26 June 2011

PESTA BUKU SELANGOR 2011


Jom ke PESTA BUKU SELANGOR dan Kunjungi Booth Kumpulan Media Karangkraf (P1 - P14) pada 24 Jun - 3 Julai 2011 bertempat di SACC Convention Centre, jam 10 pagi - 9.00 Malam. Temui juga penulis-penulis hebat Grup Buku Karangkraf seperti Anis Ayuni, Meen Zulaikha, Kamsiah Abu, Ayu Emelda dan ramai lagi! 

Jalan-jalan Brunei Darussalam

Destinasi Asia Tenggara seterusnya ke Brunei Darussalam! Sebenarnya hasrat untuk ke Brunei sudah lama bertapak di hati tetapi disebabkan sering dimomokkan yang di Brunei 'tak ada apa-apa', jadi hasrat itu sering terbantut. Namun kesempatan mendapat jemputan dari Kak Su sempena perkahwinan anaknya merealisasikan hasrat saya yang terbantut tu. Betul ke Brunei tak ada apa-apa? Mehla kita tinjau sama-sama.

Sebaik kaki melangkah keluar dari lapangan terbang antarabangsa Brunei, entah kenapa kepala saya teringatkan Langkawi. Hahhaa....Ya, Brunei dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Saya dapat rasakan aura ketenangan dan keamanan itu sebaik melangkah keluar dari bangunan itu. Kedua, rakyatnya hidup bersederhana. Walaupun ramai orang Brunei yang kaya-raya, saya dapat rasakan aura itu juga! Itu padandangan awal saya tentang Brunei.

Hari pertama, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Bandar Seri Begawan. Kami sempat meninjau ke Masjid Omar Ali Saifuddien dan Kampong Ayer tetapi tidak sempat bergambar kerana cuaca yang sangat panas petang itu. Kami kemudian ke istana sultan tapi tak nampakpun istananya kerana pagarnya berkilometer dari jalanraya utama....hahaha. Jadilah dapat tengok pagar. Kemudian dibawa melihat istana  Azrinaz yang masih dalam pembikinan. 

Jerudong Park

Lepas itu kami ke Jerudong Park. Dulu-dulu masuk ke taman tema ini adalah percuma tetapi kini kena bayar mengikut bilangan permainan yang hendak dimainkan. Ketika kami sampai, taman tema masih lengang. Kata abang yang membawa kami, malam-malam baru meriah. Kami pulang selepas itu lalu ke Pasar Basah Gadong untuk menikmati juadah tradisi masyarakat Brunei.




Hari kedua kami sekali lagi ke masjid dan Kampung Ayer. Jam sekitar 5.00 petang, kami menaiki teksi dari hotel penginapan Rizqun International. Perjalanan sekitar 15 minit dengan tambang $10.00 sehala. Disebabkan susahnya mencari teksi di Brunei, maka kami telah berjanji dengan pemandu teksi untuk menjemput kembali sekitar jam 7.00 malam. Di sana matawang disebut ringgit juga tetapi nilainya tidak sama. Semasa saya ke sana, tukarannya ialah RM2.55=B$1. Jadi tak bolehlah nak berbelanja mewah-mewah ye. Hehe....




papan tanda masjid

Kami bergambar dan sempat berjalan ke Water Front. Jaraknya lebih kurang 10-15 minit berjalan kaki. Jika anda mahu berjalan-jalan di sekitar Kampong Ayer menaiki bot, harganya lebih kurang $15-30 bergantung kepada tuan punya bot dan durasi perjalanan. Disebabkan saya tidak ada banyak masa (kurang-kurang 1 jam diperlukan untuk menjelajah ke Kampong Ayer), maka saya tidak memilih pakej itu. Saya hanya menyeberang ke Kampong Ayer menaiki bot dan kembali semula. Tambangnya $1. Memang menarik Kampong Ayer ini kerana rumah-rumah dibina di atas air. Mereka punya komuniti sendiri (ada sekolah, masjid etc) yang menarik untuk dilawati jika punya banyak masa.

