25 November 2013

Ekspedisi Kinabalu : 17-18/11/13 Cabaran Sebenar Bermula

Ada 3 sebab mengapa saya menyahut cabaran Kinabalu! 1- Sedari dulu saya memang suka mendaki, telah tertanam di dalam hati untuk ke Kinabalu.  2- Tuntutan watak dalam novel terbaru saya Cinta Top Secret.  Zain Ashraff, Maryam Eisya dan Jefry Ahmad Yatim merupakan watak-watak yang saya cipta sebagai sukakan aktiviti lasak dan ekstrim. 3- Inspirasi kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang daripada apa yang dicapai oleh saya.


Ketika saya nampak iklan Ekspedisi Kinabalu ditampal di kaunter pejabat sekolah, saya kata, "Wah! Macam menarik!" Hati saya digigit-gitgit untuk ikut serta. Tapi bila melihat senarai nama yang tercatat semuanya lelaki, saya jadi hampa. Takkanlah saya seorang peserta perempuan. Saya bertanya-tanya kepada para peserta lelaki dan dikhabarkan ada seorang lagi guru perempuan yang berminat nak pergi. Saya berjumpa dengannya da dia kata kepada saya, "kalau akak tulis nama, saya pun akan kompem pergi," Lalu tercatatlah sejarah nama saya di situ sebagai satu-satunya peserta guru wanita, diikuti oleh nama kawan saya yang seorang lagi itu. Ia kekal hingga ke akhirnya, hanya kami berdua guru wanita yang menyahut cabaran Kinabalu, SKBSP.

Semasa saya memberitahu kepada enche suami, dia kata, saya tak akan sampai kecuali jika bersamanya. Jadi akhirnya saya mendaftarkan nama kami berdua. Sebelum ke Kinabalu telah diadakan beberapa siri latihan  pendakian bermula dengan Bukit Broga, Bukit Tabur, Gunung Berinchang,  Bukit Saga, FRIM dan Batu Caves, Gombak. Selain daripada itu, kami  mesti mengekalkan stamina dengan berlari setiap 3 hari. Tetapi dengan latihan begitupun, saya masih merasakan diri saya sebagai peserta ekspidisi terlemah. Setiap kali latihan, saya adalah yang terakhir sekali sampai. Sebab itu, saya selalu kata saya gementar untuk mengikuti ekspedisi Kinabalu.

Namun hari yang ditunggu akhirnya tiba. 16 November 2013, pada pagi jam 6.30 kami sudah bertolak ke KLIA. Penerbangan transit di Labuan menyebabkan perjalanan kami lewat (kapal terbang tukar tayar pulak). Hanya kira-kira jam 2.00 baru kami tiba di KK. Perjalanan seterusnya ke Kinabalu Park (kami singgah makan/solat di Putra Jaya dan rumah terbalik). 

Jam 6.45 petang, buat pertama kalinya saya nampak bayang-bayang Kinabalu berbalam-balam dari jauh. Itupun hampir membuatkan air mata saya mengalir kerana saya betul-betul rasa bersyukur. Kunjungan saya ke Kinabalu Park sebelum ini, saya langsung tidak berpeluang nampak bayang-bayangnya pun kerana hujan dan berkabus. Saya berdoa semoga ALLAH mengabulkan impian saya untuk melihat sendiri Kinabalu pada esok hari. Kami check in di Kinabalu Park dan bersedia untuk pendakian pada keesokan harinya. Malam itu saya tidur dengan begitu nyenyak. Sementelah hotelnya memang superb! Makanan dan penginapan memang perg! Terbaek!




Jam 7.00 pagi, kami semua bersedia dengan barang-barang untuk ke lobi Kinabalu Park. Kami bersarapan sebelum dibawa ke check point 1- Timpohon Gate.Selepas menyerahkan barang kepada porter, kami bergambar beramai-ramai. Ada 19 orang dalam pasukan kami. 



Setelah membuat senaman ringkas dan membaca doa, kami diterangkan secara ringkas oleh ketua guide kami pakcik Ishak. Hari ni pasukan kami ada 4 orang guide (purata lebih kurang 5 orang untuk 1 guide). Pakcik pesan, jalan jangan tengok atas, pelan-pelan dan jangan sendirian. Setelah tandatangan di buku yang disediakan, kami bertolak sekitar jam 9.30 pagi. Kalau diikiutkan jadual, kami akan tiba ke Laban Rata jam 3.30 petang iaitu selepas 6 jam perjalanan (1km=1jam). Hehe... itu perkadaran Matematik untuk mereka-mereka yang fit dan cergas. Bagi saya yang tak berapa fit dan selalu terjejas penumpuan kerana sibuk mengambil gambar dan video, tentulah angkanya akan jadi lebih besarkan? Hehe... secara logiknya la... Kita tengok nanti jam berapa saya tiba?





