02 July 2014

Anugerah Grup Buku Karangkraf (AGBK) 2014 : Alhamdulillah. Terima Kasih ALLAH

Sudah hampir sebulan blog saya berabuk sejak saya tinggalkan. Alhamdulillah, hari ini baru diberi kesempatan untuk membuat entri pertama setelah berehat panjang. Entri pertama yang ingin saya tulis tentulah tentang Anugerah Grup Buku Karangkraf yang telah berlangsung gilang-gemilang pada 14 Jun 2014 yang lalu. Kebanyakan karyawan telah bercerita banyak tentang anugerah yang mengiktiraf penulis di bawah bumbung Karangkraf ini. Yang pasti, saya mungkin yang terakhir menulis berita yang sudah lama ini tetapi saya yakin, sekalipun ia telah lama berakhir, telah meninggalkan kenangan terindah kepada semua karyawan Karangkraf. 

Alhamdulillah. Untuk majlis anugerah kali pertama ini, pada awalnya saya telahpun dicalonkan untuk 3 kategori iaitu Buku Adaptasi melalui novel Cinta Pandang ke-2, Buku Pilihan dan Cover Pilihan Kanak-kanak untuk buku Powerpuf Girls Mama. 

 Pencalonan Awal
Cover Pilihan 
 Adaptasi
Buku Pilihan Kanak-kanak

Saya bersyukur sekalipun penulis kerdil, buku saya turut tercalon. Melihatkan senarai pencalonan awal, saya sudah rasa saya tidak akan pergi jauh melihatkan kepada senarai pencabarnya. Namun apabila pencalonan akhir disenaraikan, saya terkejut melihat 2 daripada 3 pencalonan awal telahpun ke senarai akhir (Top 5).

Inilah calon-calon buku hebat yang turut bertanding dengan buku-buku saya. Hebatkan calon-calonnya? Terasa saya sangat kerdil!

Saya bergambar dengan saudara Fathi, antara tulang belakang anugerah tersebut.

Saya telah diberitahu tema pakaian pada hari anugerah adalah pink-biru. Saya sebenarnya telahpun meminta seorang pembaca novel berbakat, (Sentuhan Rieyn) untuk merekabentuk pakaian yang akan dipakai pada hari bersejarah itu. Hehe. Sekalipun tiada gambaran nak menang, tapi saya mahu meraikan hari bermakna kepada para penulis itu. Saya telahpun menerima 'design' yang sangat cantik, kena dengan tema Dalam Taman. Namun disebabkan sedikit masalah, projek tersebut tidak dapat dijalankan. Saya juga sudahpun mengambil tudung daripada Aisyahscarf untuk dipakai pada hari tersebut.

Namun apa yang dirancang tidak kesampaian. Sebenarnya saya telahpun merancang untuk bercuti ke satu destinasi sejak setahun lalu. Jika ikut perancangan asal, saya akan kembali pada awal pagi 14 Jun. Namun saya sekadar boleh merancang, segalanya tidak ikut rencana apabila pada saat akhir, saya terpaksa menukar dan merombak segalanya menyebabkan saya terpaksa mengorbankan untuk tidak hadir ke majlis Anugerah  Grup Buku Karangkraf.

Saya hanya mendoakan majlis berjalan lancar dan mengucapkan tahniah kepada Grup Buku Karangkraf kerana berjaya menganjurkan anugerah ini yang pada akhirnya diumumkan menjadi acara tahunan Karangkaraf. 

Alhamdulillah. Sebaik kaki menjejak KLIA pada malam 14 Jun itu, saya diberitahu buku Powerpuf Girls Mama telahpun menang anugerah Buku Pilihan kategori Kanak-kanak.  Sekalipun Cinta pandang ke-2 tewas di tangan Setia Hujung Nyawa, saya tetap bangga dengan pencapaiannya. Terima kasih kepada team novel Cinta Pandang ke-2  (editornya, Mazuen Yahya juga perekabentuk kulit Rohana Ibrahim dan team drama Cinta pandang ke-2 (penulis skrip, Kak Maizurah Mohd Ederis, Zuli Ismail, Eenaz Mokhtar, penerbit, ZKC Production, saudara Zaini Kosnin, pengarah Nazir Juhan, juga para pelakon Dazrin (yang selalu bagi sokongan sepanjang promosi),  Amyra Rosli, Izara Aisyah, Ery Zuhairee, Abby Nour, Jazli Hassan dan lain-lain lagi... juga komposer dan penyanyi OST Cinta Pandang ke-2, Affan Aizat, Epi Cortgoth,  Mohamad Syahir, Yusri Yusuf dan Anis Syazwani juga TV9 huhu panjangnya senarai). Tak dilupakan para pembaca novel dan penonton drama Cinta Pandang ke-2. Terima kasih kerana bagi sokongan yang superb kepada penulis kerdil bernama Laila Kamilia!

Atas kemenangan Powerpuff Girls Mama, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan penulis yang turut sama terlibat dalam pembikinan buku ini; Lynn Dayana, Maryam Elyas, Zakiah Abd Ghafar dan Nazihatul Hannan juga editor comel Siti Aisyah.

Ketika pertama kali terlibat dalam penulisan buku kanak-kanak, saya memang tidak pernah berangan-angan untuk mendapat anugerah. Hanya fikirkan ketika itu, sebagai seorang guru, saya harus ada buku kanak-kanak untuk dibaca oleh kanak-kanak. Sepanjang menulisnya, saya menulis berdasarkan kisah-kisah yang dilalui supaya  kanak-kanak seronok membaca. Saya harapkan kisah-kisah yang dinukilkan akan menggembirakan kanak-kanak dan mendapat tauladan daripada kisah-kisah tersebut. Semoga memberi inspirasi dan semangat kepada anak-anak yang membaca untuk berjaya pada masa depan. Ketika kanak-kanak, banyak buku-buku yang saya baca, yang masih segar dalam ingatan saya sehingga kini dan saya berdoa, semoga ada buku-buku tulisan saya yang segar dalam kenangan anak-anak ini, in syaa Allah.

 inilah buku Powerpuff Girls Mama

Award yang diterima, Buku Pilihan Kategori Kanak-kanak

Terima Kasih ALLAH. Inilah plak yang saya baru sempat ambil dari Aisyah, hari Jumaat lepas. 

Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang banyak menyokong kerjaya penulisan saya terutamanya ibubapa juga anak-anak; Hardy, Hakimy dan Hana yang selalu memberi semangat kepada mamanya untuk menulis buku kanak-kanak dalam melayari kisah-kisah kehidupan mereka. 

Kepada suami, Aedy Fadly yang banyak berkorban dan terkorban dengan kerjaya kedua isterinya ini, terima kasih kerana memahami dan menyokong. Tanpanya, saya mungkin tidak dapat menulis walau sepatah kata.

Kepada Guru Besar saya, Encik Mohamad Jamil yang menyokong, terima kasih banyak. Saya pernah kata, jika saya dapat anugerah, saya akan sebut namanya kerana sokongannya. Hehe.

Kepada Alaf21, Grup Buku Karangkraf, tanpa anda tiada apa yang akan bermula bagi Laila Kamilia; tiada apa-apa.

Kepada pembaca, tanpa anda, siapalah Laila Kamilia. Terima kasih atas sokongan anda!

Kepada semua pemenang, sekalung tahniah! Kemenangan anda menjadi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan karya seperti anda pada masa depan. 

Kepada semua karyawan, selamat berjuang dan semoga bertemu dalam Anugerah Grup Buku Karangkraf 2015, in syaa ALLAH.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...