11 January 2014

Khas untuk guru-guru : Bagaimana nak menjemput Karangkraf ke sekolah anda!

Ada yang bertanya kepada saya, bagaimana mendapatkan dana dan material untuk sekolah seperti buku. Untuk makluman, saya bukanlah guru Pusat Sumber. Apa yang selalu saya buat untuk dapatkan dana/material seperti buku adalah cara saya sendiri. Selalunya saya akan poskan di FB jika ada acara yang mahu melibatkan pengumpulan dana. Alhamdulillah rakan FB saya percayakan saya dan bermurah hati menderma bagi menjayakan sesuatu projek.

Seperti contoh, untuk aktiviti Membeli-Belah untuk Program Aidilfitri Pendidikan Khas, saya telah warwarkan di FB. Saya nyatakan tujuan program itu diadakan dan tentatifnya. Alhamdulillah ramai yang menghulur bantuan. Pada akhir projek anak-anak murid saya dapat duit poket sebanyak RM200 seorang untuk membeli keperluan Aidilfitri. Saya menefon beberapa pusat membeli-belah bagi mendapatkan tajaan lokasi. Alhamdulillah JUSCO Cheras Selatan telah memberi peluang kepada anak-anak ini membeli-belah dan membuat rakaman Al-Hidayah istimewa Maal Hijrah pada 2012.   Rancangan itu kemudiannya telahpun disiarkan di TV3. Selain daripada dana kutipan di FB, saya juga mendapatkan sumbangan daripada rakan guru yang lain yang ingin menyumbang. Alhamdulillah projek itu berjaya direalisasikan. Boleh lihat gambar di sini : Program Membeli Belah Aidilfitri

Semasa pembukaan program Pendidikan Khas (PPKI) di sekolah saya pada awal 2010, apa yang guru-guru lakukan adalah membuat hebahan kepada para penyumbang. Kelas yang kosong yang hanya ada kerusi, meja dan papan putih akhirnya berjaya dipenuhkan dengan pelbagai perabot seperti meja makan, TV, peralatan memasak dan sebagainya. Disebabkan program PPKI memerlukan bahan mawujud di dalam kelas, maka peralatan seperti ini harus disediakan pada kadar segera.

Namun jika kita mengutip dana daripada medium seperti ini, pastikan selepas membeli keperluan etc, kita menghantar bukti kepada para penderma. Memanglah mereka ikhas menderma, tetapi bukti tersebut bagi meyakinkan mereka, projek yang kita laksanakan adalah betul dan telus. Jangan sesekali membuatkan penderma ragu-ragu dengan perlaksanaan program.

Selain daripada cara hebahan seperti itu, hari ini saya ingin kongsikan satu lagi cara mudah yang boleh dilakukan di sekolah bagi menambah jumlah koleksi buku. Sekiranya di sekolah ada hari-hari sambutan tertentu seperti Hari Kokurikulum dan Pelancaran NILAM, apa yang kita boleh buat adalah menjemput penulis/motivator datang ke sekolah. Selain menyumbang buku kepada sekolah, di luar sana, ada banyak penerbit buku yang sangat bermurah hati untuk berkongsi rahsia macam-macam dengan murid-murid kita. Jemputlah mereka ke sana. Ada aktiviti pentas seperti bercerita, ceramah kerjaya, kongsi rahsia berjaya dan macam-macam lagi daripada para penulisnya. Malah jika panjang masa yang diberikan kepada mereka untuk bersedia, mereka boleh menjemput selebriti memeriahkan suasana. Selain itu penerbit juga boleh melancarkan buku pada acara tersebut. 
Pelancaran buku Kawan Baru FB di SK Subang Bestari pada 2012


Pada awal tahun seperti ini, pasti guru Pusat Sumber sedang merancang untuk pelancaran program NILAM di sekolah. Jika mahu memanggil Karangkraf untuk ke sekolah anda untuk program NILAM boleh emel Eksekutif Jualan Muhammad Asyraf  di muhammad.asyraf@karangkraf.com di talian 03- 51013683. Anda boleh hantarkan butiran program kepada beliau. Semoga info ini membantu anda!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...