Pasar Basah Gadong menawarkan pelbagai juadah. Makanan di Brunei lebih kurang di Malaysia. Gambar di atas adalah pulut panggang yang ada 4 inti pilihan; udang, daging, ikan dan ayam 

Antara fakta menarik tentang Brunei yang boleh saya kongsikan di sini :
-Harga petrol adalah sekitar $0.52 sen seliter kerana subsidi dari Sultan dan akan menjadi $1.75 pada Hari Keputeraan Sultan sebagai mengingati betapa mahalnya harga minyak jika tiada subsidi dari Sultan.
-Tukaran wang ringgit Brunei adalah sama dengan Dollar Singapura. Oleh yang demikian, kita boleh guna kedua-dua matawang ini di kedua-dua negara.
-Cukai kenderaan adalah murah. Sebab itu ramai yang berkereta besar. Khabarnya boleh dapat Mercedes  pada harga $50K sahaja!
-Tiada motorsikal di Brunei kerana semua mampu berkereta
-Teksi sangat sedikit (dikatakan sekitar 40 buah sahaja)
-Tiada bangunan tinggi yang boleh mengatasi kubah masjid.
-Tulisan jawi boleh dilihat di merata-rata.
-Coklat murah di sini, lebih murah dari di lapangan terbang di negara kita yang bertanda Duty Free.
-Kain-kain sutera juga murah, jadi sediakan wang secukupnya sebagai tanda mata dari Brunei.
-Jam 6.00 petang, kawasan bandar-bandar sudah sunyi. Shopping mall yang ada yang masih meriah hanya selepas Isyak.
-Ada 3 checkpoint yang disediakan Air Asia Brunei untuk memeriksa berat beg berbanding 2 di LCCT. Hehehe....jadi sila pastikan berat beg yang dibawa masuk ke dalam pesawat tidak lebih dari 7kg!


pernah lihat papan tanda McDonald's tulisan jawi?

Jika anda sudah sampai ke serata Asia Tenggara tetapi masih belum sampai ke Brunei, apa salahnya anda mencuba. Jom Melancong!

24 June 2011

Cuti-cuti Malaysia : Port Dickson

Sebut saja Port Dickson di kepala pasti ada laut.  Jadi jika ke PD, jika tidak ke laut tentu tidak sah. Tetapi apa yang ada selain dari laut? Ada dua tempat di PD yang anda boleh lawati jika ke PD jika tidak mahu turun ke laut; Muzium Angkatan Tentera dan PD Ostrich Showfarm.

Kali ini saya hanya sempat membawa anak-anak ke Ostrich Showfarm kerana agenda ke Muzium terbantut dek kecederaan tiba-tiba Hana. Saya terpaksa membawa Hana ke Hospital PD kerana tangan kanannya terseliuh. Mungkin di lain kali kami boleh ke muzium pula. 




Bagaimana hendak ke Ostrich Showfarm? Dari simpang 3 keluar dari lebuhraya Utara-Selatan, ambil kiri menghala ke Politeknik PD. Ladang ini bertentangan dengan Politeknik PD. Sebaik sampai, saya lihat ada beberapa buah kereta pengunjung di parkir. Kami membayar RM8 dewasa dan RM4 kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas. Agak mahal juga tetapi saya tetap membayar kerana di kepala adanya aktiviti menarik seperti menunggang ostrich dan lain-lain yang menarik. Namun saya dimaklumkan aktiviti tersebut tidak dapat dijalankan kerana hari hujan pada paginya menyebabkan bulu ostrich basah. Dalam hampa, saya bawa juga anak-anak melawat sebab sudah sampai ke sana.






