23 April 2014

Tinta Penulis : CINTA TOP SECRET

Tinta Penulis
      Ketika saya menulis Tinta Penulis ini, manuskrip Cinta Top Secret baru menjengah di angka 006. Saya terpanggil untuk mula menulis di ruangan ini awal-awal lagi supaya dapat berkongsi rasa yang sebenar ketika saya menyiapkan manuskrip ini.       
Saya mendapat idea untuk menulis CINTA TOP SECRET semasa berkunjung ke Korea Selatan pada awal tahun 2013. Latar tempatnya banyak memberi inspirasi sementelah Korea Selatan terkenal dengan drama-drama cinta terhebatnya. Malah lagu Top Secret nyanyian kumpulan Girl's Generation telah saya pilih sebagai lagu tema novel ini. Tatkala menulis, saya selalu pasang lagu ni kuat-kuat untuk memberi inspirasi dan menyerap semangat spy!
      Pada mulanya saya ingin menulis kisah perisik yang benar-benar serius tapi kemudian setelah berbincang dan mendapatkan pandangan, saya mengambil keputusan untuk menulis sebuah kisah yang santai-santai; melebihkan kisah cinta daripada aksi tembak-tembak. Hehe... harapnya ia lebih memuaskan hati pembaca!
      Sebenarnya CINTA TOP SECRET ada dua versi. Satu versi serius dan satu versi yang saya tulis ini. Nak tahu bagaimana rupa versi serius CINTA TOP SECRET, boleh layari blog saya di www.lailakamilia.com. Versi serius CINTA TOP SECRET akan saya upload di blog ini pada pertengahan bulan Julai bagi memberi peluang ramai pembaca membaca terlebih dahulu versi santai CINTA TOP SECRET naskah di tangan sebelum boleh membuat perbandingannya dengan versi serius.
      Saya menulis CINTA TOP SECRET dengan rasa yang sangat bahagia dan santai. Terus-terang pada mulanya saya tidak merasakan stress ketika menyiapkannya kerana saya suka dengan kisah CINTA TOP SECRET! Namun kekangan masa memang menjadi satu persoalan utama kerana saya mensasarkan untuk CINTA TOP SECRET siap sepenuhnya pada 31 Disember 2013 iaitu selama 30 hari! Satu cabaran baru kepada Laila Kamilia untuk menyiapkannya dalam tempoh itu. Jika berjaya, ia menjadi novel tercepat pernah saya siapkan selepas novel Saat Kau Hadir (4 bulan). Namun akhirnya, saya harus mengakui bahawa, bukanlah mudah untuk menyiapkan dalam tempoh yang sangat tidak realistik. Saya menokhtahkan Cinta Top Secret setelah 3 bulan 'bercanda' dengannya. Selama itulah saya bangun seawal 4 pagi setiap hari demi kasih sayang saya kepadanya. Alhamdulillah! Ia menjadi rekod pencapaian tercepat saya menyiapkannya! Semoga ia menjadi novel kesayangan anda pula!
      Kisah CINTA TOP SECRET adalah kisah 2 orang perisik hebat yang berkawan baik. Kerana satu misi, telah menyebabkan mereka dipisahkan. JADE perisik yang lebih berpengalaman, ditugaskan untuk menjejaki satu mikrofilem yang berada di tangan Mr. X sedangkan ZED, ditugaskan menjaga seorang gadis bernama Maryam Eisya. Pada akhirnya kedua-dua perisik ini bukan sahaja bersaing siapa yang terlebih dahulu menyelesaikan misi, tetapi juga terpaksa bersaing dalam merebut hati si gadis. Pada ketika inilah mereka mula berlumba untuk mendapatkan perhatian si gadis menggunakan kepakaran masing-masing. Antara dua perisik hebat ini, siapakah yang akan menyelesaikan konspirasi dan siapakah pula yang akan menemukan cinta sejati? Berjayakah kedua-dua perisik ini menyembunyikan identiti diri daripada si gadis di akhir cerita ini? Jawapannya ada di tangan anda yang boleh mendapatkan novel CINTA TOP SECRET edisi terhad mulai 24 April 2014 ini bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014. Yang tidak berkesempatan mendapatkannya di PBAKL, boleh dapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran anda mulai pertengahan Mei 2014 nanti.




      Terimalah buah tangan terbaru saya untuk semua pembaca novel. Seperti selalu, yang baik jadi tauladan, yang buruk jadikan sempadan. Semoga terhibur! Boleh ikuti perkembangan dunia penulisan Laila Kamilia di FB/Twitter/Instagram :- Laila Kamilia

Salam Sayang,

Laila Kamilia

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...