17 September 2012

Bantulah Anak Pintar Cerdas Anda!

Ramai yang tidak tahu bahawa, anak pintar cerdas juga sebenarnya harus diletakkan di dalam program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah kerajaan. Selalunya orang menganggap program PPKI ini hanyalah untuk anak-anak yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autism, sindrom down, disleksia dan lain-lain lagi. Sementelah apabila kita melawat PPKI, murid-murid sebeginilah yang memang ramai berada di kelas. Tanggapan ini sebenarnya adalah sedikit silap dan harus diperbetulkan. Sebenarnya selagi murid itu memerlukan guru memberikan perhatian one to one (perseorangan), maka dia tergolong dalam murid yang berada di dalam PPKI.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang anak pintar cerdas. Anak ini perlu diberikan perhatian istimewa kerana bakat kecerdasannya jika tidak ditangani akan merugikan bukan saja ibubapa tetapi kepada negara. Berikut adalah beberapa persoalan tentang anak pintar cerdas yang perlu anda tahu. Apa kata kita tengok anak kita di rumah dan fikirkannya, malah tahu rupa-rupanya anak kita itu tergolong dalam golongan yang diklasifikasikan sebagai anak PINTAR CERDAS.

APAKAH CIRI PALING MUDAH YANG BOLEH DIPERHATI?
Anak ini mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih pintar dari rakan sebayanya. Sebagai contoh mempunyai kebolehan membaca pada usia 2 tahun.

Anak ini mungkin juga mempunyai kebolehan luar biasa di dalam bidang selain dari akademik seperti dalam bidang sukan, muzik, seni dan sebagainya. Sebagai contoh boleh menghasilkan lukisan yang sangat cantik yang kadang-kadang sama baiknya dengan orang dewasa pada usia kecil.

Kecerdasan kanak-kanak ini kadang-kadang hanya menjurus ke dalam satu bidang yang diminatinya sahaja seperti Matematik. Sebagai contoh, kebolehannya dalam mata pelajaran lain adalah setara dengan rakan sebaya tetapi beliau boleh menghasilkan formula Matematik sendiri dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan angka-angka. Selain daripada itu ada juga anak yang boleh menghafaz al-Quran pada usia 4 tahun misalnya.

APAKAH UJIAN YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK MENGESAHKAN ANAK SAYA PINTAR CERDAS?
Anda boleh membawa anak ini untuk pemeriksaan doktor. Anak ini boleh menjalani Ujian Kederdasan IQ. Biasanya anak yang mempunyai IQ melebihi 130 dikategorikan sebagai pintar cerdas (IQ manusia normal adalah 91-120).

SETELAH SAH ANAK SAYA PINTAR CERDAS, APA YANG SAYA BOLEH LAKUKAN UNTUK MEMBANTUNYA?
Tidak ramai yang tahu bahawa negara kita sedang mengumpulkan anak-anak yang pintar cerdas dari seluruh Malaysia. sebenarnya jika dibandingkan dengan negara lain di dunia memang Malaysia tertinggal dari aspek ini. Malahan jangan tidak percaya jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia juga agak terkebelakang. Bayangkan negara seperti Vietnam telah punya sekolah anak pintar sendiri! Singapura lagilah telah maju ke hadapan dengan rangkaian sekolah-sekolah khas untuk anak pintar. 

Oleh yang demikian, kita harus menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia melalui program PERMATA PINTAR. Program ini telah bermula pada bulan 17 Januari 2011. Pengambilan pertama pelajar pintar cerdas untuk program ini ialah seramai 116 orang pelajar berumur 16 tahun dari seluruh Malaysia yang telah melalui tiga ujian saringan iaitu Ujian PERMATApintar UKM1, Ujian PERMATApintar UKM2 dan Ujian Kompetensi Matematik dan Sains (Ujian UKM3).

Jadi apa kata, anda mengorak langkah pertama dengan membaca maklumat lanjut tentang program ini di http://www.permatapintar.edu.my

Terdapat ujian UKM1 yang anda boleh minta anak anda jalani di mana-mana saja internet boleh dicapai. Manalah tahu, anak anda memang pintar cerdas dan langkah anda hari ini  telah membantu kehidupannya di masa depan. Ini kerana tidak semua anak yang pintar cerdas boleh menangani dirinya sendiri dengan baik. 

Saya berharap artikel saya ini dapat membantu anda dan si permata! Selamat maju jaya!


Ilustrasi di atas sekadar hiasan,  diambil dari buku terbaru saya Kawan Baru FB. Di dalam buku yang mengandungi 15 buah cerpen kanak-kanak yang ditulis bersama 4 penulis Grup Buku Karangkraf. Ilustrasi ini terdapat dalam kisah Neptun Perlukan Raja. Kisah seorang budak lelaki bernama Amsyar Daniel yang dibawa ke Planet Neptun kerana  Neptune memerlukan raja mempunyai IQ130 ke atas. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...