03 July 2014

FRAGMEN NOVEL C1NT4 TOP SECRET : LAILA KAMILIA ; PROLOG



Prolog
Trafalgar Square, London
Jam 1130

TRAFALGAR SQUARE. Namanya diilhamkan sempena kemenangan British ke atas Perancis dalam Perang Trafalgar pada tahun 1805. Tumpuan pelancong serata dunia ke kota mewah London ini tidak akan lengkap jika tidak berkunjung ke sini. Seperti hari kebanyakannya, Trafalgar Square sentiasa sibuk menjadikan kota itu tidak pernah sunyi daripada sesak, asap dari kenderaan  dan manusia.
“Tunggu sini.” Arahan jelas diberikan.
“Err... Tapi, Jade?”
“Kau tunggu sini, biar aku saja yang masuk.”
“Tapi kau dah janji dengan aku, kali ni kita selesaikan bersama. Takkan aku kat luar aje? Bila lagi aku nak ambil pengalaman kau, Jade?” Zed tunduk. Kecewa.
“Bukan aku tak nak ajak kau sekali, tapi arahan KP nak aku seorang saja. Nanti apa-apa berlaku susah kita. Dah! Kau tunggu sini. That’s an order!” Jade terus menutup pintu kereta dan hilang di celah-celah ratusan manusia yang sedang bersiar-siar di Trafalgar Square menuju ke bangunan Malaysia Tourisme Promotion Board tidak jauh dari dataran itu.


