28 February 2014

Pengumuman Rasmi : Laila Kamilia Duta AISYAHSCARF

Alhamdulillah, bulan Mac selalunya menjadi bulan yang teristimewa buat Laila Kamilia. Kerana bukan saja bulan ini saya menyambut ulangtahun kelahiran saban tahun tetapi selalunya Mac menjanjikan banyak kenangan indah buat saya, in syaa ALLAH. 

Jika pada tahun lepas, novel Cinta Bunga Tulip diterbitkan pada tarikh hari lahir saya 4 Mac, tahun ini Mac datang lagi dengan sesuatu yang menarik juga. Bermula pada 1 Mac 2014, Laila Kamilia telahpun memeterai perjanjian dengan butik tudung Aisyahscarf untuk menjadi dutanya selama setahun. Mulai 1 Mac 2014,  Laila Kamilia akan menggayakan tudung Aisyahscarf di semua acara rasmi.

Oleh yang demikian, saya berbesar hati menjemput semua rakan-rakan dan para pembaca yang tersayang yang menjadi tulang-belakang menyokong kerjaya penulisan saya sepanjang 2006 hingga kini ke pelancaran rasmi AISYAHSCARF yang akan berlangsung pada :

Tarikh : 1 Mac 2014
Masa : 2.00 petang
Alamat : No. 2-21, Seri Bangi, Sek. 8, Bandar Baru Bangi (berhampiran OnKing Seri Bangi)
GPS Koordinat : http://my.locatedat.com/map/selangor/onking/569946/
Tetamu istimewa : Hero drama Cinta Pandang ke-2, Dazrin Kamarudin

Poster pembukaan penambilan khas Dazrin Kamarudin

Pelbagai acara menarik menanti para pengunjung, sambil sembang-sembang santai. 100 tetamu yang terawal akan menerima goodie bag. Apa dalamnya? Hehe... Kita tengok harinya nanti. Jomlah kita ramai-ramai memeriahkan majlis di sana. Oh! Ya! Pengunjung Aisyahscarf juga boleh membaca dan membeli karya-karya Laila Kamilia di sana dengan diskaun10%. Ada rezeki, kita boleh bertemu mesra sambil minum-minum kopi pada bila-bila masa di sana.

 Boleh baca dan beli novel Laila Kamilia di sini. Kalau nak autograf tinggalkan saja pesanan, saya berbesar hati untuk memenuhi permintaan.

 Inilah tuan punya Aisyahscarf, Puan Farizan yang sangat gigih merealisasikan impiannya menjadi usahawan berjaya.

Aisyahscarf bermula dengan bisnes online pada tahun 2009, kemudian mengorak langkah pertama di Jalan Tunku Abdul Rahman. Pada tahun 2014 mengorak langkah lebih maju dengan pembukaan Aisyahscarf Outlet Bangi.
Aisyahscarf boleh dilayari di www.aisyahscarf.com (laman beb sedang menambah shoppingcart) dan buat sementara sentiasa update di FB : aisyahscarf

Dalam menghampiri usia 10 tahun Laila Kamilia dalam industri ini dalam beberapa tahun lagi, anda semualah yang telah menyaksikan bagaimana saya bermula, belajar berjalan dan berdiri. Semoga saya dapat berlari menuju kejayaan. Banyak lagi yang perlu saya pelajari dan andalah guru saya yang terbaik! Terima kasih banyak! Andalah kesayangan saya! Sayang semua! Jumpa di sana!

17 February 2014

Sudah Darjah 5 Tak Tahu Baca? Apa Yang Boleh Bantu Dia?

Anak dilahirkan tidak mempunyai sebarang kelainan. Normal. Wajahnya saling tak tumpah bagai suami atau isteri. Normal. Pendek kata, anak itu bagai anak-anak lain. Bersekolah tadika pada usia 6 tahun dan masuk ke tahun 1 setahun kemudiannya. 

