03 January 2014

Salah Tanggapan Tentang Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran


Gambar saya dan rakan-rakan guru PPKI bersama Tokoh Murid PPKI, Muhammad Faiz. Beliau merupakan murid autism yang berjaya bersosial dengan baik dan menjadi kebanggan PPKI. Pernah mendapat anugerah Tokoh Usahawan Daerah Hulu Langat.


Tahun baru ini saya ingin menulis tentang salah tanggapan masyarakat tentang PPKI. Tahun ini saya jadi guru kelas yang kebanyakannya murid baru. Jadi, ini antara yang saya mahu kongsi dengan anda supaya anda membantu saya memberi penerangan tentang salah tanggapan kepada PPKI.

Perlukah PPM? Kelas kotor?
Saya mengajar Pendidikan Khas bermula dari 2008. Ketika itu pendidikan khas masih baru bercambah. Ketika itu jawatan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) baru diperkenalkan. Pada ketika itu, semua kerja-kerja menguruskan murid dilakukan oleh guru.

Saya masih ingat dengan murid saya yang suka membuat helah. Dia tidak suka datang ke sekolah. Setiap hari, dia pasti mencari idea bernas untuk balik ke rumah. Siapa kata murid pendidikan khas tidak cerdik? Hehe. Murid saya itu cuma lembam (lewat perkembangan). Kalau setakat dia menangis memang cikgu tak layan. Keistimewaan guru pendidikan khas, telinganya memang lali dengan bunyi-bunyi bising. Kami boleh bertenang dalam keadaan murid menangis. Saya tidak boleh lupa, penyelaras saya, Puan Zarina akan bersama murid yang pertama kali masuk sekolah dan murid ini menangis satu hari selama berminggi-minggu! Kalian boleh bayangkan betapa tabahnya dia? 

Berbalik kepada murid saya tadi, kerana dia cerdik, dia fikir satu-satunya cara untuk membuatkan guru angkat bendera putih adalah dengan muntah. Dia fikir saya akan geli dengan dia?  Dia akan memasukkan tangannya ke dalam kerongkong dan memuntahkan semua makanan di dalam perutnya, terutama selepas waktu rehat. Tapi dia tidak berjaya 'menipu' saya. Saya bukanlah orang yang penggeli terutama kepada murid-murid saya. Saya mengemop lantai dan mengemaskan dia sambil terpaksa mengajar juga di dalam kelas yang penuh. Tentu tak boleh dibayangkan rasa ketika itu. 

Tetapi kini, dengan adanya ramai PPM, guru lebih dapat menumpukan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Apabila murid perlu dibersihkan, PPM akan menguruskan murid tersebut dan guru dapat meneruskan P&P. Jadi, jika ada pandangan negatif, yang mengatakan kelas pendidikan khas adalah kotor sebenarnya salah sama sekali. PPM akan mengemop lantai dan meja setiap hari. Malah, kebersihan di dalam kelas menjadi keutamaan kerana anak-anak murid pendidikan khas tidak boleh terdedah kepada persekitaran yang kotor kerana kesihatan mereka.  Kelas juga semakin teratur dan murid dapat menumpukan kepada pengajaran guru.

Cikgu tidak faham masalah anak saya. Guru tidak bertauliah?
Hehe... kalau cikgu pendidikan khas tak faham masalah anak murid, jadi cikgu mana yang akan faham?  Pada mulanya pastilah cikgu masih belajar memahami anak murid sebab baru kenal tapi lama-kelamaan guru akan 'masak' dengan perangai mereka dan belajar menanganinya. 

Sebagai contoh murid yang datang ke sekolah asyik menangis dan tentarum. Biasanya jika sesi pujuk-memujuk tidak menjadi, guru/PPM akan memandikan murid supaya murid dapat bertenang dan 'sejuk'. Jika murid masih tidak dapat bertenang, guru akan mencari 'benda' yang boleh membuatkan murid tenang seperti mungkin murid sukakan sesuatu, diberikan supaya dia boleh diam. Apabila sudah okey, barulah perlahan-lahan guru mengajak murid kembali kepada P&P. Selain daripada itu, jika tentarumnya berlarutan, guru akan mengambil langkah memanggil ibubapa kerana ia dikuatiri mengganggu perjalanan P&P kelas lain. Murid yang tentarum yang tidak boleh ditenangkan berkemungkinan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain. Jadi, jalan terakhir adalah membawa murid pulang. Guru boleh me'rehat'kan murid untuk kepentingan murid dan rakan-rakan sekelas.