Terus-terang, saya sebenarnya memang memandang enteng cabaran Kinabalu. Saya diberitahu oleh Shahrul, ketua ekpedisi (beliau sudah 7 kali menawan Kinabalu) memang laluannya sukar, bertingkat-tingkat, sejuk... Masa di sana nanti, kekuatan minda saja yang akan membantu selain fizikal. Masa tu katanya, kita akan cuba mengalah. Tapi saya juga mendapat info yang latihan-latihan keras yang saya lalui bersama pasukan tidak perlu kerana Kinabalu taklah sesukar mana. Naik-turun Batu Caves 6 kali sudah memadai. Tapi apabila menghadapinya sendiri, saya bagitahu betul-betul,"kalau saya tahu, beginilah cabaran Kinabalu, saya tak akan datang." Serik? Bukan! Sebenarnya Kinabalu memang sangat-sangat mencabar bagi orang seperti saya yang tak berapa fit ini. Hehe. Jalannya yang berbatu dan bertangga-tangga itu betul-betul mencabar kemampuan fizikal saya. Perjalanan 6km itu rasanya hanya 500m jalan rata, yang selebihnya laluan berbatu bertingkat-tingkat. Penat! Sangaaaaat penat!



Petang itu cuaca memang baik, cuma pada akhir-akhir petangnya hujan/gerimis. Pemandangan memang superb! Sangat cantik! Sebab itu juga ia melengahkan perjalanan saya petang itu. Hehe. Saya memang tak boleh sabar nak klik klik. Keputusan tidak membawa kamera SLR sebenarnya tepat kerana walaupun gambar cantik tapi saya tak mampu menggalas kamera yang agak berat tu.  Saya cuma membawa air, power gel, ubatan dan makanan. Itupun rasa kaki berat aje melangkah. Pada awal ekspedisi kami telah diminta untuk memikirkan satu perkataan yang boleh menjadi motivasi kepada diri. Hehe. Saya juga jumpa perkataan itu akhirnya. Pondok! Hahaha jangan ketawa. Perkataan itu telah berjaya membawa saya sampai ke titik hujung check point akhir di Laban Rata! (setiap 1km ada 1 pondok yang ada bekalan air dan tandas). Biasanya kami akan berehat sebentar di pondok sebelum meneruskan perjalanan. Kami dinasihatkan tidak berhenti terlalu lama kerana jika tidak, badan yang panas akan sejuk menyebabkan cramp. Saya menyaksikan sendiri bagaimana seorang kawan yang menanti kawan lain yang tertinggal di belakang. Dia berhenti rehat selama 1 jam dan keesokan harinya dia cramp. Akhirnya dia tidak berjaya sampai ke puncak sekalipun dia antara peserta yang cergas dan di depan.
Akhirnya setelah melawan mental dan fizikal, kami tiba di Laban Rata pada jam 4.30 petang! 7 jam perjalanan bermakna, saya terlewat 1 jam daripada orang lain. Tapi saya bersyukur, saya selamat sampai walaupun lambat. Ketibaan kami disambut dengan pemandangan Kinabalu melatari rumah penginapan di Laban Rata. Setelah puas bergambar, kami masuk ke dalam lobi dan dihidangkan dengan makanan yang enak-enak. Tapi bila badan letih, makanan seenak manapun tidak bermakna lagi. Saya sekadar mengisi tekak dengan air dan beberapa suap nasi. Saya terpaksa bergegas mengejar solat kerana Maghrib akan menjelang tidak beberapa ketika kemudian.

Malam itu selepas Isya' saya sudah berbaring-baring di katil. Keperluan esok pagi sudahpun disediakan.  Kami dijangka bertolak ke puncak Kinabalu pada jam 2.30 pagi. Tapi mata saya tak boleh lelap. Pada malam itu saya sesak nafas. Beberapa kali saya cuba bernafas secara biasa tetapi rasa tersekat. Saya melayari internet di telefon mencari punca kerana saya bimbang diserang sakit jantung. Saya juga bersembang di whatsapp dengan kawan-kawan mengatakan saya tak boleh tidur. Pada ketika itu saya bagaikan terasa inilah malam terakhir saya, di fikiran saya hanya ada 3 perkara. Suami, anak-anak dan keluarga juga drama Cinta Pandang ke-2 yang saya tak sempat nak tengok jika saya meninggal dunia. 

Saya bangun dari pembaringan. Nekad. Jika ini malam saya yang terakhir, saya mahu mati di riba  suami. Saya gerak suami, beritahu dia, saya mahu ke tandas. Kami keluar dari bilik dan selepas itu saya rasa nafas saya kembali okey. Alhamdulillah selepas itu, saya dapat melelapkan mata beberapa ketika sebelum sedar jam 1.30 pagi untuk meneruskan perjalanan ke puncak Kinabalu. Rupanya bukan saya seorang yang merasakan pengalaman sesak nafas dan tidak boleh tidur. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti ketinggian altitut dan cuaca sejuk sekitar 14 degree. Hmm... Alhamdulillah umur saya dipanjangkan. Saya tahu DIA mahu memberikan saya peluang untuk memperbaiki diri, menjadi manusia yang lebih baik pada masa depan. Saya melangkah menuju ke puncak Kinabalu dengan harapan akan menjadi mereka yang diberi peluang untuk sampai ke puncak tertinggi di Asia Tenggara.

2 comments:

Jamailia Jumahari said...

tahniah kak...kau mmg kuat semangat...klu aku berada d tpt kau pun...mungkin xboleh smpi...aku pernah menawan kinabalu pd usia 18 thn...klu skrg...mungkin xlarat dah....aku tumpang bangga...itu psl aku sanggup dtg jemput korg semua dgn banner d klia hr tu....

laila kamilia said...

hahaha... dah tua dah akak kau ni. tahniah juga kerana berjaya sampai ke kinabalu pada usia semuda itu! terima kasih atas sokongannya!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...