Tetapi tahukah anda, murid berkeperluan khas kebanyakannya kelihatan normal seperti anak-anak biasa juga. Malah rata-rata murid Autism sangat comel. Murid yang mempunyai masalah lewat perkembangan juga tidak menunjukkan rupa fizikal yang berbeza daripada kebanyakan murid lain. Hanya murid Down Syndrom, Serebral Palsy (berkerusi roda) dan beberapa sindrom lain mudah dikenali berbeza daripada murid lain. Kesimpulannya, dengan sekali pandang adalah sukar untuk mengenali murid berkeperluan khas jika diukur daripada pandangan fizikal sahaja. Jadi berkemungkinan murid-murid ini berada di aliran perdana adalah besar. 

Saya mendapat kes rujukan ini daripada guru kaunseling. Katanya murid ini mempunyai masalah dalam pelajaran. Selalu tak siap kerja sekolah dan berada dalam dunia sendiri. Oleh yang demikian, saya minta kawan menghantarnya ke pendidikan khas untuk diagnosis awal. Alhamdulillah, kebanyakan guru-guru sekarang ini telah didedahkan kepada dunia pendidikan khas semasa di IPT. Jadi sedikit sebanyak, guru-guru di aliran perdana dapat mengesan tanda-tanda awal murid di aliran perdana yang mempunyai kecenderungan bermasalah pembelajaran.

Murid yang dirujuk ini didiagnos menggunakan instrumen-instrumen saringan di pendidikan khas. Antara instrumen yang digunakan adalah untuk menguji kemahiran 3 M- menulis, membaca dan mengira.  Bagi murid yang sudah 5 tahun mengikuti pembelajaran di aliran perdana, tentulah pelik apabila masih tidak dapat membaca, menulis huruf terbalik dan hanya boleh mengira nombor setakat nombor 20.

Kami membuat diagnosis awal bahawa murid ini mempunyai masalah lewat perkembangan, bermaksud umur fizikalnya sudah mencapai 11 tahun tetapi umur mentalnya masih berada di tahap yang lebih rendah. Bagi kes murid ini umur mentalnya boleh dikatakan sangat rendah dengan pencapaiannya  menyamai tahap pendidikan khas di Tahun 2. Murid ini mengeja namanya dengaan tidak tekal (sekejap betul dan sekejap salah), tidak dapat menulis nama bapanya sekalipun dia tahu nama bapanya. Malah apabila ditanya tentang ibunya juga dia masih gagap-gagap. Sedangkan jika soalan-soalan itu ditanyakan kepada anak-anak kita yang berada di aliran perdana, ia boleh dijawab sambil pejam mata.

Pada masa dahulu, kita tidak terdedah dengan pendidikan awal. Saya tidak pernah bersekolah tadika dan hanya mendapat pendidikan pada umur 7 tahun pada darjah 1. Kerana itu saya hanya belajar ABC dan membilang pada usia 7 tahun. Tidak hairan ada rakan-rakan saya yang lain, yang hanya boleh mula menulis dan membaca secara tekal pada darjah 3.

Walau bagaimanapun dengan arus kemodenan di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak telah berkembang dengan baik. Anak-anak dihantar ke tadika seawal umur 4 tahun, malah ada yang lebih awal daripada itu. Oleh yang demikian, ibubapa boleh mengandaikan bahawa pada usia 7 tahun, anak-anak kita sudah boleh membaca dan mengira. Sekiranya pada umur 8 tahun tetapi masih juga tidak boleh membaca, ibubapa haruslah mendapatkan pandangan daripada doktor pakar.

Doktor pakar kanak-kanak akan membuat pelbagai ujian ke atas anak. Janganlah merasakan bahawa jika membawa kepada doktor, anak itu akan sah mempunyai masalah. Kadang-kadang memang anak itu sedikit lewat perkembangannya tetapi masih boleh mengikuti pendidikan perdana dengan bantuan extra (mengambil tuisyen). Kalau anak itu tidak mempunyai masalah, tidak mengapa. Alhamdulillah. Ia akan buat kita menjadi lega dan membantunya dengan lebih lagi. Namun jika anak itu didiagnos mempunyai masalah pembelajaran dan perlu dirujuk ke pendidikan khas, sebenarnya sebagai ibubapa kita telah cuba yang terbaik membantunya.