Pada masa sekarang, kebanyakan guru adalah berijazah dan memegang diploma pendidikan dalam bidang pendidikan khas. Jadi seperti tuan/puan yang belajar bertahun-tahun di universiti dalam bidang tuan/puan, pastilah kami juga ada bidang kami yang tersendiri. Tambah pula pengalaman mengajar menjadikan kami guru-guru yang lebih berpengalaman.

Daripada tinjauan di luar, kelas pendidikan khas dikendalikan swasta adalah sekitar RM1000 dan ke atas sebulan sedangkan di sekolah kerajaan adalah percuma. Jadi, boleh tepuk dada tepuk poket. Bidang ini memang bidang yang memerlukan kepakaran dan tak perlulah dipersoalkan kelulusan guru-guru. Apabila ada yang bertanya kelayakan seorang guru dalam bidang pendidikan khas, sebenarnya mereka tidak faham. Bukan semua guru boleh mengajar di kelas PPKI.


Anak saya kena dengan guru? Mentang-mentang tak tahu cakap, cikgu belasah anak saya. Tengok! Ada lebam-lebam!
Kalau ada masalah, jangan bergosip. Sila berjumpa guru dan bertanya serta berbincang. Kami adalah guru-guru yang profesional. Yang dijaga dan diajar adalah anak-anak syurga.  Setiap yang kami lakukan kepada mereka akan dihitung di sana. Percayalah cakap guru. In syaa Allah kami tidak menipu dan kami lakukan semuanya demi kebaikan murid. Ada ibubapa yang sangat suka mencari salah guru hinggakan ada lebam sikit sudah buat spekulasi kena belasah guru. Kadang-kadang murid terjatuh di rumah saja, kena gigit dengan adik. Apabila disiasat, termalu sendiri. Janganlah menyusahkan guru dengan perkara remeh sampai kami terpaksa scan seorang demi seorang murid setiap pagi sebelum datang ke sekolah untuk tengok lebam atau tidak ada di badan. Ini bukan bermana tidak boleh berbincang, boleh... silakan tetapi percayalah dengan penerangan yang diberikan....

Kat PPKI mana ada belajar. Rugi!
Sebenarnya anak yang bermasalah pembelajaran, jika dikesan awal lebih baik. Ada yang sudah darjah 3, tak boleh membaca baru hendak masuk ke PPKI. Ini sudah agak lambat. Sepatutnya apabila darjah 1, jika tidak boleh membaca, ibubapa boleh bawa anak ke doktor untuk diagnos. Banyak kejadian, apabila murid diletakkan ditempatnya, guru-guru pendidikan khas dapat membantu mereka. Ramai murid PPKI yang kembali diinklusifkan di aliran perdana dan menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM! Bantulah anak anda sebelum terlambat! Ketepikan ego demi masa depan!

Ada banyak lagi persepsi negatif tentang PPKI. Ada masa saya kongsikan lagi! Kepada guru-guru yang baru masuk ke dunia pendidikan khas, Selamat Datang! Semoga hati-hati kita tabah mengharungi dunia pendidikan yang penuh cabaran! Kita bukan bibik, kita adalah pendidik!

Sampai jumpa lagi! Semoga ganjarannya dibalas di sana! Amin.

2 comments:

cik awe said...

Pencerahan yg amat bermakna terutamanya utk ibu bapa yg masih menidakkan ketidakupayaan anak utk belajar di kelas aliran perdana.anak yg jd mangsa ketinggalan dlm pelajaran..

laila kamilia said...

cik awe, kini kesedaran pendidikan khas sudah meluas. cuma bagi anak-anak yang lembam, hiperaktif mungkin masih kurang kesedaran di kalangan ibubapa kerana anak2 ini dari rupa fizikal mereka seperti anak normal yang lain.

sekiranya anak2 masih tidak boleh membaca pada darjah 1, cubalah usahakan sesuatu. jangan bila umurnya 12 tahun baru nak hantar ke PPKI. kadang2 kita terlalu sayang anak/malu tak bertempat kalau anak dilabel OKU sedangkan sebenarnya itu adalah yang terbaik untuknya, untuk membantunya!

Pastilah ada sebabnya mengapa ALLAH mengurniakan anak2 syurga kepada ibubapa terpilih. Mengapa anugerah perlu dipersiakan?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...