaan-dugaan itu mematangkan hubungan kami. Di kala teman-teman sedang berusaha untuk melengkapkan sebuah perkahwinan, alhamdulillah kami sudah lama 'settle down'.

10 tahun, 2 putera dan 1 puteri dengan sebuah rumah yang diibaratkan bagai syurga dunia, Alhamdulillah rasanya hidup kami telah lengkap segala. Moga Allah sentiasa memberkati hidup kami sekeluarga. Seperti kata abang 13 tahun lalu, InsyaAllah We will grow old together.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...