Dunia anak itu tidak berakhir jika memang telah disahkan mempunyai masalah pembelajaran. Dengan tindakan awal ibubapa mengenalpasti anak-anak, guru-guru di pendidikan khas akan cuba membantu 'memulihkan' murid tersebut dengan bimbingan dan latihan berterusan. Terdapat murid yang telah 'pulih' dan dikembalikan ke aliran perdana melalui pendidikan inklusif. Apakah pendidikan inklusif? Saya akan kongsikan pada entri yang akan datang.

Tahukah anda bahawa dengan lesen pendidikan khas, murid tersebut boleh mendapat pelbagai keistimewaan yang tidak dapat diperolehi jika beliau terus berada di aliran perdana. Antara keistimewaan yang akan diperolehi oleh anak adalah boleh diletakkan di mana-mana kelas yang dirasakan sesuai dengan tahap pencapaiannya (umur 10 tahun tapi belajar di tahun 2), mendapat masa yang lebih dalam peperiksaan awam malah boleh memohon diletakkan di bilik berasingan (lebih privasi) selain mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan dan Elaun Pendidikan Khas sebanyak RM1800 setahun tanpa mengira ibubapanya berpendapatan RM1 juta sekalipun (hehe).

Apabila murid ini berada di bawah pengawasan pendidikan khas, mereka akan dapat bersaing dengan lebih adil di kalangan rakan sebaya dengan diberi peluang mewakili sekolah dalam pelbagai acara seperti sukan, tilawah Al-Quran, aktiviti kebudayaan, keusahawanan, kemahiran hidup dan lain-lain lagi sama seperti di aliran perdana. Semuanya ini akan berjaya meningkatkan rasa kendiri murid. 

Apalah ertinya berada di aliran perdana tetapi sekadar menjadi penumpang dan melepaskan semua keistimewaan yang ditawarkan kepadanya di pendidikan khas? Bantulah anak-anak anda kerana berada di pendidikan khas bukanlah penamat kepada masa depan mereka. TUHAN telah menetapkan tempat mereka di syurga, maka berikanlah mereka dengan kesenangan-kesenangan dunia!

13 February 2014

Cinta Pandang ke-2 Episod 10 tayangan 13 Februari 2014

Malam ini masuk episod 10 drama inspirasi daripada novel saya Cinta Pandang ke-2. Layan promo episod 10 ye.



11 February 2014

Cinta Pandang ke-2 Episod 9 tayangan 6 Februari 2014

Saya menunggu promo dari TV9 sehingga ke saat akhir tetapi sampai ke waktu tayangan pada jam 8.30 malam hari Khamis lalu, masih tiada video promo. Saya memang frust gila! Lalu inilah saya tempek promo sinopsis tayangan episod 9 yang lalu seperti yang diuar-uarkan di FB Alaf21 dan di akhbar Sinar Harian pada 6 Februari lalu.  

Saya tetap berharap anda semua terhibur dengan buah tangan skrip drama pertama saya ini! Daripada inspirasi novel saya sendiri Cinta Pandang ke-2!


05 February 2014

Temui Laila Kamilia dan Pelakon Drama Cinta Pandang ke-2

Bersempena Karnival Karangkraf 2014, temui penulis novel Cinta Pandang ke-2, Laila Kamilia dan para pelakon drama Cinta Pandang ke-2; si hero Dazrin Kamarudin (Zairul) dan Ery Zukhairy (Prof. Redza). Butiran adalah seperti berikut :

Tarikh :  9 Februari 2014 
Masa : 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari 
Tempat : Perkarangan Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.  

Selain sesi temu mesra, ada cenderamata menanti 100 pembaca bertuah! Jumpa di sana! Ingat temujanji kita!


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...