Tetapi saya memang hampa kerana ladang ini tidaklah besar mana. Nak dikatakan mini zoo pun tidak padan kerana yang ada hanyalah kedai cenderamata, kedai makan dan beberapa haiwan seperti kera/monyet, kambing, arnab, itek, ayam, ostrich dan hamster. Memang tidak berbaloi dengan harga tiket yang ditawarkan. Jika anda mahu juga ke sana, saya nasihatkan pergi di awal pagi sekitar jam 10.00 pagi di hari yang terang-benderang!

09 June 2011

Cinta Pandang Kedua-Sinopsis lebih kurang...

“Penat?”
Tiba-tiba Ainnur disapa. Dia menoleh. Lelaki di sebelahnya tersengih.
“Terkejut ke? Awak mimpi agaknya tadi sampai tak sedar saya kat sini. Yelah, saya ni kan kurus macam tiang sebatang je.” Lelaki itu cuba membuat lawak.
‘Itu nak kata aku gemuk macam gajah lah tu!’ Ainnur terasa hati. Dia memberikan jelingan tajam.
“Eh! Janganlah marah-marah. Siapa nama awak? Er... Nama saya...” Budak lelaki itu hendak memperkenalkan dirinya.
“Maaf! Tak minat.” Ainnur terus  menonong ke hadapan.
‘‘Dahlah gemuk macam gajah, garang pulak macam singa! Patut tak payah pergi sekolah, duduk saja dalam hutan!’’ Zairul melepas marahnya membuatkan telinga Ainnur kemerahan.
Pada pandangan pertama, Zairul Hasmat memang meluat dengan Ainnur Azleen. Walaupun mereka berdua sekelas, tetapi tidak pernah sebulu. Ada saja sikap Ainnur yang menjengkelkan hatinya. Baginya Ainnur hanyalah seorang budak gemuk yang sombong yang suka mencari pasal dengannya.
Di sekolah, Zairul ‘prince charming’ sedangkan Ainnur si Ugly Betty. Beza mereka macam langit dengan bumi! Namun itu tidak menghalang dari kedua-duanya menyimpan perasaan di dalam hati. Disebabkan Ainnur mempunyai bentuk badan saiz XXL, dia hanya mampu memuja Zairul di dalam diam. Zairul pula memang seronok menyakat. Tidak sudah-sudah mengejek Ainnur menyebabkan Ainnur berasa hati lalu bertekad bertukar ke sekolah lain setelah dirinya dimalukan lelaki itu di dalam kelas.
Setelah bertahun lamanya masapun berlalu….
Pada pertemuan kedua, Ainnur bertemu dengan Zairul di dalam sebuah syarikat. Ainnur menjadi ketua di bahagian itu manakala Zairul hanyalah sebagai budak penghantar surat.
Zairul tidak tahu bahawa gadis cantik yang menjadi bosnya itu adalah Ainnur Azleen yang pernah dikutuk dan dicaci suatu waktu dulu. Pertama kali berjumpa, dia terus jatuh cinta! Sanggup berkorban jiwa dan raga.
Aha! Ainnur mendapat idea. Inilah masanya untuk dia membalas dendam lama kepada si jejaka. Rupanya Zairul tidak berubah. Masih playboy tak sudah-sudah.
Tatkala kebenaran terbentang di depan mata, siapakah antara mereka yang akan mengalah? Tatkala seorang antara mereka ditimpa musibah, sanggupkah yang seorang lagi membiarkan hanya kerana bersandar pada kenangan?
Pada pandangan pertama dan kedua, manakah yang paling melekat di jiwa? Hanya Zairul yang ada jawapannya….

Temu Mesra Bersama Novelis di Sg. Petani Kedah

01 June 2011

Ke Universal Studios Singapura!

Melengkapkan taman tema di Asia selepas Warner Park Madrid di Sepanyol, Disneyland Paris di Peranchis dan Movie Park Bottrop di Jerman, kembara taman tema kami diteruskan ke negara jiran kita Singapura. Taman tema yang masih baru dibuka ini, sememangnya menawarkan percutian yang menggembirakan terutamanya di kalangan anak-anak. 