Zed mendengus sekali lagi. Tidak habis-habis menjadi sidekick. Hanya peneman kepada rakan setugasnya yang sering sahaja melakukan tugasan merbahaya. Memang selalu dia cuma menjadi pemandu dan penghubung Jade dengan HQ. Macamlah dia hanya jadi pak pacak dalam episod tembak-menembak dan pecah masuk di lapangan. Ingat serah nyawa sama macam posmen serah surat ke?
Sehingga hari ini sudah masuk tiga tahun dia menjalankan misi dengan Jade tetapi tidak pernah sekali pun KP memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk melaksanakan tugas utama. Walaupun dia pernah menyelamatkan nyawa Jade (dan tak terkira jugalah Jade menyelamatkan nyawanya), peranannya itu bagai tidak memberikan apa-apa makna. Nada!
Sudah merata ceruk dunia dia jelajahi bersama Jade, namun setiap kali misi berjaya, nama Jade saja disebut KP sehingga kembang kempis hidung Jade dengan pujian melambung KP setiap kali mereka pulang ke HQ di Putrajaya. Sungguh tidak adil!
Setiap kali ada misi penyamaran, Jade selalu diberikan watak lelaki macho yang kaya; dengan tuxedonya, dengan kereta sport mewahnya, dengan beberapa model-model cantik iras artis ternama dibayar untuk mengiringinya bersama semua gajet-gajet terkini dari hujung kaki hinggalah kepalanya siap tersedia.
Dia? Sebagai tukang sapu sampah di depan bangunan, pelayan restoran, pemandu teksi dan yang paling dia tidak boleh lupa adalah menjadi badut berhidung besar berwarna merah di sebuah funfair di Port Dickson!
Hari ini sekali lagi, permintaannya tidak dipenuhi. Janji Jade untuk membawanya sekali menyelesaikan misi yang masuk hampir empat bulan mereka siasat bersama ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan sama sekali. Kesemua petunjuk yang dikumpul akhirnya berjaya membawa mereka untuk satu perjumpaan rahsia di dalam bangunan Malaysia Tourisme Promotion Board tidak sampai 130 meter dari tempat dia berdiri.
Perjumpaan yang diatur oleh Jade bakal menamatkan misi ini kerana seorang pemberi maklumat telah meminta Jade untuk berjumpa dengannya di dalam bangunan tersebut. Kenapa Jade memilih bangunan tersebut? Tidak pula dia ketahui. Sememangnya Jade banyak muslihat. Ada perkara-perkara dalam misi yang hanya diketahuinya apabila musuh sudah dilihat atau peluru sudah datang seperti hujan lebat. Jadi seperti biasa, dia awal-awal lagi sudah bersedia fizikal dan mental jika dipanggil pada bila-bila masa untuk memberi khidmat atau menjadi penyelamat!
Zed keluar dari perut kereta lalu bersandar pada kereta, bermain-main dengan pemetik api Zippo pemberian Jade kepadanya. Sambil menunggu matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Bosan tetapi dia masih tidak lupa peranannya sebagai penyiasat yang sedang berada di lapangan. Bukan semua orang diberi peluang seperti itu. Ada beribu-ribu orang yang tidak terpilih dan dia seharusnya bangga dengan pencapaiannya setakat ini, walaupun peranannya itu hanyalah sebagai sidekick.
Kalaulah ibunya tahu yang anaknya ini seorang penyiasat antarabangsa, mahu riuh satu kampung sampai raya tahun hadapan cerita itu tidak habis dijaja. Menangis menyesal tak sudah kerana meninggalkan dirinya kepada ayah semasa kecil dulu. Dan ayahnya pula tentulah menjadikan cerita kehebatannya kepada semua pelancong yang ditemuinya. Zed memang ada banyak sebab untuk rasa sebegitu bangga!
Dia mengetepikan rasa bosannya lalu kembali fokus pada kerja. Sebuah kamera dikeluarkan dari poket seluar kanannya lalu mula mencari sasaran lensa, bagaikan pelancong yang santai berlibur di kota London.
Lensa ditalakan ke tengah-tengah dataran yang terletaknya sebuah monumen yang dinamakan Nelson’s Column, dikelilingi oleh empat patung singa yang besar. Bagi mendapatkan imej dari sudut yang lain, dia berjalan ke arah salah satu patung singa di sebelah kanan.
Pandangannya tertumpu ke arah The Mall, bukannya sebuah shopping mall tetapi nama jalan yang menghala ke arah Buckingham Palace, istana rasmi kerabat DiRaja British. Teringatkan Jade, pandangannya beralih kembali ke arah laluan Jade menghilang tadi. Dia melihat jam. 20 minit telah pun berlalu. Masih belum ada apa-apa arahan yang terbaru.
Kelibat seorang tua berbaju jaket labuh hingga ke paras lutut bewarna biru tiba-tiba menarik perhatiannya. Lelaki tersebut sedang berjalan terhincut-hincut menghala ke arah Jalan Haymarket. Mungkin keadaan fizikal lelaki itu yang sebegitu membuatkan perhatian Zed tertarik padanya.
Zed memandang lagi lelaki tua itu. Meneliti dengan waspada. Seketika lelaki itu mengeluarkan sarung tangan dari dalam poket seluarnya lalu dipakai dan terus berjalan dengan pantas. Namun matanya tertancap pada sesuatu yang terjatuh dari kocek lelaki tua itu. Jalannya agak pantas tanpa menyedari dia telah tercicirkan sesuatu.
Hey, Mister!” Dia menjerit. Jaraknya dengan lelaki tua itu agak jauh, pastilah menyebabkan teriakannya tidak didengari oleh lelaki itu. Tambahan pula ramai sangat manusia di kelilingnya. Dia berlari menuju ke arah ‘sesuatu’ yang terjatuh tadi. Seorang budak perempuan sedang memungutnya.
Sorry, this is not yours.” Zed terus mengambil telefon bimbit yang sedang dipegang oleh budak perempuan itu lalu berlari mencari lelaki tua itu. Tujuannya hanya satu, memulangkan kembali telefon bimbit tersebut kepada lelaki tua tadi. Dia terus berlari.
Kelibat lelaki itu dilihatnya menuruni tangga untuk ke stesen Subway Haymarket. Dia terus mengejar. “Hey, mister! Mister! You’ve dropped you cellphone!” Termengah-mengah dia mengejar lelaki itu. Akhirnya, dia berjaya menyentuh bahu lelaki tua itu.
Lelaki tua itu menoleh.
Ah! Rupa-rupanya lelaki Asia. Zed mengukir senyuman sambil menghulurkan telefon bimbit di tangannya.
Sorry, that’s not mine. Bukan telefon saya.” Lelaki itu membalas. Dia terus meninggalkan Zed yang terpinga-pinga.
But, eh... tapi, pak... saya nampak handphone bapak jatuh dari kocek bapak! Pak! Pak!” Zed memanggil dengan rasa hairan tetapi lelaki tua yang boleh bertutur bahasa Indonesia itu terus berlari melintasi palang tiket di tempat menunggu kereta api bawah tanah itu bagai tidak pernah tempang.
Lelaki itu langsung tidak menghiraukannya. Zed marah.  Mengapakah panggilannya tidak dilayan sedangkan dia amat pasti telefon bimbit yang dipegangnya itu memang sah milik lelaki tua itu?
Tiba-tiba telefon bimbit di tangannya berdering. Dia keliru. Mahu dijawab atau dibiarkan sahaja. Beberapa kali telefon bimbit itu berdering. Hanya dipandang dengan rasa serba salah. Orang di sekeliling sudah memerhatinya.
Hello!” Akhirnya, dia menjawab juga, tidak tahan dengan deringan yang berkali-kali itu. “Hello!” Zed mengerutkan dahinya. Suara di talian amat dikenalinya. “Jade?”

ps-Gambar-gambar latar yang dibayangkan di dalam Prolog C1NT4 TOP SECRET dirakam daripada lensa Laila Kamilia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...