Seperti biasa, kalau ke Singapura, kami lebih senang menaiki kereta sendiri. Walaupun kenderaan awam di Singapura ini antara yang terefisien di Asia, kami memilih untuk naik kereta kerana lebih mudah. Bertolak seawal 8.30 pagi dari JB, kami tidak berdepan dengan kesesakan di pagi Ahad 1 Mei 2011 itu. 

Perjalanan yang lancar menyebabkan kami tiba awal iaitu kira-kira jam 9.15 pagi. Jam 10.00 pagi baru taman dibuka jadi tempoh yang ada itu kami mengambil gambar dan membaca peta taman untuk merancang percutian hari itu. Kebiasaanya taman tema pasti akan mempunyai beberapa pertunjukan yang harus mengikut jadual. Jadi, jika tidak mahu ketinggalan, kita kena waspada dengan masa.

Masuk saja ke taman, kami bergambar dengan beberapa karektor. Kimy takut dengan Zombie tetapi Hana terus menangis. Hahaha.... Kami mengambil peluang orang yang masih tidak ramai ke rumah Shrek dan mencuba  permainan di situ. Apa yang kami perhatikan, bilangan pengunjung semakin menginjak tengahari semakin ramai. Jika di Europe, kebiasaannya pengunjung memang sudah ramai daripada permulaan. Kami memilih permainan yang tidak memerlukan masa yang lama untuk beratur. Sementelah kami bercadang untuk pulang lewat dan tidak membeli fast pass, permainan yang memerlukan masa yang lama untuk beratur, kami simpan untuk sebelah lewat petang atau malam. Jadi kami ada banyak masa untuk mencuba permainan lain. Itu merupakan satu strategi di taman tema ya!

 bersama Po, si Panda
 inilah Zombie yang Kimy takut, Hana pun dah nangis...
 Puss in Boots
 Battlestar Galactica yang menggerunkan
 Hana sempat bergambar di Hollywood
 Winnie Woodpacker
 Battlestar Galactica dari jauh
 Istana Far Far Away from Far Away...haha
 Kimy dan telinga Shrek
Hardy di kedai cenderamata

Kami mencuba semua permainan kecuali Battlestar Galactica. Gila ke apa? Saya tidaklah seberani itu. Jadi kalau sesiapa yang berani itu tahniahlah yer. Saya paling suka Jurassic Park-The Lost World. Pengalaman paling menggerunkan tentulah ketika menaiki Ancient Egypt. Memang sebab kena paksa dan ada trick sikit menyebabkan saya terkena. Tak apa.... abang sengih aje sebab dapat mengenakan saya. Tapi sebenarnya dia tak tahu, yang saya memang mahu mencuba. Sebab itu bila dia ajak naik Galactic Battle, jangan harap saya nak naik walaupun penat dia memujuk. Hahaaha....Hakimy suka naik roller coaster di Far Far Away sedangkan Hardy suka dengan aksi pembuatan filem di Lights, Camera, Action di New York. Hana walaupun kecil, dia nampaknya seronok tengok macam-macam warna di sana. Sempatlah naik keretapi kecil. Yelah, masukpun tak bayar. Jadi memang banyak yang tak boleh nak naik. Tunggu besar sikit ye sayang!

Pertunjukan yang paling menarik saya rasa adalah pertunjukan di Waterworld dan Lights, Camera, Action di New York. Kami tidak dapat masuk ke Madagascar kerana masih belum dibuka ketika itu. 

Melihat anak-anak gembira, kami yang menyambut ulangtahun perkahwinan ke 11 tersenyum senang. Melihatkan wajah-wajah bahagia anak-anak, kami turut berbahagia. Semoga ada percutian keluarga yang lain di masa depan. Kepada yang masih belum berpeluang ke sana, bolehlah merancang percutian kerana setelah dibuka secara rasminya minggu lepas, semua tarikan telah dibuka kepada umum! Bila balik jangan lupa beli cenderamata sebagai kenangan ya! Selamat bergumbira!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...